Artis veteran dipandang hina

Artis veteran dipandang hina

Hanya terima tawaran antara RM200 dan RM150. Itulah jumlah bayaran pernah ditawarkan kepada pelakon veteran tanah air oleh segelintir penerbit untuk lakonan mereka dalam drama bersiri atau telefilem.

Angka ‘semurah’ itu ternyata amat menyedihkan namun itulah realiti yang berlaku dalam industri hiburan di Malaysia. Jika semakin berusia pelakonnya, bermakna semakin berkurangan pendapatan diperolehi.



Ini jelas berbeza jika dibandingkan nasib pelakon di Hollywood, Bollywood atau beberapa negara lain apabila bayaran diterima semakin lumayan seiring usia pembabitan dan pengalaman dimiliki pelakon terbabit.

Pelakon serba-boleh dan berkaliber tanah air, Wan Maimunah, 65, antara yang menjadi ‘mangsa’ apabila pernah ditawarkan bayaran sebanyak RM200 untuk membintangi sebuah telefilem.

Menurutnya, isu bayaran rendah kepada pelakon veteran sebenarnya sering diluahkan pelakon lain namun tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

“Saya tidak merajuk dan masih sayangkan kerjaya lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah SWT itu luas dan ada di mana-mana.



“Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon telefilem. Jumlah babak (perlu dilakonkan) mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tak mengapalah… memang bukan rezeki saya,” katanya.

Pemenang Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH lima tahun berturut-turut dari 1992 hingga 1997 ini berkata, dia tidak menganggap dirinya pelakon Gred A dan gelaran itu diberikan orang lain kepadanya.

Hakikatnya, hanya dia dan pihak produksi yang tahu jumlah bayaran sebenar diterimanya.

“Saya tetap yakin Allah SWT selalu bersama hamba-Nya yang tidak putus berdoa. Setakat ini, saya masih mampu menguruskan makan minum. Malah kalau keluar makan di luar, akan ada orang tidak dikenali membayarnya.



“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati itu dan mendoakan mereka terus dimurahkan rezeki. Sesungguhnya, Allah SWT membantu kita dalam banyak cara yang tidak diduga,” katanya.

Wan Maimunah berkata, disebabkan diskriminasi bayaran dilalui itu, dia lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon filem pendek berikutan bayaran ditawarkan jauh lebih baik berbanding bekerjasama dengan syarikat produksi lama.

Jalil pernah ditawarkan bayaran RM150 sahaja

Jika Wan Maimunah pernah ditawarkan bayaran sebanyak RM200, seorang lagi pelakon serba-boleh, Jalil Hamid, 66, pula pernah ditawarkan sebanyak RM150 saja untuk berlakon satu episod drama.



“Ia masih terngiang-ngiang dalam telinga saya sehingga kini. Saya ke set penggambaran pada hari pertama namun saya tak dapat teruskan kerja kerana saya merasakan ia satu penghinaan kepada saya,” katanya.

Jalil berkata, dia pernah mempertikaikan mengenai perbezaan bayaran pelakon veteran yang lebih rendah berbanding bayaran diterima pelakon muda.

“Banyak kali saya keluarkan kenyataan begini namun masyarakat menganggap saya mahu mencari populariti murahan,” katanya.

Menurutnya, isu bayaran rendah kepada pelakon veteran adalah perkara yang paling tidak adil dan berlaku di dalam industri seni lakon tanah air.



“Perkara ini adalah satu perkara paling tak adil yang menyebabkan pelakon-pelakon senior atau tua rasa terpinggir. Apa dosa mereka? Dia (pelakon senior) dah tua, diberikan bakat oleh Allah SWT juga.

“Orang tua pun perlu makan dan minum. Bidang lakonan ini tak ada ‘pencen’. Tak ada had umur,” katanya yang mengakui berkecil hati dengan beberapa syarikat produksi yang meletakkan harga terlalu rendah

Tempias perkara ini turut menimpa pelakon, Datin Fadilah Mansor, 65, yang memaklumkan sudah kurang ditawarkan peluang berlakon.

Fadilah berkata, dia sendiri bingung memikirkan sudah lama tiada tawaran berlakon daripada mana-mana syarikat produksi.



“Tak tahulah kenapa. Bukan saya sahaja malah kawan-kawan lain turut menerima nasib sama. Saya pun tak tahu puncanya. Dalam tahun ini, baru satu tawaran berlakon diterima.

“Ada juga dengar syarikat produksi buat penggambaran tetapi hanya membabitkan pelakon muda saja. Yang tua-tua ini dipinggirkan. Mata pencarian pada lakonan tergugat jugalah.

“Ada juga yang panggil tapi bila tahu kita tiada job (tawaran berlakon), ditawarkan kita kadar bayaran murah. Saya tak sanggup nak sebut harganya tetapi bagi saya memang tidak masuk akal.

“Saya tak boleh nak ambil (bayaran murah ditawarkan) kerana ia akan merosakkan mata pencarian pelakon lain. Saya jadi serba salah.

“Nak buat macam mana.. saya terpaksa reda. Rezeki ada di mana-mana. Kena pegang pada rezeki juga. Harap selepas ini akan ada sinar untuk pelakon veteran seperti kami,” katanya.

‘Penerbit bayar dengan harga yang mereka mampu’

Penerbit, Datuk Ayu Puteh mengakui sering mendengar rungutan golongan pelakon veteran yang tiada pekerjaan atau tidak menerima tawaran untuk berlakon.

“Bila mereka tiada tawaran, mungkin penerbit-penerbit ini cuba juga untuk membantu dengan memberikan tawaran berlakon walaupun menyedari ia bukan keperluan bagi sesebuah drama.

“Walaupun mungkin tiada pilihan, mereka (penerbit) bayar dengan harga yang mereka mampu berikan. Namun bukan semua artis veteran ini dibayar murah. Saya lihat ada pelakon veteran yang dibayar mahal sesuai dengan kredibiliti mereka.

“Dengan bakat dan nama dimiliki, pasti orang terus nak tengok (drama atau filem). Pelakon veteran ada macam-macam peringkat. Walaupun dia veteran namun aura lakonannya punyai kualiti berlainan,” katanya.

Ayu Puteh berkata, dia tidak setuju sekiranya pelakon veteran yang berbakat besar dinafikan hak untuk mendapat bayaran tinggi.

“Cuma saya minta maaf…. memang pelakon veteran ramai. Tua itu sama level, tapi lakonan dan aura tidak sama. Cara penampilan, wajah, cara penghayatan dan cara lakonan dia ada bezanya.

“Apapun Wan Maimunah dibayar murah saya tak setuju. Dia pelakon veteran yang ada wow dan aura.

“Fatimah Abu Bakar dan Normah Damanhuri contohnya semua hebat-hebat… takkan nak bayar RM500? Saya minta maaf ada satu, dua artis veteran tanya job. Saya bukan tak nak panggil tapi mereka sendiri tiada perubahan. Itu kenyataan,” katanya.

Menurutnya agak susah syarikat Pencil Pictures mahu menampilkan ramai pelakon veteran dalam drama mereka kerana semuanya berbalik kepada stesen TV.

“Mereka tak nak cerita orang tua kecuali untuk Hari Ibu dan Hari Bapa. Ini kenyataan sebenar,” katanya.

Sementara itu, pengarah dan penerbit Rashid Sibir, 56, berkata, golongan penerbit filem atau dramatidak sepatutnya merendahkan golongan artis veteran yang memiliki bakat besar.

“Tanpa pelakon veteran, tiadalah pelakon baru. Jika diberikan bayaran rendah maka kita tak hormati mereka, tiada perikemanusiaan dan memalukan industri.

“Kalau di luar, artis lebih veteran diberikan bayaran lebih tinggi. Kita patut naikkan harga mereka bukan menjatuhkan mereka. Saya kasihan dengan nasib artis veteran.

“Kalau boleh, bayaran mereka kena setimpal dengan nama, tahun pembabitan dan pencapaian diperoleh,” katanya.

Rashid memberitahu, dia memainkan peranan sebaiknya apabila memastikan setiap drama dihasilkan turut menyelitkan artis veteran. HM

Artis veteran dipandang hina

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta

Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker