Mufti Pulau Pinang ‘backup’ pelantikan Nurul Izzah

Mufti Pulau Pinang ‘backup’ pelantikan Nurul Izzah

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dilihat tidak salah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bukan satu kesalahan bagi seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarga sekiranya berkelayakan, mempunyai integriti serta mempunyai kepakaran.



Menurutnya, selain itu, dengan kepakaran yang ada, Nurul Izzah juga dilihat dapat memudahkan urusan negara yang akan dilaksanakan.

“Bagi saya tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya. Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan.

“Sebagai seorang agamawan, saya cenderung melihat isu ini daripada perspektif Islam. Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat. Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Salim berkata, sebagai warganegara Malaysia, rakyat sepatutnya berbangga dengan individu yang sanggup berkhidmat untuk negara dan rakyat dengan sukarela tanpa menuntut sebarang ganjaran.



“Kadang-kadang saya pelik apabila mendapati sebahagian masyarakat memprotes seseorang yang berkhidmat untuk negara secara percuma. Mereka sebaliknya boleh menerima seorang lain yang memperoleh habuan tanpa menyumbang sebarang perkhidmatan.

“Bagi saya, sikap sedemikian menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras. Keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth AS yang mengusir golongan beriman dari kampung halaman mereka dengan alasan golongan tersebut adalah orang-orang yang menyucikan diri daripada kejahatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam hal yang berkaitan tadbir urus sesebuah negara, matlamat yang ingin dicapai adalah perkhidmatan efisyen, telus dan beramanah agar nasib rakyat terbela selain kehidupan mereka terjamin daripada aspek kebebasan, keadilan dan kebajikan.

“Untuk mencapai matlamat ini individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan kerajaan terutama dalam hal-hal yang membabitkan kewangan mestilah memiliki integriti diri. Ini adalah supaya tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana awam yang merugikan negara.



“Saya tidak mahu memuji Nurul Izzah secara berlebihan kerana sedar beliau hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangan. Saya juga tidak mahu menyamakan beliau dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat zuhud dan waraknya.

“Bagaimanapun, setakat yang saya tahu Nurul Izzah bukanlah seorang yang gila harta dan suka kepada kemewahan. Selain itu, beliau juga mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan dengan jawatan yang dipegang,” katanya.

Wan Salim menambah, tindakan Anwar melantik Nurul Izzah tanpa sebarang gaji atau elaun adalah tindakan mulia dan terpuji.
“Jika dilihat daripada perspektif Islam, tindakan sedemikian adalah mengikut jejak langkah orang-orang soleh yang mendapat hidayah ALLAH SWT seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

“Semoga ALLAH SWT merestui Anwar dan anaknya selain memperbanyakkan lagi peribadi yang unggul seperti ini di Malaysia,” katanya.
Pada Ahad, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu. Awani



Mufti Pulau Pinang ‘backup’ pelantikan Nurul Izzah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dengan nama Allah saya tak cemburu – TMJ



Promosi Hotel ‘Kongkek’, Wanita Ini Dikecam Netizen

Bukan semua pengguna media sosial naik angin Khairi dipecat



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker