Seks bebas remaja Muslim membimbangkan
Seks bebas remaja Muslim membimbangkan
Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman
Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mengeluarkan laporan ‘Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS): Tinjauan Kesihatan Remaja 2022’.
Tinjauan dilakukan pada 12 Jun hingga 8 Julai 2022 itu bertujuan menilai tingkah laku membahayakan kesihatan dan faktor menghalangnya dalam kalangan pelajar di Malaysia, sebagai proksi status kesihatan remaja di negara ini.
Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 ini merangkumi perkara berikut iaitu penggunaan alkohol, berat badan berlebihan/obes, pengambilan dadah, amalan kebersihan mulut, bunuh diri, sokongan ibu bapa dan rakan sebaya, aktiviti seksual, amalan merokok, keganasan, buli dan buli siber.
Banyak perkara boleh dituliskan mengenai laporan ini, namun tumpuan diberikan kepada aktiviti seksual dalam kalangan remaja yang pasti melahirkan rasa ingin tahu dalam kalangan kebanyakan ibu bapa di negara ini, khususnya ibu bapa Muslim.
Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 ini, berikut adalah statistik mengenai remaja dan aktiviti seksual:
154,646 remaja dilaporkan pernah melakukan hubungan seks
11 peratus mempunyai lebih daripada seorang pasangan
33 peratus mula melakukan hubungan seks sebelum berusia 14 tahun 75 peratus melaporkan ada melakukan hubungan seks ‘baru-baru’ ini 88 peratus melakukan seks tidak menggunakan kondom 88 peratus tidak menggunakan apa-apa kaedah perancang keluarga.
Aktiviti seksual seumpama ini tentu sahaja memberi kesan negatif kepada remaja terbabit. Sebagai contoh, memiliki lebih daripada seorang pasangan mungkin mendedahkan mereka kepada penyakit kelamin.
Tidak menggunakan kondom atau apa-apa kaedah perancang keluarga akan mendedahkan remaja perempuan kepada kehamilan tidak dirancang. Itu tidak termasuk kesan negatif dosa tercatat sekiranya mereka adalah remaja Muslim.
Ada berpendapat satu daripada cara untuk menangani isu ini adalah dengan memberikan pendidikan seksual kepada anak remaja.
Selain mengenalkan mereka dengan anggota tubuh mereka dan menghormatinya sebagai suatu amanah Tuhan, pendidikan seks juga mengajarkan mengenai seks selamat (seperti penggunaan kondom dan kaedah perancang keluarga lain) bagi mengelakkan risiko seperti penyakit kelamin dan kehamilan tidak dirancang, seterusnya menjejaskan masa depan mereka, khususnya remaja perempuan.
8 perkara jaga kehormatan
Dari perspektif Islam, pendidikan mengenai seks yang selamat kepada remaja bukan jalan penyelesaiannya. Sebaliknya, jalan tepat adalah mendidik mereka menjauhi zina dan menahan diri daripada melakukan hubungan seks sehingga berkahwin.
Ini sejajar firman Allah SWT bermaksud: “Dan orang tidak sanggup berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya, sehingga Allah memberi kekayaan dengan kurnia-Nya.” (Surah An-Nur: 33).
Menjaga kehormatan ini dapat dilaksanakan dengan melakukan perkara berikut:
. Berpuasa sunat
. Menjauhkan diri daripada perkara boleh
menimbulkan nafsu berahi
. Mengisi masa lapang dengan perkara
bermanfaat
. Berkawan dengan teman soleh
. Melengkapi diri dengan pelajaran baik
. Memiliki rasa takut kepada Allah
. Memelihara mata dari perkara haram
. Menguatkan pengaruh agama dalam diri
Dalam kata lain, remaja perlu dinasihatkan dengan kata seumpama ini, “Wahai remaja! Jauhilah zina kerana ia ditegah agama. Tahanlah dirimu daripada melakukan hubungan seks sehingga kamu berkahwin nanti. Sementara itu, tahan nafsumu dengan lapan perkara disenaraikan di atas.
Persoalannya ialah, siapakah perlu menyampaikan perkara ini kepada remaja. Ibu bapa adalah penyampai terbaik kerana mereka ejen sosialisasi paling hampir dengan remaja.
Selain itu, ia juga tanggungjawab ibu bapa untuk memelihara diri dan ahli keluarga daripada azab neraka seperti dijelaskan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: “…memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Alasan gagal kawal nafsu
Namun, pasti ada berpendapat remaja terbabit dengan aktiviti seksual bukan kerana mereka tidak tahu hukum agama, sebaliknya melakukannya kerana gagal mengawal nafsu.
Mungkin ada betulnya pandangan ini. Ramai remaja malah, orang dewasa terbabit dengan hubungan seks luar nikah walaupun mereka tahu perkara itu dilarang agama. Itulah sebabnya dalam Islam, pendidikan pada anak bersifat menyeluruh dan bertahap mengikut usia mereka.
Sebelum diajar menjauhi zina (pendidikan seks), anak perlu diajar dengan pendidikan keimanan iaitu diberi kefahaman mengenai Rukun Iman dan Rukun Islam, pendidikan moral membabitkan prinsip akhlak dan budi luhur.
Ia termasuk pendidikan jasmani bagi menjelaskan mengenai tubuh badan dan kesihatan, pendidikan mental, pendidikan rohani (keperibadian dan sahsiah) dan pendidikan sosial (adab sosial dan nilai murni).
Berdasarkan enam aspek pendidikan tadi, barulah lebih mudah remaja menjauhi zina kerana mereka faham sebab perlu menjauhinya, bukan kerana takutkan penyakit kelamin atau kehamilan luar nikah, tetapi takut melanggar perintah Allah SWT.
Di Malaysia belum ada mata pelajaran pendidikan seks, namun unsur penting dalam pendidikan seks diajar dalam pelbagai mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Sains Tambahan dan Biologi.
Sekiranya Kementerian Pendidikan mahu memperkenalkan pendidikan seks sebagai satu mata pelajaran, maka sukatan mata pelajaran itu perlu menggunakan acuan tempatan supaya ia lebih mudah diterima semua pihak.
Penulis adalah Felo Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Seks bebas remaja Muslim membimbangkan
Baca Artikel Menarik:
- Kes Ebit Lew: Saksi analisis video perbualan group Whatsapp, gambar lucah
- Daniella tak tolak peluk Islam
- Pemimpin Gerakan buta sejarah samakan Muhyiddin dengan Qu Yuan
- Pemetik Api, Power Bank dan Minyak Wangi jadi punca kereta terbakar
- KJ jangan emosi, kena sabar
- Khianat Parti: Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta pada PKR
- OceanGate Titan meletup berhampiran Titanic, lima jutawan maut (video)
- Harga beras naik bulan depan, kata bos Mydin
- Boss Kay tak bagi nafkah, dakwa bekas isteri
- Ramai boikot GRAB kerana solidariti, insiden penggantungan ‘rider’ sangat tidak adil
- Tegur Warga Singapura Isi Minyak Dalam Tong, ‘Rider’ Hilang Pekerjaan (Video)
- Cempedak kayangan dijual RM2 seulas
- Empat anggota polis peras ugut, cabul remaja berkhalwat didakwa
- Kaum Hunza golongan yang berusia panjang sehingga 140 tahun
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Syamsul, Ira Kazar tertekan punca fail saman terhadap JAWI, MAIWP
You must be logged in to post a comment.