Amaran Allah dalam 10 Ayat Pertama Surah al-Kahfi

Amaran Allah dalam 10 Ayat Pertama Surah al-Kahfi. Ini Sebab Mengapa Rasulullah Anjur Untuk Diamalkan

Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa yang menghafal 10 ayat pertama dari surah al-Kahfi, maka ia terlindung dari Dajal.” – HR Muslim, Abu Dawud, An-nasai dan At-tirmidzi.

Menghafal 10 ayat pertama daripada surah al-Kahfi, maka ia terlindung dari Dajal. Hadis itu menimbulkan persoalan tentang perkaitan Dajal dengan amalan membaca surah al-Kahfi. Oleh itu al-Islam bertanyakan perkara ini kepada Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran & as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkenaan kaifiat surah al-Kahfi yang dianjurkan untuk membacanya pada malam Jumaat.



Menurutnya, perkara pertama yang perlu difahami tentang kandungan 10 ayat pertama surah al-Kahfi dan perkaitan dengan sifat Dajal itu sendiri. Dajal ini sinonim dengan fitnah kerana bersifat menipu dan suka menyembunyikan kebenaran. Sehinggakan di dalam hadis pun banyak menyebut perkataan fitnah Dajal. “Kalau kita lihat dalam hadis selalu akan sebut ‘fitnah Dajal’. Jadi Dajal merupakan satu makhluk yang sinonim dengan fitnah.”

Ujarnya, Dajal merupakan manusia biasa yang dikurniakan Allah boleh melakukan perkara-perkara ajaib. Contohnya menghidupkan yang mati, menumbuhkan tumbuhan, menyuburkan haiwan-haiwan ternakan. Oleh yang demikian Dajal ini boleh membawa kepada fitnah kerana dia akan memberi kekeliruan kepada manusia. Sehingga manusia beranggapan Dajal yang membawa kebenaran.

Seterusnya Sanusi, mengajak pembaca untuk memahami sifat fitnah yang mengelirukan. Fitnah ini boleh membengkokkan dan mengelirukan manusia dari jalan kebenaran. Konklusinya, Allah memberikan Dajal ini kelebihan yang luar biasa dan boleh mempengaruhi manusia lain dengan fitnahnya.

Hudzaifah berkata, “Sesungguhnya Dajal itu akan keluar dengan membawa air dan api. Adapun apa yang terlihat air oleh manusia maka itu sebenarnya adalah api yang membakar. Sedangkan apa yang terlihat api oleh manusia maka itu sebenarnya adalah air yang dingin dan segar.”



Barangsiapa di antara kamu sekalian berjumpa dengan Dajal, maka hendaklah ia membuat keputusan memilih pada apa yang terlihat sebagai api kerana sesungguhnya itu adalah air yang segar dan baik.” Kemudian Abu Mas`ud berkata, “Saya pun telah mendengar berita yang seperti itu.” – HR al-Bukhari dan Muslim

Berbalik pula pada perkaitan 10 ayat pertama dalam surah al-Kahfi itu, Mengapa Rasulullah menganjurkan kepada umat manusia untuk mengamalkan surah ini?

Rahsia 10 Ayat al-Kahfi

Menjawab persoalan tersebut, Sanusi membuka tafsir ayat pertama surah ini yang mana Allah menerangkan sifat al-Quran yang lurus tidak membengkokkan. Ayat pertama surah ini sahaja sudah menerangkan perbezaan sifat fitnah yang membengkokkan manakala al-Quran itu turun sebagai petunjuk jalan yang lurus.



Kemudian tafsir ayat kedua dan ketiga menerangkan sifat al-Quran itu yang akan berhadapan dengan fitnah yang menyesatkan manusia. Allah akan mengazab manusia yang terpedaya dengan fitnah Dajal. Al-Quran juga turun sebagai pengawas dan pemberi amaran kepada fitnah Dajal itu. Pada masa yang sama Allah akan beri ganjaran kepada orang mukmin yang setia dengan al-Quran.

Sanusi menghuraikan lagi, tafsir ayat empat dan lima, Allah memberi amaran keras kepada manusia yang mengatakan Allah itu mempunyai anak. Contohnya, agama Kristian mengiktiraf Jesus sebagai anak tuhan. Manakala Yahudi mengatakan Uzair adalah anak tuhan seperti yang disebut dalam surah at-Taubah: 30

“Dan Uzair ialah anak Allah, dan orang-orang Nasrani berkata “Al-Masih ialah anak Allah…”

Jadi barang siapa yang mengatakan Allah itu mempunyai anak, itu tanda syirik kepada Allah. Sepatutnya Allah itu satu. Ia membawa maksud Allah mahu mencela golongan yang mengambil makhluk sebagai anak kepada Allah. Jadi bersangkutan dengan fitnah Dajal yang lebih dahsyat kerana mengaku dirinya sebagai Tuhan.



Kalaulah manusia sudah mengiktiraf makhluk sebagai anak tuhan inikan pula manusia itu sendiri mengaku dirinya sebagai tuhan. Sudah pasti Allah murka. Oleh yang demikian dalam ayat tersebut Rasulullah mengingatkan manusia untuk menguasai ayat ini supaya berhati-hati dengan sifat Dajal yang suka mengaku dirinya sebagai tuhan.

Kemudian tafsir ayat keenam, Allah memujuk Rasulullah supaya tidak terlalu kecewa dengan manusia yang akan mengikut Dajal. Sedangkan Rasulullah sudah bersungguh memberi amaran kepada manusia untuk menghindari diri dari Dajal,”

Dari Ummu Syari berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sungguh manusia melarikan diri dari Dajal sampai di atas gunung.” – HR Muslim.

Tafsir ayat tujuh dan lapan surah al-Kahfi sangat jelas menunjukkan sifat fitnah yang boleh mengelirukan manusia dari kebenaran Allah. Di samping itu, Allah menerangkan sebab dijadikan Dajal, adalah sebagai ujian fitnah kepada manusia untuk menilai siapakah yang paling terbaik. Seperti sabda Rasulullah s.a.w.,



“Tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah Dajal.” – HR Ahmad.

Seterusnya ayat sembilan dan 10, Allah menunjukkan bukti fitnah yang berlaku. Pada ayat itu, Allah menceritakan kisah para pemuda yang melarikan diri untuk menyelamatkan diri agar terhindar dari kaum mereka yang membuat fitnah agar mereka itu berpaling dari agama mereka. Jadi, di situ jelas menunjukkan fitnah yang akan berlaku dan antara fitnahnya adalah fitnah akidah.

Tambah Sanusi lagi, pada permulaan kisah Asabul Khafi, Allah menunjukkan kekuasaannya menidurkan para pemuda itu selama 360 tahun. Jadi manusia tidak perlu terkejut dengan keajaiban yang akan dibawa oleh Dajal.

Di samping itu juga, keseluruhan surah al-Kahfi ini menceritakan tentang pelbagai jenis fitnah. Antaranya fitnah akidah, fitnah harta, fitnah kuasa dan fitnah ilmu. Fitnah harta boleh diambil iktibar daripada kisah dua orang pemuda yang memiliki kebun, tetapi salah seorang bersikap sombong dan riak dengan harta yang dimiliki.



Manakala fitnah ilmu pula tentang kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa yang terpedaya dengan ilmu yang dia ada. Nabi Musa merasakan sudah mempunyai ilmu yang banyak kerana dia seorang nabi tapi sebenarnya Nabi Khidir ada ilmu yang tidak diketahui Nabi Musa.

Kemudian fitnah kuasa, kisah antara Zulkarnain dan Yakjuj Makuj. Yakjuj Makjuj merupakan makhluk jahat yang diberikan kuasa oleh Allah dan akan berlaku bencanalah sekiranya orang jahat yang menguasai dunia. Jadi Allah menurunkan Zulkarnain sebagai penyelamat untuk menyekat kuasa kejahatan itu. Wallahu a’lam Utv

Adalah lebih baik kalau kita baca sepuluh ayat pertama dan 10 ayat yang terakhir surah al Kahfi pada setiap hari bagi menghindari fitnah dajal.

Amaran Allah dalam 10 Ayat Pertama Surah al-Kahfi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

PRN Melaka: Zahid Hamidi Gesa Pengundi Melaka Waspada, Ada Cubaan Burukkan Imej Calon BN

Malaysia Bukan Negara Sihat – Khairy Jamaluddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker