Ketua Menteri DAP P.Pinang bakal bertukar tangan?

MESKIPUN Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow masih mempunyai baki satu penggal untuk dilantik kembali sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, sudah timbul dua khabar angin kononnya ada individu tertentu parti akan menggantikan beliau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Kon Yeow yang dikenali mempunyai karakter tenang dilihat cenderung tidak memanjangkan isu itu, sebaliknya memaklumkan fokus dan harapan beliau ketika ini adalah untuk membawa Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memenangi PRN terlebih dahulu.

Malah, Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau yang disebut sebagai bakal calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Pulau Pinang, turut bersetuju bahawa penting untuk mencapai kemenangan dan merampas negeri berkenaan terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai jawatan Ketua Menteri dilakukan.

Ironinya, beliau dalam Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang baru-baru ini turut membangkitkan soal Ketua Menteri dari DAP yang bukan anak jati Pulau Pinang.

Apa yang nyata, PH Pulau Pinang dilihat masih pada kedudukan sukar digugat biarpun diramal berdepan kemerosotan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 37 kerusi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam hal ini, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada prestasi 15 tahun PH sebagai kerajaan negeri dan percaya hampir menunaikan semua janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kempen utama ialah sampai PRN kali ini adalah masa yang terbaik untuk rakyat dan pengundi membuat penilaian terhadap prestasi kita dan bukan sekadar lima tahun, tetapi 15 tahun.

“Kita sudah pun mula dari tahun lalu (dengan) mengumumkan kita sudah hampir menunaikan semua janji manifesto PRU lalu.

“Kami berada di landasan benar dan melihat ke hadapan walaupun negara masih ada kekangan, tetapi semua diberi perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semak dan imbang

Bagi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, selepas 15 tahun berlalu Pulau Pinang memerlukan ‘semak dan imbang’ supaya perjalanan kerajaan negeri akan berjalan dengan lebih baik serta tidak menimbulkan masalah kepada rakyat.

Beliau berkata, isu seperti Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), pemilihan jawatankuasa pengerusi yang didakwa tidak demokratik dan projek lebuh raya yang didakwa berisiko di Farlim di sini akan diberi tumpuan dalam kempen PRN akan datang.

Dalam nada sama, Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata selain itu isu asrama warga asing di kawasan perumahan turut menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai, justeru pembangkang berwibawa amat diperlukan untuk membangkitkan isu membabitkan rakyat.

“Kita melihat kerajaan negeri hanya jaga pemaju dan syarikat swasta. Jadi, kita berharap pengundi di Pulau Pinang bagi peluang kepada PN untuk menjadi suara lantang di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mempertahankan hak rakyat di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata akan ada pertimbangan baharu yang akan mengubah pola pengundian pada PRN akan datang.

Beliau secara terbuka turut menyatakan hasrat supaya Barisan Nasional (BN) dan UMNO dapat kembali kepada kedudukan bahawa ia sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang.

“Kalau kami UMNO dan juga BN sudah sekian lama tidak berada di tampuk kepemimpinan negeri untuk 15 tahun, mungkin sudah tiba saat dan ketikanya untuk kami berada di kedudukan kepemimpinan negeri, sekali gus dapat lebih banyak membantu rakyat.

“Rakyat akan mendapat peluang (dalam PRN) membuat penilaian dan boleh menilai siapa yang terbaik dan ia peluang untuk rakyat mendapat apa yang belum diperoleh,” katanya.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ini sebab Mamat tidak hadir majlis pernikahan Shuib

Bangun Pagi Dah Ada Husband – Watie

Shuib tak jemput Sepahtu ke majlis nikah?

Shuib tersalah sebut nama isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker