Op Mabuk ‘all out’!

Seramai 29 individu menjadi ‘korban’ dalam kemalangan jalan raya berpunca akibat pemandu mabuk bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya merekodkan 70 kemalangan di seluruh negara membabitkan pemandu mabuk sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada 70 kemalangan direkodkan, 29 individu disahkan meninggal dunia, manakala 41 individu lagi dilaporkan cedera sepanjang tempoh itu.

“Berdasarkan kemalangan itu juga, kami melakukan 70 tangkapan dengan 20 kes masih dalam siasatan dan selebihnya pula sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azisman berkata, seramai 822 individu di seluruh negara ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dengan 1,213 pemandu disaring menerusi 278 operasi di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.

“Pada 2018, 1,037 Operasi Mabuk (Op Mabuk) dilakukan di seluruh negara dengan 2,226 individu disaring yang membawa kepada penahanan 1,589 pemandu didapati mabuk.

“Bagi tahun lalu pula, sebanyak 933 Op Mabuk dilakukan dengan 2,454 individu disaring. Daripada jumlah itu, seramai 1,581 individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Beliau berkata, tindakan keras serta kompaun juga akan dikenakan terhadap individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Op mabuk akan diteruskan di seluruh negara termasuk pemeriksaan di kawasan serta laluan berhampiran premis yang menyediakan minuman keras.

“Langkah ini diambil bagi membolehkan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tidak memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak berlakunya kemalangan hingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pertingkat Op Mabuk seluruh negara

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan meningkatkan Op Mabuk di seluruh negara bagi mengambil tindakan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sehingga kini sebanyak 1,213 saringan pernafasan dilakukan terhadap individu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Daripada jumlah itu, seramai 822 individu di seluruh negara ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kerajaan dan agensi lain juga perlu mengambil tindakan keras serta mengawal penjualan arak yang mudah diperoleh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Azisman berkata, sehingga awal Jun ini sebanyak 22 kertas siasatan dibuka membabitkan 22 kemalangan akibat pemandu mabuk.

“Daripada jumlah itu 10 individu sudah dituduh di mahkamah dan menerima hukuman.

“Tahun lalu 23 kertas siasatan dibuka 18 daripadanya sudah dituduh di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu sudah dipertingkatkan sejak kes kemalangan sehingga membabitkan kematian Sarjan Safwan Muhammad Ismail, 31.

“Kami sudah mengambil tindakan tegas ke atas pemandu yang dikesan terbabit dengan kesalahan sedemikian.

“Pengguna jalan raya diingatkan untuk tidak memandu jika mengambil alkohol yang melebihi kadar ditetapkan,” katanya.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker