Perlunya RUU Mufti digubal

 

INSTITUSI fatwa mula berkembang pesat semasa pemerintahan Umawiyah, Abasiyah dan Uthmaniyah.

Selain bertindak sebagai penasihat dalam bidang hukum syarak, mufti juga terlibat secara langsung membantu kadi menyelesaikan kes-kes di mahkamah.

Fatwa bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakyat dan masyarakat tetapi sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab oleh pemerintah.

Apabila Tanah Melayu (ketika itu) mencapai kemerdekaan, penentuan perkara mengenai hukum syarak dan doktrin Islam telah dikekalkan di bawah kuasa negeri.

Ia bukan suatu perkara yang diperoleh daripada Perlembagaan Persekutuan tetapi telah pun diamalkan sejak zaman Kesultanan Melayu lagi.

Dalam hal ini, pemerintah merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan fatwa atas apa jua persoalan yang belum diputuskan secara definitif ataupun perkara yang menimbulkan pertikaian dari sudut syarak.

Dalam konteks Malaysia ketika ini Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam memperuntukkan kedudukan dan peranan mufti sebagai penasihat utama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Umpamanya seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menyatakan Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta tersebut.

 

TEGURAN MUFTI

Seiring dengan peredaran zaman, yang memerlukan penyelesaian dari sudut hukum syarak, peranan mufti ini perlulah diperkasa.

Mufti hendaklah bebas memberi nasihat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak termasuklah kerajaan dan bukan kerajaan.

Adalah amat aneh ketika ini beberapa agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan membuat pelbagai teguran sehingga mencampuri urusan agama Islam sedangkan teguran dari pihak mufti seperti tidak diendahkan.

Mufti juga mesti dibebaskan dari pada sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu tertentu.

Sehingga hari ini, terdapat beberapa negeri telah menaik taraf jawatan mufti setaraf Exco Kerajaan Negeri walaupun mufti tersebut tidak duduk sebagai ahli permesyuaratan Negeri.

Sebagai ulul amri semua institusi agama diletakkan terus di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu termasuklah Mufti.

Ahli politik dan pihak kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan mufti khususnya dalam menggarap sesuatu fatwa bagi menjamin segala fatwa, dasar atau pandangan berkaitan agama Islam dan hukum syarak bebas daripada unsur dan pengaruh politik.

Fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak perlu lagi dibincangkan oleh pihak kerajaan untuk tujuan pewartaaan melainkan jika ia bertentangan dengan undang-undang.

Ketika ini institusi mufti berdepan cabaran besar. Pandangan daripada pihak mufti dituduh sebagai mempunyai kepentingan tertentu.

Lebih menyedihkan, masyarakat awam yang tidak terlatih dalam bidang syariah sendiri berpusu-pusu berebut mengeluarkan ‘fatwa’ sendiri dan membelakangkan fatwa sah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa.

Pemahaman sesuatu hukum dalam Islam itu bukan sekadar membaca dari teks-teks terjemahan semata-mata, bahkan ia dipandu oleh guru-guru yang mursyid.

Pada pandangan saya, institusi kefatwaan wajar dimantapkan agar tidak lagi dilihat terikat dengan mana-mana pihak bagi mengembalikan kepercayaan orang Islam terhadap institusi ini.

Institusi mufti perlu diberi kuasa sewajarnya agar lebih dihormati dan dipercayai.

Mufti ibarat Peguam Negara yang menasihati kerajaan dalam hal ehwal perundangan. Mufti menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal Islam selaras dengan sumpah bagi akan memelihara kesucian Islam.

Kerajaan pula wajib memelihara dan menyempurnakan sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ini dengan tidak membuat apa-apa perkara yang menyentuh kesucian agama Islam.

Sudah sampai masanya Rang Undang-Undang Mufti dan pemfatwaannya digubal berasingan.

Meletakkannya mufti dan pemfatwaan dalam Akta atau Enakmen Pentadbiran agama Islam akan hanya menyempitkan pemerkasaan undang-undang berkaitan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Annuar Musa akui ‘ingkar’ pada kehendak Pengerusi BN

Ajal Ketika Tukar Tayar Kereta Pancit, Dua Maut Di Rempuh Lori [VIDEO]

 

Glamor, nama sahaja tak cukup, Norman takkan masuk politik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker