‘Dibikin’ selama 15 tahun, filem Syaitan Munafik bakal menyeramkan penonton

KUALA LUMPUR: Tempoh 15 tahun diambil untuk menyiapkan projek filem Syaitan Munafik barangkali fakta yang mengejutkan bagi peminat sinematik tempatan.

Bayangkan, dengan tempoh lama diambil untuk menyiapkan naskhah itu, ada antara pelakon termasuk teraju utama, Allahyarham Ashraf Sinclair, sudah pergi menghadap Ilahi.

Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung ketika tidur di kediamannya di Jakarta, Indonesia pada 18 Februari 2020.



Malah, pengarahnya, Allahyarham Majed Salleh tidak sempat melihat karyanya ditayangkan di pawagam apabila dilapor meninggal dunia, Oktober lalu. Seorang lagi pelakon yang terbabit dalam filem ini yang sudah pergi menyahut panggilan Ilahi adalah Allahyarham Maidin.

Mengulas perkara itu, penerbitnya, Datuk Mohd Rosdi Shair menafikan filem terbitan United Nine Creative Sdn Bhd itu diperam seperti disangka ramai.

Sebaliknya, tempoh pembikinan filem itu dilanjutkan berikutan ada penambahan babak baharu untuk memudahkan kefahaman penonton.

“Filem ini bukan diperam. Kami tambah babak baharu untuk melengkapkan jalan cerita agar penonton lebih faham.



“Filem asal yang sudah siap adalah 90 peratus, manakala baki 10 peratus lagi adalah untuk babak baharu.

“Proses pembikinan filem ini diteruskan kerana saya mahu beritahu semua pihak bahawa kami tetap berusaha menyiapkan filem ini, meskipun terpaksa mengambil masa lama.

“Tertangguh lama itu bukan bermakna kani sengaja tidak mahu siapkan, sebaliknya, kami berdepan beberapa masalah teknikal.

“Alhamdulillah, kami berjaya siapkan filem ini dan bersedia menayangkannya,” katanya kepada BH Online.



Bukan sekadar memaparkan babak karakter hantu yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu, malah, Syaitan Munafik menyelitkan babak sensasi termasuk pelakon berkemban.

Mohd Rosdi menepis tanggapan babak berkemban itu sengaja diadakan untuk mengumpan penonton.

“Sebenarnya, babak berkemban itu sesuai dengan jalan cerita, iaitu bagaimana seseorang memakai susuk.

“Dalam keadaan begitu, takkanlah hendak pakai baju kebaya. Babak itu dibuat untuk menampakkan si pelaku terlalu taksub (pakai susuk) hingga sanggup buat apa sahaja.



“Kadang-kadang, di rumah pun, ada yang berkemban. Apa yang dipaparkan adalah gambaran kisah masyarakat semasa, bukannya kami sengaja nak eksploitasi artis.

“Alhamdulillah, setakat ini, apa yang kita hantar kepada Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) disunting tidak sampai lima peratus.

“Maknanya, apa yang dipaparkan adalah yang sudah diluluskan LPF. Babak yang dipotong itu membabitkan babak berkemban pelakon Indonesia yang agak keterlaluan,” katanya ditemui pada sidang media tayangan filem Syaitan Munafik di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Allahyarham Ashraf dan Allahyarham Maidin, filem ini dibintangi Faizal Hussein, Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Khadijah Halim, Ruminah Sidek, Nabil Ahmad, Zila Bakarin dan Bandi Amuk.



Ditanya apakah filem itu masih relevan untuk ditayangkan sekarang, Mohd Rosdi yakin filem bergenre seram mampu diterima ramai.

“Kita tidak takut bersaing sebab kita yakin cerita begini tidak terlalu berat, cuma menghiburkan. Orang tanya kenapa pilih filem ini? Bagi kami, Syaitan Munafik itu sekadar sebuah jenama.

“Ceritanya berkisar kepada kisah masyarakat yang berlaku zaman kita kecil dulu,” katanya.

Filem yang membabitkan kos RM1.7 juta ini mengisahkan sekumpulan pelajar yang membuat kajian mengenai kewujudan puteri bunian dan alam ghaib.



Dua daripada pelajar terbabit berasal dari Indonesia manakala tiga orang lagi, pelajar tempatan.

Mereka menempuhi pelbagai halangan dari awal perjalanan hingga tiba di kaki sebuah gunung. Tanpa menghiraukan kejadian aneh, kenderaan yang mereka naiki meluncur ke suatu tempat yang dilihat seperti alam ghaib.

Filem Syaitan Munafik mula menemui penonton di pawagam di seluruh negara, semalam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker