Spekulasi ke MN atau BERSATU

Spekulasi ke MN atau BERSATU

Tiga hari selepas gerakan pembersihan UMNO yang menyaksikan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin yang didakwa mensabotaj parti, tercetus pelbagai spekulasi mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil mereka.

Sama ada proses pembersihan UMNO adalah pengakhiran karier politik mereka yang terbabit dalam parti keramat Melayu itu atau ‘permulaan baharu’ seperti disebut bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergantung kepada percaturan politik masing-masing dalam masa terdekat ini.

Ada menjangkakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat mungkin memilih platform Muafakat Nasional (MN) diterajui Tan Sri Anuar Musa dan dianggotai beberapa bekas menteri daripada pelbagai parti.

Terdapat pandangan MN yang asalnya diwujudkan atas kerjasama UMNO dan PAS pada 2019, didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mungkin bertukar status menjadi parti politik baharu dan jika berlaku, politik negara bakal menerima satu lagi parti serpihan UMNO.

Kemungkinan MN turut disertai pemimpin UMNO lain yang digantung seperti Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, juga tidak boleh diketepikan.

Tarikan MN

Tarikan MN ialah kerana ia ditubuhkan dua parti politik terbesar orang Melayu sebelum disertai BERSATU, juga parti berteraskan Melayu. Ia kini menghimpunkan pemimpin yang disingkir atau diketepikan parti politik mereka seperti Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhammad Takiyuddin Ismail, tidak menolak kemungkinan pemimpin UMNO yang disingkir atau digantung seperti Noh, Hishammuddin dan Hasni menyertai MN sebagai platform untuk kekal relevan dalam arena politik.

Namun, Muhammad Takiyuddin berpandangan ia kemungkinan yang jauh, khususnya untuk pemimpin muda dan progresif seperti Khairy dan Shahril yang dilihat tidak sesuai menyertai organisasi diterajui Annuar, bekas Setiausaha Agung UMNO yang dipecat keahliannya pada awal Disember lalu.

“BERSATU atau MN platform terhampir yang dilihat sesuai dengan karakter dan pendekatan politik mereka, terutama tokoh lama seperti Noh, Hasni dan Hishammuddin. Kemungkinan itu tidak boleh ditolak dan berdasarkan sejarah semua, saya tidak jangka mereka akan sertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Namun Khairy dan Shahril Sufian mungkin tak cenderung sertai MN kerana mereka agak progresif. Saya tak fikir ia platform yang sesuai jika mereka masih mempunyai cita-cita politik.

“Platform terhampir bagi Khairy dan Shahril Sufian ialah BERSATU, namun tak mengejutkan juga jika mereka sertai PKR,” katanya, semalam.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, kemungkinan pemimpin UMNO yang dikenakan hukuman parti itu baru-baru ini menyertai MN tidak boleh ditolak kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

“Jika dilihat pada status Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin di media sosial, banyak yang boleh ditafsirkan, mungkin beliau akan berjuang di platform lain atau mungkin menunggu masa sesuai untuk buat kemunculan semula dalam UMNO.

“Jika beliau memilih untuk menyertai parti lain, saya melihat MN mungkin jadi pilihan kerana pertubuhan itu dilihat dekat dengan Perikatan Nasional (PN). Begitu juga pemimpin lain yang rapat dengan Hishammuddin, namun ini sekadar andaian,” katanya.

Kelmarin, Hishammuddin melalui rakaman video dikongsi di Facebook, menyifatkan penggantungannya bukan pengakhiran karier politik, sebaliknya permulaan baharu.

Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan, kemungkinan menyertai MN tidak akan menjadi pilihan Khairy kerana bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan bekas Menteri Kesihatan itu adalah seorang reformis dalam UMNO.

“Saya berpandangan Khairy mungkin buat masa ini tidak menyertai mana-mana gabungan. Mungkin beliau juga menunggu masa sesuai untuk kembali dalam UMNO,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar pula melihat Khairy dan Noh serta Hishammuddin lebih cenderung menyertai PN atau PH berbanding MN.

“Hishammuddin dan Khairy mahu cepat jadi ketua dan menteri, jadi cita-cita ini lebih mudah dicapai jika sertai parti yang sudah lama terbentuk.

“Mereka mungkin cenderung menyertai PN atau PH, lebih sukar menyertai PH kerana parti itu bekerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan. Yang pasti, mereka boleh ‘bersihkan diri’ jika menyertai PKR,” katanya.

Pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam yang melihat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berpotensi dijadikan wadah untuk digerakkan Khairy dan Hishammuddin.

Katanya, dua pemimpin UMNO itu boleh bergandingan dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO sebelum meninggalkan parti untuk mengasaskan BERSATU dan kini menerajui PEJUANG.

“Ia berikutan hasil kajian mendapati majoriti masyarakat masih menaruh harapan tinggi kepada pemimpin berpengalaman terpinggir seperti mereka, sekali gus berpotensi menarik sokongan ramai jika bergerak bersama-sama,” katanya. BH

Spekulasi ke MN atau BERSATU

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khairy dilamar jadi DJ radio bersama Fara Fauzana, Johan

Pekerja seks gatal jalin hubungan sulit dengan suami ditampar isteri

Muka deejay wanita melecur silap tembak meriam konfeti [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker