Penawar jiwa kacau

Aina Abdul

Penawar jiwa kacau

Tidak pernah terlintas dalam hati penyanyi vokal mantap, Aina Abdul, 30, lagu Terus Hidup yang diciptakan khas buat bapanya, Allahyarham Abdul Ghani Abdullah, menghadiahkan kemenangan sebesar ini.

Sebagai pengkarya, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani menjalankan tugas bak penglipur lara yang berkongsi cerita dan luahan perasaan kepada pendengar menerusi bakat dianugerahkan.



Apabila lagu Terus Hidup diangkat juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) dan Vokal Terbaik pada pentas akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin, Aina menyifatkan karya itu sebagai cukup istimewa. Bagi gadis ini, bingkisan itu membawa tuah kerana berjaya melunaskan impian yang sekian lama terpendam.

“Lagu Terus Hidup membawa makna cukup besar dalam hidup saya kerana ia ditujukan buat arwah bapa. Sudah tentu ia membawa pengertian berbeza berbanding karya lain yang pernah saya hasilkan.

“Sejujurnya, saya memang menantikan momen ini sebaik menyertai AJL sejak empat tahun lalu. Saya impikan hendak menang tempat pertama dan vokal terbaik. Apabila diangkat juara dan menang vokal terbaik serentak, ia adalah sesuatu yang luar biasa buat saya.

“Sungguhpun begitu, saya tidak pernah menyasarkan menghasilkan karya semata-mata mahu mengejar anugerah. Sebagai pengkarya, saya ingin juga mendapat pengiktirafan juri profesional.



“Alhamdulillah, impian ini akhirnya tercapai juga,” katanya.

Dengan kejayaan sebagai juara dan pemenang Vokal Terbaik, jumlah keseluruhan wang tunai dimenangi Aina sebanyak RM112,000 dan trofi.

Berkongsi kisah di sebalik pembikinan lagu Terus Hidup, penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata, lagu Terus Hidup adalah karya paling rumit yang pernah dihasilkan.

“Melodi lagu ini hadir selepas saya pulang dari gimnasium. Selepas meletak kenderaan dan berjalan ke rumah, tiba-tiba ilham muncul.



“Berbanding lagu lain, Terus Hidup mengambil masa agak lama untuk disiapkan selama berbulan-bulan.

“Ketika saya serahkan lagu ini kepada Jenny Chin untuk menggubah muzik dan melodinya, cuma ada bahagian rangkap dan ‘chorus’ sahaja.

“Waktu itu, saya masih berasa ada kekurangan terhadap karya ini. Selepas mendapat ilham baharu, iaitu melodi untuk bahagian ‘bridge’ yang saya anggap bahagian paling mencabar vokal, saya minta Jenny mencantumkannya dan terjadilah ia seperti yang kita dengar,” katanya.

Bukan sahaja membawa tuah dari segi kemenangan, tetapi tambah bekas protege Ella menerusi program Mentor Legend 2014 terbitan TV3 ini, lagu Terus Hidup membawa perubahan besar dari segi emosinya.



“Terus Hidup sangat penting kerana ia membuka mata saya kepada banyak perkara, terutama dalam kehidupan.

“Jiwa saya mudah terusik dan ada kala, saya juga ‘overthinking’ (berfikir keterlaluan).

“Justeru, lagu ini berjaya menemukan semula diri saya yang pernah hilang, sekali gus jiwa yang kacau ini kembali tenang,” luah Aina.

Mengenai konsep awan yang diketengahkan dalam persembahan, sesuai dengan busana digayakan, Aina berkata, ia adalah inspirasi pemandangan menarik perhatiannya ketika berada dalam kapal terbang.



“Saya kerap terbang ke luar negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura atas tujuan kerja, tahun lalu.

“Apabila berada dalam kapal terbang, saya suka duduk di tepi tingkap. Daripada situ, saya dapat idea untuk menjadikan awan sebagai konsep keseluruhan persembahan, termasuk busana digayakan.

“Awan juga simbolik kepada arwah bapa yang sudah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya yang tampil dengan busana rekaan Melinda Looi seberat kira 10 kilogram (kg). BH

Penawar jiwa kacau



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Senarai pemenang AJL37, Terus Hidup dinobat sebagai juara

Jahat atau tak, tunggu saja – Anwar

Isteri naik hantu, ganyang skandal suami tepi jalan raya [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker