Apabila alam dinoda manusia

Apabila alam dinoda manusia

Dalam al-Quran tidak menyebut langsung bahawa Allah mengutuk bumi kerana dosa-dosa manusia. Sebaliknya al-Quran menyebut bahawa bumi ini ialah satu barakah. Maka sudut pandang orang Islam terhadap alam dan ciptaan-Nya tidak bersifat buruk, tetapi satu kebaikan atau barakah.

Jadi, dari mana datangnya fasad atau kerosakan, dan mengapa al-Quran mengutuknya? Allah mencipta bumi dan alam ini dengan baik, tetapi kitalah yang memusnahkannya.

“…Dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan.” (al-A’raaf: 74)

Terdapat satu ayat yang menarik di dalam al-Quran yang boleh menggambarkan apa yang berlaku pada hari ini.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41)

Muslim yang baik ialah pencinta alam sekitar (environmentalist) yang baik, dan pencinta alam sekitar terbaik tidak lain dan tidak bukan ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ini terbukti dengan sunah Baginda.

Aspek fizikal alam sekitar

Cuba kita fokus kepada empat aspek fizikal alam sekitar, bumi, alam haiwan, tumbuh-tumbuhan dan ciptaan yang tidak bernyawa. Seperti yang disebut sebelum ini, al-Quran menyebut bumi ialah satu barakah. Bumi juga sering saling dikaitkan dengan langit di dalam al-Quran.

Allah s.w.t. berfirman, “Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara…,” (Al-Anbiyaa’: 32).

Adakah ini merujuk kepada lapisan ozon yang sangat penting bagi kehidupan kita di bumi? Lapisan ini juga terdedah kepada kerosakan disebabkan kerosakan yang dilakukan oleh manusia.

Kemudian lihat pula kaitan langit dan bumi yang turut disebut dalam ayat bermaksud,

“Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 22)

Al-Quran dan Nabi s.a.w mengajar agar kita memanfaatkan tanah/bumi, malah aktiviti bercucuk-tanam dipuji. Terdapat hadis yang menyatakan tanah menjadi milik orang yang mengusahakannya.

Alam Haiwan

Berkaitan haiwan pula, al-Quran tidak hanya memperkatakan fungsi binatang, tetapi keindahannya. Siapa kata Islam hanya berkaitan hukum-hakam seperti potong kepala dan tangan? Islam juga menyebut mengenai keindahan ciptaan-ciptaan Allah S.W.T.

“Dan binatang-binatang ternak itu, Dia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain dan daripadanya juga kamu makan. Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang) dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).” (An-Nahl: 5-6)

Melayan haiwan dengan baik juga sebahagian daripada sesuatu yang dituntut dalam Islam. Setiap perlakuan yang baik walaupun kepada haiwan Allah janjikan dengan kebaikan juga.

Dalam hadis pula kita mendapat contoh terbaik daripada Rasulullah s.a.w., Baginda menyebut mengenai seorang wanita yang masuk syurga kerana memberi minum seekor anjing yang dahaga, dan seorang lagi masuk neraka kerana mengurung kucing tanpa memberinya makan.

Semasa menyembelih binatang pula, umat Islam menyebut ‘Bismillah’. Apakah intipati ajaran Islam dalam hal ini? Selain mendapat barakah, ia juga membawa maksud haiwan tersebut bernyawa dan merasai kesakitan, sekiranya tidak kerana Allah memberi kita kebenaran membunuhnya untuk makanan, kita tidak mempunyai hak membunuhnya.

Semasa menyembelih juga, disyaratkan menggunakan pisau yang tajam, dan tidak dilakukan di hadapan haiwan lain. Apabila berburu pula, binatang diburu haruslah untuk dimakan, bukan sekadar satu sukan. Sebab itu juga Islam mengharamkan menggunakan burung atau haiwan lain sebagai sasaran dalam latihan sukan (menembak, memanah dan sebagainya).

Begitu indahnya Islam, hendak sembelih binatang pun ada tatacara yang perlu diikut
Tumbuhan itu indah

Seperti halnya dengan haiwan, al-Quran tidak sahaja memperkatakan manfaat tumbuh-tumbuhan tetapi juga keindahannya.

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Yunus: 24)

Rasulullah s.a.w. juga melarang monopoli ke atas air, kayu api atau suatu kawasan yang sangat luas, bukit-bukau dan hutan. Di mana segala hal yang disebutkan itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai. Malah Baginda juga melarang memotong pokok tanpa sebarang tujuan, sehingga semasa perang pun, pokok tidak boleh ditebang sembarangan, melainkan ada tujuan yang strategik dalam peperangan.

Malang sekali dalam peperangan sekarang, bukan sahaja tumbuhan-tumbuhan dipotong, anggota manusia juga dipenggal! Selain itu, infrastruktur sesebuah negara turut dimusnahkan, sumber-sumber alamnya dicemari, dan pelbagai kerosakan lagi dilakukan.

Sedangkan kita sudah diajari tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Malah ibadah haji juga merupakan latihan penjagaan alam sekitar yang intensif bagi umat Islam. Dalam tempoh ihram contohnya, mereka tidak boleh berburu, dilarang memetik walau sehelai daun! Mengapa? Untuk menghargai ciptaan Allah serta mengajar mereka hidup dengan berharmoni dengan alam.

Dalam hal berkaitan pemeliharaan alam sekitar, kita mestilah memikirkan kepentingannya untuk generasi akan datang. Bila kita hilang keseimbangan dalam dunia hari ini, kita menafikan hak mereka. Setiap perkara baik yang kita lakukan sekarang boleh dianggap sebagai satu sedekah kepada mereka.

Hadis Rasulullah s.a.w menyebut,

“Tidaklah seorang Muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya.” (HR Tirmizi). Wallahu a’lam Utv

Apabila alam dinoda manusia

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lompat Apek Lompat, Anwar buat apa tu (Video)

Luahan hati Mawar Karim

Suki Low menangis kerana Shila Amzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker