Saarani angkat sumpah MB Perak ke-14


Datuk Saarani Mohamad hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin, dan kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah di sini.

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim.

Sultan Nazrin berkenan melantik Saarani sebagai menteri besar setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Saarani, 59 tahun, adalah anak kelahiran Lenggong, Perak dilahirkan pada 13 Mac 1961.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Aezer Zubir yang merupakan pesara guru, dan dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Saarani yang memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).

Beliau yang menjadi ADUN Kota Tampan selama empat penggal itu pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2018. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker