PM rancang PRU15 selepas vaksin diedar


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendedahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pandemik Covid-19 berjaya diredakan dengan bekalan vaksin mula diagih kepada rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perkara itu diluahkan Muhyiddin sewaktu mengadakan mesyuarat khas MPT Bersatu pada malam Selasa lalu, dengan sasaran awal PRU15 sepatutnya diadakan tahun lepas.

Beliau berkata, Bersatu langsung tidak gentar menghadapi PRU15 dengan Muhyiddin sendiri menyedari bahawa melalui pelaksanaan proses demokrasi itu sahaja akan memastikan kerajaan baharu yang bakal dibentuk lebih stabil.

“Bersatu memang mahukan PRU15 lebih awal, bahkan Presiden parti (Muhyiddin) mendedahkan dalam mesyuarat MPN yang beliau mahu mengadakannya setelah Covid-19 reda dengan bekalan vaksin mula diagihkan kepada rakyat.



“Kerajaan menjangkakan pandemik itu mula terkawal dengan bekalan vaksin mula diedarkan selewat-lewatnya suku kedua tahun ini.

“Sejak awal lagi, Bersatu dan kerajaan PN hanya mentadbir mengikut perundangan negara dan kita tidak memiliki sebarang muslihat politik untuk melengah-lengahkan PRU,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Selasa memutuskan usul menolak hubungan kerjasama dengan Bersatu akan dibawa dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini untuk dimuktamadkan.

Menjawab mengenai nasib kerajaan PN sekiranya UMNO menarik sokongan parti itu, Muhammad Faiz menegaskan Bersatu sememangnya menyeru ke arah perpaduan parti-parti Melayu dan Islam, namun tidak akan sesekali bersifat apologetik terhadap UMNO.



Sebagaimana UMNO mahu mengukuhkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional, Muhammad Faiz turut menegaskan Bersatu juga kini cenderung mengukuhkan kerjasama dengan Pas selain parti-parti lain dalam PN.

“Masalah politik negara ketika ini lebih tertumpu politik Semenanjung Malaysia dengan Bersatu sememangnya akan berunding kerusi pilihan raya dengan Pas sekiranya UMNO tetap mahu angkat kaki.

“Lagipun setakat ini, proses perundingan kerusi pilihan raya pun hanya libatkan kami dan Pas sahaja. Jadi agak hairan UMNO tuduh kami cuba buli dan rebut semua kerusi mereka sedangkan rundingan belum pun bermula lagi,” katanya.

Menurutnya, Bersatu akur sekiranya pilihan raya mengejut akhirnya berlaku kerana pada saat ini ‘bola berada di tangan UMNO’ untuk menentukan kestabilan kerajaan PN.



“Cuma dalam konteks kerjasama politik bersama Pas, saya fikir parti Islam itu perlu membuat penegasan dalam menentukan hala tuju kerjasama politik dipilih mereka.

“Terdapat pandangan melihat Pas lebih selesa ambil sikap tunggu dan lihat kerana situasi konflik UMNO-Bersatu secara tidak langsung memberi ‘kuasa perundingan’ tambahan kepada parti itu.

“Meskipun tiada masalah antara Pas dan Bersatu, saya berpendapat Pas wajar memilih sama ada bersama kami atau UMNO demi memudahkan persiapan menghadapi PRU15,” katanya. Sinar

PRU15: PAS tak kerjasama dengan Umno jika tanpa Bersatu – Annuar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker