Menteri agama perjelas hukum ucapan Krismas atas kek

Menteri Agama Dr Zulkifli Mohamad menjelaskan apa yang disifatkannya “salah faham” yang timbul daripada isu ucapan ‘Merry Christmas’ pada kek di sebuah premis seperti yang dilaporkan sebuah portal baru-baru ini.

Jelasnya, ucapan perayaan pada produk di dalam premis yang dipersijilkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah dibenarkan, asalkan ia bukanlah dibuat atas tujuan untuk dipamerkan.

“Ringkasnya, jika kedai B yang ada sijil halal Jakim buat kek dengan ucapan perayaan pada kek untuk tujuan pameran (display) di dalam premis, ia tidak dibenarkan …

“… tetapi jika Kedai B menyediakan kek yang ditempah A dan ada ucapan perayaan pada kek, ia dibenarkan,” jelasnya dalam satu siri ciapan di Twitter.

“Saya harap penjelasan ini boleh meleraikan salah faham. Saya berharap penganut Kristian di Malaysia dikurniakan keamanan, kesihatan, kegembiraan dan kekayaan pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam ciapan susulan.

Malaysianow semalam melaporkan seorang lelaki terkejut apabila permintaannya untuk menulis ucapan Merry Christmas di atas sebuah kek ditolak kedai berkenaan untuk mematuhi syarat di dalam proses untuk mendapatkan sijil halal Jakim.

Akhirnya kek itu dihantar kepada penerima dengan tulisan ucapan ‘Selamat Bercuti’.

 

Terdahulu, Jakim turut mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama.

Kata Jakim, ucapan perayaan adalah dibenarkan diletakkan pada produk, asalkan tidak diletakkan pada produk yang ditandakan dengan logo halal, atau pada produk yang dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal oleh agensi berkenaan.

“Ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang telah dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.

“Tiada peruntukan yang menyentuh mengenai sambutan apa-apa perayaan termasuklah perayaan Islam di dalam dalam Manual Prosedur Pensijlan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

“Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” jelas Jakim.

Zulkifli turut memuat naik ciapan yang sama dengan kenyataan Jakim tersebut.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker