Pentingnya ilmu eskatologi Islam
Pentingnya ilmu eskatologi Islam
oleh Dr Mohd Khafidz Soroni
Ilmu eskatologi antara ilmu yang patut difahami dan didalami pada masa kini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, eskatologi ialah cabang teologi atau kepercayaan agama yang berkaitan dengan berakhirnya dunia. Dalam Islam, eskatologi bukanlah suatu yang baharu kerana ia memang datang bersama wahyu yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Eskatologi Islam bukan sahaja menyatakan dunia akan berakhir, tetapi ia mesti didahului oleh tanda yang menunjukkan demikian.
Hadis tentang eskatologi dikenali sebagai hadis al-Fitan wa Asyrat as-Sa’ah (fitnah dan tanda akhir zaman). Antara faedah utamanya adalah agar kita sentiasa menyedari hakikat dan matlamat hidup manusia di atas muka bumi kerana sesuatu yang bermula pasti ada akhirnya melainkan Allah SWT sahaja yang Maha Kekal, tiada mula serta tiada akhir bagi-Nya. Selain dapat meyakini dengan sepenuhnya risalah kenabian Nabi SAW yang tidak menuturkan satu perkataan pun melainkan yang benar semata-mata.
Hadis al-Fitan wa Asyrat as-Sa’ah ini dihimpunkan oleh Dr Hammam Abd al-Rahim Said berserta anaknya, Dr Muhammad Hammam Abd al-Rahim dalam sebuah ensiklopedia, Mausu’ah Ahadith al-Fitan wa Asyrat as-Sa’ahyang keseluruhannya berjumlah sebanyak 2,060 hadis, merangkumi tanda kecil dan tanda besar hari kiamat.
Melalui ilmu eskatologi Islam, kita dapat meyaksikan apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW menepati realiti yang berlaku satu demi satu. Terbaharu pada awal tahun ini, beberapa kawasan tanah tinggi dan gurun barat di Arab Saudi yang terkenal dengan landskap tandusnya bertukar menjadi hijau susulan cuaca lembap serta hujan yang hampir berterusan untuk tempoh lebih panjang berbanding sebelumnya.
Walaupun ia mungkin bersifat sementara, namun kita percaya bahawa ia hanya permulaan dan bukannya yang terakhir, berdasarkan hadis Nabi SAW sabdanya: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta menjadi banyak dan melimpah sehingga seorang lelaki keluar membawa zakat hartanya, namun ia tidak menemukan seorang pun yang mahu menerimanya dan sehingga tanah Arab kembali menjadi tanah subur yang penuh tumbuhan dan sungai mengalir.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
Perkara yang dikhabarkan oleh Nabi SAW serta menepati realiti yang berlaku ini pernah dibahaskan oleh beberapa sarjana Islam. Antaranya, al-Hafiz Sayyidi Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani (wafat 1380H) dalam kitab Mutabaqat al-Ikhtira’at al-‘Asriyyah lima Akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah yang kandungannya membahaskan tentang ciptaan, inovasi dan sistem moden yang menepati perkhabaran Rasulullah SAW.
Begitu juga adiknya, al-Muhaddith Sayyidi Abd al-Aziz bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani (wafat 1418H) yang menyusun kitab al-Arba’in al-Aziziyyah fima Akhbara bihi al-Nabi min Ahwal al-Waqt yang kandungannya membahaskan tentang gejala sosial, masalah moral dan keruntuhan akidah umat akhir zaman yang menepati perkhabaran Rasulullah SAW. Kitab beliau diterjemahkan oleh Ustaz Alhakim bin Ishak dengan judul: ’40 Hadis Perihal Zaman Kini’.
Tidak dinafikan bahawa terdapat hadis daif di dalam kitab berkenaan, namun perlu diketahui bahawa tema kitab bukanlah berkaitan akidah dan hukum, tetapi lebih berkaitan nasihat serta peringatan buat umat Islam. Justeru, harus menggunakan hadis daif dalam aspek ini. Malah, Sayyidi Abd al-Aziz al-Ghumari dalam kitabnya mengemukakan satu kaedah pengukuhan hadis yang barangkali diperselisihkan penerimaannya, iaitu hadis daif bukan saja dapat dikuatkan dengan sokongan riwayat lain, bahkan ia juga dapat dikuatkan dengan sifatnya menepati realiti yang berlaku, meskipun tiada riwayat lain yang menyokongnya. Menurut beliau, ia menunjukkan bahawa perawi hadis daif tersebut mungkin bersifat benar dan jujur ketika meriwayatkannya.
Ringkasnya, kedua-dua kitab menghimpunkan hadis yang bertepatan dengan realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam zaman mutakhir ini. Walaupun ada sesetengahnya hanya berlaku dalam kalangan segelintir masyarakat, namun itu sudah cukup untuk menunjukkan benarnya perkhabaran Nabi SAW. Kesemua hadis yang memerihalkan tentang hal ehwal berkenaan jelas membuktikan bahawa umat manusia kini sedang berada pada fasa akhir zaman.
Justeru, amat penting kita menyedari hakikat ini dan mempelajari hadis mengenainya agar dapat dijadikan pedoman untuk kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat. Hadis mengenai eskatologi ini mampu membuatkan kita sentiasa waspada terhadap apa jua situasi yang melanda umat manusia, di samping sedar dan insaf terhadap kelemahan yang ada pada diri kita agar segera diperbetul serta diperbaiki sebelum terlewat. Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada segala bala bencana dan fitnah yang sedang atau bakal melanda di akhir zaman ini.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Pentingnya ilmu eskatologi Islam
Baca Artikel Menarik:
- Negeri mundur, tapi beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat
- Uqasha lapor polis difitnah kaki buli di sekolah
- Kerajaan ambil semua wang saya
- Rayu lawat kubur isteri selepas tembak matinya
- Pelajar jatuh cinta pada guru sejak tingkatan 3 akhirnya jadi isterinya yang sah [VIDEO]
- Kehidupan hancur, 6 tahun berkahwin baru tahu isteri rupanya saudara kandung
- Jantung bengkak dan jangkitan kuman, Ustaz Azhar Idrus ditahan di hospital
- ‘Datuk Roy’ juga dikait siasatan penipuan RM2 juta
- Tolak ‘calon proksi’ pada pemilihan ini – Zahid
- Lelaki ‘bertanduk’ meninggal dunia pada usia 140 tahun
- Tukar Pengundi: Taktikal terancang rampas kawasan dalam PRN
- Taikun pendana politik perlu didedahkan kepada umum
- Speaker ‘back up’ Wee Ka Siong
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan
You must be logged in to post a comment.