‘Kelakuan jengkel’ Shafee meletihkan mahkamah – Zaid

‘Kelakuan jengkel’ Shafee meletihkan mahkamah – Zaid

Zaid Ibrahim menggesa Shafee Abdullah agar “menghormati kebenaran” dalam usahanya mendapatkan keadilan untuk Najib Razak.

“Amat menyedihkan saya jika tuduhan Shafee semalam disokong oleh Najib. (Najib) mesti setuju dengan naratif ini. Jika tidak, mengapa Shafee membangkitkan perkara itu di mahkamah terbuka?” soal Zaid.

Dalam komennya di Facebook, beliau berkata, Najib mungkin berdepan masalah dalam kes SRC International disebabkan “kelakuan Shafee yang agak menjengkelkan”.



“Saya rasa mahkamah sudah letih dengan Shafee, dan itulah sebabnya Najib perlu tukar peguam…supaya hakim sudi dengar dan ambil serius permohonannya,” kata Zaid.

Peguam kanan itu mengulas apa yang disifatkannya sebagai “serangan berat” dibuat Shafee pada pendengaran permohonan Najib, semalam, agar Mahkamah Persekutuan menyemak keputusannya mengekalkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes rasuah SRC International.

Shafee mendakwa firma Zaid, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, tidak mengamalkan undang-undang jenayah, dan tidak mampu mengendalikan kes rumit seperti dihadapi bekas perdana menteri itu.

Katanya lagi, firma Zaid telah memberi jaminan kepada Najib bahawa Mahkamah Persekutuan akan memberi mereka tempoh munasabah untuk membuat persediaan bagi rayuan wajar.



Bagaimanapun, Zaid menafikan perkara ini dengan berkata, kem Najib berasa “terdesak dan bimbang” selepas berulang kali kalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Mereka minta pendapat saya, jadi saya kata, ketidakcekapan Shafee yang membawa kepada kesukaran ini,” katanya.

“Jika mahukan hasil yang berbeza pada peringkat akhir, iaitu di Mahkamah Persekutuan, kena singkirkan Shafee.

“Shafee ialah ‘showman’ yang bagus, bukan peguam yang bagus. Pendekatannya berterabur. Beliau bercakap tentang konspirasi politik tanpa keterangan.”



Menurut Zaid, pendekatan “berterabur” Shafee menjadi “titik tolak masalah (Najib)”, dan pendekatan itu perlu diubah.

“Saya beritahu pasukan bahawa untuk serang kredibiliti atau integriti Nazlan (suatu tindakan yang) bodoh, kerana Nazlan seorang yang mempunyai integriti. Tiada bukti beliau ambil wang atau apa-apa seumpama itu,” kata Zaid merujuk kepada hakim Mahkamah Rayuan itu.

Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang berkata, isu dengan Nazlan adalah beliau terlibat dalam 1MDB ketika bekerja dengan Maybank.

“Itu boleh menjadi masalah dalam erti kata konflik kepentingan. Itu sahaja yang kita boleh sentuh tentangnya,” katanya.

Katanya, beliau kemudiannya membentuk pasukan yang disertai peguam bela India yang berpengalaman luas dalam Kanun Keseksaan India dan undang-undang pengubahan wang haramnya, yang serupa dengan Malaysia.

“Kami bawa peguam-peguam ini jumpa Najib, dan Najib pada masa itu yakin bahawa (satu-satunya) cara untuk meneruskan kes (adalah dengan) menyingkirkan Shafee.

“Sudah tentu Shafee marah. Malah, beliau enggan serahkan fail sehingga kami minta Najib tulis surat menamatkan perkhidmatannya. Kami bawa surat itu ke mahkamah,” katanya.

Zaid berkata, pasukannya melakukan yang terbaik dalam membentuk semula afidavit Najib untuk mengeluarkan dakwaan menuduh Nazlan terbabit dengan rasuah dan salah laku, serta dakwaan konspirasi politik.

“Kami memfokuskan kepada konflik kepentingan (dan) dengan menambah keterangan tambahan mengenai peranan Nazlan ketika berada di Maybank. Kami rasa itu isu yang sah untuk dibincangkan pada peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan pasukannya ditamatkan selepas “permintaan wajar” mereka untuk mendapatkan penangguhan ditolak.

“Tak boleh salahkan kami. Kami sudah lakukan yang terbaik dalam tempoh lima minggu itu,” katanya.

Najib, 69, memfailkan semakan pada September tahun lepas, sejurus selepas mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC.

Pada 23 Ogos, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau, jika gagal dibayar, tambahan lima tahun penjara.

Najib meminta keputusan itu diketepikan dan satu lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim untuk mendengar semula rayuannya.

Pada 16 Ogos, sebelum pendengaran rayuan wajar, usul Najib untuk mendapatkan kebenaran memperkenalkan keterangan tambahan dan membatalkan kelayakan Nazlan sebagai hakim perbicaraan ditolak oleh panel.

Mahkamah kemudiannya menolak permintaannya untuk penangguhan bagi membolehkan pasukan guaman baharunya menyedia dan menghujahkan merit rayuannya.

Aduan lain Najib, bahawa Tengku Maimun tidak sepatutnya mempengerusikan rayuan atas alasan kononnya berat sebelah, ditolak pada 23 Ogos. FMT

‘Kelakuan jengkel’ Shafee meletihkan mahkamah – Zaid

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Misteri Penunggu Pulau Kecil Di Tepi Jambatan Pulau Pinang

Miss Universe Cemas Diekori Pak Lebai – “Nampak Dia Calit Sesuatu Di Leher, Macam Minyak”

Pasangan kekasih dikejar 10 MPV sejauh 130km

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker