TH ISYTIHAR AGIHAN KEUNTUNGAN SELEPAS ZAKAT 3.05 PERATUS

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus membabitkan pengagihan keuntungan berjumlah RM2.1 bilion kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

TH dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, jumlah agihan keuntungan itu adalah RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

TH berkata agihan keuntungan lebih baik itu didokong prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

“Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, di mana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat.
“Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil di mana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15 peratus), RM0.5 bilion (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus),” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran saham yang tidak menentu, antara lainnya, berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global.



“Pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion.
“Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu,” kata kenyataan itu.
TH berkata peningkatan keuntungan selepas zakat dicapai selepas mengambil kira RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada jemaah haji serta mengekalkan kadar bayaran haji RM9,980 (berbanding kos sebenar RM22,900) bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 hijrah yang lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam kenyataan sama berkata, agihan keuntungan diisytihar TH itu adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

“Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.
“TH membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya,” kata Nik Mohd Hasyudeen.
Beliau berkata TH akan terus berusaha untuk menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai lain selain memastikan prestasi pelaburan mampan.

Pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac ini menerusi kaunter- kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB atau secara atas talian di laman sesawang http://www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.



Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919. – AlHIjrah Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker