Ritual Haji adalah sebuah perjalanan kehidupan
Ritual Haji adalah sebuah perjalanan kehidupan
Ada sesuatu yang menarik disampaikan oleh imam Streatham Mosque (South London Islamic Centre), Sheikh Mumtaz ul Haq betapa indahnya ibadah haji. Setiap ritual yang dilakukan tersimpan rahsia menarik untuk dibincangkan.
Ya benar! Setiap ibadat yang Allah perintahkan kita sebagai hamba wajib taat tapi lebih menarik kalau faham keindahan di sebalik ibadat yang dilakukan.
Sheikh Mumtaz cuba menyampaikan keindahan ibadat haji melalui jalan hikmah. Katanya haji mengajar manusia menjadi lebih baik dan Muslim yang bertakwa. Apabila itu berlaku pada seseorang setelah kembalinya daripada mengerjakan haji, bermakna hajinya diterima Allah. Itu kerana, dalam hadis ada menyebut bahawa,
“Sesiapa yang menunaikan haji dan umrah tanpa merosakkannya dengan perbuatan dan perkataan kotor serta tidak berbuat maksiat maka dia kembali pada keadaannya seperti baru lahir (bersih dari dosa)” (HR Muslim).
Dari situlah boleh diungkapkan apabila kembali daripada haji ia akan jadi seorang yang lebih baik dan Muslim bertakwa. Dalam haji ada banyak pengajarannya kerana dijanjikan syurga bagi haji mabrur. Hal itu disebutkan dalam sabda Rasulullah s.a.w.,
“Masa daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah masa penghapusan dosa. Dan ganjaran haji yang mabrur tiada lain hanya syurga.” (HR Muslim)
Sesiapa yang tidak menunaikan haji tanpa ada alasan yang kukuh jika ia mati maka dalam keadaan Nasrani atau Yahudi. Rasulullah bersabda,
“Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ibadah hajinya, jika dia mati maka terserah kepadanya memilih sama ada ingin mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani” ( HR Sa’id bin Mansur, Ahmad bin Hanbal, Abu Ya’la, dan Al-Baihaqi Rahimahumullah dari Abu Umamah tetapi salah seorang periwayatnya dhaif).
Daripada situ jelaslah bahawa haji adalah amal yang cukup menarik dan Rasulullah mendoakan diampunkan dosa orang yang mengerjakan haji. Rasulullah s.a.w bersabda,
“Ya Allah, ampunilah (dosa-dosa) orang yang menunaikan haji dan (dosa-dosa) orang yang dipohon oleh orang yang mengerjakan haji.” (HR al-Hakim).
Maksudnya bukan sekadar orang yang mengerjakan haji akan diampunkan dosanya juga orang yang dipohon oleh orang yang mengerjakan haji.
Ketika dalam ihram zikir dan doa yang paling baik adalah talbiyah. Ia adalah respons daripada seruan nabi Ibrahim,
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan Kami, jadikanlah di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah 127-128).
Dan, kita tawaf tujuh pusing adalah sebagai rayuan kepada Allah agar dosa kita diampunkan. Jelasnya, hidup bukan sekadar menikmati keseronokan dalam kehidupan ini. Hidup adalah belajar untuk melakukan apa yang Allah perintahkan.
Apabila Allah perintahkan mengerjakan haji ia bukan bermakna Baitullah adalah tempat paling suci di dunia. Sebenarnya haji bukanlah berlaku di sekeliling Baitullah tetapi ada sebahagian ritual haji yang berlaku di Baitullah. Namun perkara yang paling penting dalam haji adalah Arafah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
“Kemuncak haji adalah wukuf di Arafah.”
Hari Arafah paling penting
Perkara yang paling penting di dalam haji adalah pada 9 Zulhijjah di Arafah. Tiada bandingannya 359 hari yang ada di dunia ini dengan istimewanya sehari di Arafah. Pada 9 Zulhijjah antara Zuhur dan Maghrib tidak ada tempat yang paling baik di dunia ini selain di Arafah.
Ya, kita boleh tinggal di Masjidilharam kerana di situ ada Kaabah, makam Ibrahim, boleh tawaf dan sebagainya tapi hajinya tidak akan sempurna jika tidak menghadirkan diri di Arafah. Haji itu hanya akan sah apabila kita meninggalkan Masjidilharam dan pergi ke Arafah serta tinggal di sana hanya sehari.
Semua yang dilakukan itu bukan berdasarkan apa yang kita fikirkan betul, apa yang hendak kita lakukan atau apa yang kita mahu. Tapi, semua itu dilakukan atas perintah Allah. Aturannya sudah ditetapkan.
Kita tinggalkan Mekah menuju ke Mina tapi tidak bermalam kemudian bergerak pula ke Arafah dan habiskan seharian di sana. Hanya sehari saja! Walaupun tempat itu paling hebat di dunia, tempat mustajab doa tapi adakah kita boleh tinggal di Arafah untuk bermalam?
Tidak boleh! Apabila matahari terbenam kita kena memulakan perjalanan, tinggalkan Arafah. Perjalanan diteruskan ke Mudzalifah. Hanya satu malam saja di Mudzalifah dan terus kembali ke Mina.
Sheikh Mumtaz menegaskan, di situlah letaknya hikmah bahawa kehidupan ini adalah bagaikan sebuah perjalanan. Manusia tidak tinggal di sini untuk kekal selamanya dan tidak boleh terikat dengan apa saja yang ada di sepanjang perjalanan itu. Malah kita juga tidak boleh terikat dengan tempat yang hebat, aktiviti istimewa dan kepentingan tertentu.
Kehidupan adalah sentiasa bersedia untuk bergerak dan jangan mengikat diri dengan apa saja milik kita yang ada di dunia ini. Kita kena sentiasa mengekspresikan diri untuk kembali kepada Allah apabila sampai masa dijemput nanti. Rasulullah s.a.w. bersabda,
Daripada Ibnu Umar berkata,
“Rasulullah memegang bahuku, lalu bersabda: Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing atau pengembara. Lalu Ibnu Umar berkata: “Jika engkau di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi dan jika engkau di waktu pagi, maka janganlah menunggu petang dan pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati” (HR. Bukhari).
Sepanjang haji kita sentiasa bergerak, pengajaran yang kita dapat daripada haji, hidup ini bagaikan musafir yang sentiasa bergerak. Wallahu a’lam Utv
Ritual Haji adalah sebuah perjalanan kehidupan
Baca Artikel Menarik:
- Kes Ebit Lew: Saksi analisis video perbualan group Whatsapp, gambar lucah
- Daniella tak tolak peluk Islam
- Pemimpin Gerakan buta sejarah samakan Muhyiddin dengan Qu Yuan
- Pemetik Api, Power Bank dan Minyak Wangi jadi punca kereta terbakar
- KJ jangan emosi, kena sabar
- Khianat Parti: Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta pada PKR
- OceanGate Titan meletup berhampiran Titanic, lima jutawan maut (video)
- Harga beras naik bulan depan, kata bos Mydin
- Boss Kay tak bagi nafkah, dakwa bekas isteri
- Ramai boikot GRAB kerana solidariti, insiden penggantungan ‘rider’ sangat tidak adil
- Tegur Warga Singapura Isi Minyak Dalam Tong, ‘Rider’ Hilang Pekerjaan (Video)
- Cempedak kayangan dijual RM2 seulas
- Empat anggota polis peras ugut, cabul remaja berkhalwat didakwa
- Kaum Hunza golongan yang berusia panjang sehingga 140 tahun
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Syamsul, Ira Kazar tertekan punca fail saman terhadap JAWI, MAIWP