Khairy pertimbang gandingan dengan Rafizi dan Nurul Izzah

Khairy pertimbang gandingan dengan Rafizi dan Nurul Izzah

Khairy Jamaluddin mengaku sudah dihubungi Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan untuk beliau menyertai parti berkenaan selepas dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil masa selama beberapa minggu atau hingga dua tiga bulan sebelum menentukan sama ada memasuki parti sedia ada, menubuhkan parti baharu atau berehat daripada politik untuk seketika.

Antara pertimbangan bekas Ahli Parlimen Rembau itu ialah meneliti aspirasi dan hala tuju beberapa parti yang menjadi musuh politiknya selama ini, selain meneliti kemungkinan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Buat masa ini, pelbagai pihak telah menghubungi saya, daripada kedua-dua belah pihak. Saya mengambil sikap berjumpa dan mendengar semua pihak.

“Saya pun 23 tahun dalam UMNO. UMNO lah yang saya kenal, saya tidak kenal parti lain. Jadi, saya pun nak memahami dengan lebih mendalam apa aspirasi parti masing-masing.

“Setelah saya mendengar semua pandangan, barulah membuat keputusan sama ada saya masuk parti sedia ada atau membuat parti baharu atau saya berehat untuk seketika. Saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

“Mengenai PRN, saya rasa ia pun akan mengambil masa antara dua hingga empat bulan lagi. Kalau itu garis masanya, tidak perlu saya membuat keputusan hari ini atau minggu depan,” katanya dalam satu temu bual di pejabat beliau, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat kemunculan sebagai calon Bebas atau mewakili mana-mana parti dalam PRN yang bakal diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Ditanya sama ada turut mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan dua rakan baiknya, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dalam PKR pula, Khairy mengaku ada memikirkan perkara itu, namun ia bukan satu-satunya pilihan beliau ketika ini.

Beliau berkata, faktor persahabatan itu antara yang turut dipertimbangkan dalam memilih langkah seterusnya, namun Khairy memaklumkan turut memiliki sahabat baik dalam beberapa parti lain.

“Ya, saya tidak menolak pilihan ini. Namun, itu bukan satu-satunya pilihan yang ada, ada pilihan lain juga. Yang penting, apabila kita berjuang dalam politik, ia lebih daripada talian persahabatan.

“Talian persahabatan itu mungkin akan menjadi perkiraan saya tetapi perkiraan lebih besar ialah soal hala tuju parti berkenaan, dan sama ada saya percaya hala tuju itu sama dengan hala tuju saya sebagai orang politik,” katanya yang juga tidak menolak kemungkinan untuk berehat seketika daripada politik kerana turut mendapat pelbagai tawaran daripada dunia sukan, korporat dan akademik.

Ditanya sama ada beliau pasti akan membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak, Khairy berkata: “Too soon to say (masih terlalu awal untuk diperkatakan).”

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan ‘pelanggaran disiplin parti’.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.

Antara alasan pemecatan Khairy ialah ucapan beliau dalam kempen PRU15, yang menyatakan ‘parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya’, yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik UMNO.

Dalam temu bual bersama beberapa media selepas dipecat, Khairy mendakwa ia tidak mengikut prosedur apabila beliau terus dikenakan tindakan itu tanpa sebarang peluang untuk memberi penjelasan dan mempertahankan diri. BH

Khairy pertimbang gandingan dengan Rafizi dan Nurul Izzah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khairy dilamar jadi DJ radio bersama Fara Fauzana, Johan

Pekerja seks gatal jalin hubungan sulit dengan suami ditampar isteri

Muka deejay wanita melecur silap tembak meriam konfeti [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker