Dulu gengster, kini pembela mangsa along
Dulu gengster, kini pembela mangsa along
PELUANG kedua yang muncul terus dimanfaatkan untuk memperbaiki kelemahan diri selepas terjebak dengan dunia gelap.
Itu yang ditempuh seorang bekas gengster, Mohammad Mustafa Shaik Ismail, 31.
Menurutnya, kesalahan dan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini adalah disebabkan oleh sikap keangkuhan serta kemegahan.
“Sesiapa saja boleh berubah ke arah yang lebih baik, asalkan ada niat dan bertekad untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Hak Masyarakat Malaysia di Sentul, baru-baru ini.
Mengimbau kembali, Mohammad Mustafa atau lebih mesra dengan panggilan Mustafa Khan berkata, beliau terjebak dengan dunia gengster selepas menjadi mangsa buli ketika di sekolah menengah.
“Pada ketika itu saya berusia 13 tahun dan sering kali menjadi mangsa buli di sekolah.
“Setahun kemudian, saya mula terlibat dengan kumpulan gengster dan membalas dendam terhadap beberapa pelajar yang pernah membuli saya,” jelasnya.
Mustafa Khan berkata, beliau kemudian mengetuai sebuah kumpulan gengster di Negeri Sembilan.
“Saya berasa megah kerana mempunyai ramai pengikut terdiri daripada golongan remaja yang mahu menunjuk kekuatan.
“Keluar masuk lokap sudah menjadi kebiasaan kerana saya sering terlibat dalam kes pergaduhan.
“Saya juga pernah dibuang sekolah pada usia 14 tahun, kemudian sambung belajar di sekolah lain, namun sekali lagi menerima hukuman sama ketika di Tingkatan Lima,” ujarnya.
Namun, beliau berjaya menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian.
Bercerita tentang penghijrahannya, Mustafa Khan berkata, nasihat dan pesanan ibu, Mariam Mustaffa menyebabkan hatinya terbuka untuk insaf dab berubah.
“Antara nasihatnya, saya perlu berubah, kembali ke pangkal jalan dan guna kekuatan yang ada untuk membantu orang dalam kesusahan,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu menambah, ibu membuat keputusan untuk menghantarnya ke Arab Saudi selepas menduduki SPM dan tinggal bersama abangnya di sana.
“Saya berpeluang mencari rezeki sebagai ejen jualan di Arab Saudi, selain bergaul dengan kenalan baharu.
“Penghijrahan saya ke arah kebaikan bermula sedikit demi sedikit, malah abang yang juga bekas gengster turut memberi sokongan moral,” katanya.
Mustafa Khan memberitahu, beliau pulang ke tanah air dan menjadi aktivis masyarakat pada tahun 2014.
“Pada ketika itu, saya telah membantu mencari wang sebanyak RM30,000 untuk kos pembedahan tulang seorang individu di sebuah hospital swasta,” kongsinya.
Bantu selesai 7,348 kes
Manurut Mustafa Khan, idea untuk menubuhkan Persatuan Hak Masyarakat Malaysia tercetus selepas insiden beliau menolong seorang lelaki yang menjadi mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along).
“Mangsa telah meminjam sebanyak RM1,500 untuk memberi barangan majlis pertunangan dan telah membayar sebanyak RM3,500 kepada along tersebut,” katanya.
Aktivis masyarakat yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, setakat ini dia telah membantu menyelesaikan sebanyak 7,348 kes dalam masa enam bulan persatuan itu ditubuhkan.
“Kita menerima sebanyak 30,000 aduan daripada individu yang menjadi mangsa along dan daripada jumlah itu, kita telah menyelesaikan sebanyak 7,348 kes sehingga bulan lalu,” jelasnya.
Mustafa Khan menunjukkan anggaran dan tempoh serta jadual pembayaran semula seorang mangsa sindiket along.
Mustafa Khan menunjukkan anggaran dan tempoh serta jadual pembayaran semula seorang mangsa sindiket along.
Menurutnya, sebanyak 25 peratus kes kini dalam proses penyelesaian.
“Bukan mudah untuk menyelesaikan kes tersebut kerana perlu berunding dengan along.
“Saya tidak gentar apabila berhadapan dengan kumpulan along malah pernah dikepung oleh sekumpulan along ketika sedang makan di sebuah restoran, selain turut menerima ancaman dan diugut bunuh.
“Saya juga pernah menolak tawaran rasuah daripada along sebanyak RM18,000 supaya tidak menyelesaikan kes mangsa sindiket peminjam wang tidak berlesen,” ujarnya.
Mustafa Khan turut mengakui pihaknya pernah berhadapan dengan cabaran apabila mengendalikan kes along yang dikenali sebagai ‘Jimmy’.
“Setakat ini kita menerima sebanyak 200 aduan berkaitan kes sindiket along tersebut, ada mangsa mendakwa telah meminjam wang RM500, namun wang diterima hanya RM150.
“Mangsa kemudian didesak untuk membayar faedah pembayaran balik sebanyak RM5,000 jika mereka tidak mampu melangsaikan hutang pinjaman tersebut dalam tempoh seminggu,” ujarnya.
Menurutnya, kesan kepada peminjam along jika tidak dapat membayar hutang yang diberikan adalah sangat buruk.
“Biasanya along akan mengambil tindakan yang sangat drastik untuk memastikan mereka mendapatkan kembali wang pinjaman tersebut.
“Along sering bertindak dengan mengancam, mengintimidasi atau melakukan kekerasan fizikal terhadap mangsa.
“Ada segelintir along menetapkan kadar faedah pembayaran balik yang tidak rasional, selain mengaibkan mangsa dengan menyebarkan informasi peribadi peminjam,” katanya lagi.
Menurutnya, kes yang tidak dapat dilupakan adalah seorang wanita yang juga gelandangan mendakwa seorang lelaki menggunakan identitinya untuk meminjam wang daripada along pada Ogos tahun lalu.
“Wanita berusia 55 tahun itu mendakwa telah didatangi seorang lelaki yang mahu membantu buat pinjaman wang untuk kos rawatan perubatannya.
“Lelaki tersebut telah menggunakan identiti wanita itu untuk meminjam wang daripada along sebanyak RM500,” katanya.
Tambahnya, wanita itu mendakwa along mendesaknya supaya membayar RM2,000 untuk melangsaikan hutang.
“Ketika berjumpa dengan wanita itu, saya berasa sebak apabila dia mahu menjual organ semata-mata untuk melangsaikan hutang along.
“Saya telah berjumpa dengan lelaki berkenaan dan berjaya menyelesaikan kes tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mustafa Khan berkata, pihaknya mendapati 50 peratus kes mangsa meminjam daripada along adalah kerana kesempitan hidup dan kos sara hidup semakin tinggi.
“Namun, ada juga mangsa yang meminjam wang daripada along untuk keseronokan hidup dan membeli dadah,” jelasnya.
Guna strategi selesai hutang
Bukan sekadar membantu, Mustafa Khan turut memaklumkan bahawa seramai 12 orang yang pernah menjadi mangsa along kini bekerja dengannya.
“Saya memilih kesemua individu itu kerana mereka memahami dan boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa,” katanya.
Ujarnya, strategi yang tepat digunakan untuk menyelesaikan hutang along.
“Kita gunakan khidmat perunding yang berpengalaman untuk mengelakkan hutang mangsa bertambah.
“Kita akan buat anggaran dan tempoh serta jadual pembayaran yang realistik untuk melindungi mangsa daripada diganggu oleh along,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa keganasan along segera tampil membuat laporan polis.
“Mangsa juga boleh mencari bantuan NGO berpengalaman untuk menyelesaikan hutang mereka dengan cara yang lebih teratur dan berkesan.
Menurutnya, mangsa perlu menyimpan bukti seperti teks WhatsApp atau sistem pesanan ringkas, rakaman panggilan telefon dan dokumen lain yang dapat membuktikan bahwa mereka telah diganggu atau diancam oleh along.
“Bukti ini dapat membantu mangsa dalam proses melaporkan along kepada pihak berwajib,” katanya. Sinar
MODUS OPERANDI ALONG
– Mangsa melihat iklan pinjaman wang di laman sesawang atau media sosial.
– Mangsa berhubung melalui telefon & WhatsApp tentang pinjaman wang.
– Mangsa diarahkan untuk muat turun aplikasi pinjaman wang dan mengisi maklumat peribadi.
– Mangsa menerima pinjaman wang.
– Jika mangsa gagal membuat bayaran balik, suspek akan menganggu kenalan mangsa dan mengugut akan menyebarkan gambar-gambar yang diperoleh dari telefon bimbit mangsa.
TIPS & NASIHAT
– Jangan buat pinjaman wang daripada along atau pemberi pinjam wang tanpa lesen.
– Berhati-hati ketika memberi kebenaran akses semasa muat turun aplikasi ke telefon bimbit anda.
– Segera uninstall aplikasi tersebut jika anda berasa curiga.
– Restart semula telefon bimbit. Jika uninstall tidak berjaya, format telefon bimbit anda.
– Tukar semua kata laluan perbankan internet, akaun e-wallet dan media sosial anda sebagai langkah keselamatan.
Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia
Dulu gengster, kini pembela mangsa along
Baca Artikel Menarik:
- Kes Ebit Lew: Saksi analisis video perbualan group Whatsapp, gambar lucah
- Daniella tak tolak peluk Islam
- Pemimpin Gerakan buta sejarah samakan Muhyiddin dengan Qu Yuan
- Pemetik Api, Power Bank dan Minyak Wangi jadi punca kereta terbakar
- KJ jangan emosi, kena sabar
- Khianat Parti: Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta pada PKR
- OceanGate Titan meletup berhampiran Titanic, lima jutawan maut (video)
- Harga beras naik bulan depan, kata bos Mydin
- Boss Kay tak bagi nafkah, dakwa bekas isteri
- Ramai boikot GRAB kerana solidariti, insiden penggantungan ‘rider’ sangat tidak adil
- Tegur Warga Singapura Isi Minyak Dalam Tong, ‘Rider’ Hilang Pekerjaan (Video)
- Cempedak kayangan dijual RM2 seulas
- Empat anggota polis peras ugut, cabul remaja berkhalwat didakwa
- Kaum Hunza golongan yang berusia panjang sehingga 140 tahun
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Syamsul, Ira Kazar tertekan punca fail saman terhadap JAWI, MAIWP