#BenderaPutih: Demi Anak, Bapa Tunggal Hanya Fikirkan Perut Tiga Orang Anaknya

#BenderaPutih: Demi Anak, Bapa Tunggal Hanya Fikirkan Perut Tiga Orang Anaknya

ALOR GAJAH: Seorang bapa tunggal terpaksa mengenepikan perasaan malu selepas buntu apabila hampir terputus bekalan makanan.

Yaakob Montel, 54, yang menetap di Taman Kebaya, di sini mengakui, dia terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan sedikit bantuan barangan keperluan buat tiga orang anaknya yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun.



Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori bergaji hari mengakui sanggup melakukan apa sahaja termasuk menebalkan muka menggantung bendera putih asalkan tiga anaknya termasuk anak bongsu yang merupakan murid pendidikan khas tidak berlapar atau terpaksa ikat perut.

Katanya, jika dahulu dia mampu meraih pendapatan sehingga RM150 sehari dengan menyewa lori miliknya, namun kini, semuanya terhenti sejak sekatan pergerakan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.

Bahkan, kata Yaakob, pada minggu pertama serta kedua tidak bekerja, dia masih mampu menampung belanja dengan duit simpanan.

Bagaimanapun, apabila PKP disambung, bekalan makanan semakin surut dan hanya telur serta mee segera sahaja yang mampu disediakan untuk mengisi perut mereka empat beranak.

“Dalam masa sebulan lalu (keadaan) semakin terkesan (hanya mampu) makan mee segera, telur kicap dan sardin, nak makan lain tak mampu nak beli,” kata Yaakob dalam pertemuan dengan Astro AWANI di kediamannya pada Khamis.



Kata Yaakob, tindakan menggantung bendera putih dilakukannya selepas terbaca perkongsian di laman Facebook mengenai kempen berkenaan sekiranya individu sepertinya terdesak memerlukan bantuan barangan keperluan.

Memandangkan di rumahnya tiada kain putih, Yaakob hanya mampu terfikir baju sekolah lama anaknya yang digantungkan sebelum pelbagai pihak termasuk jiran tampil menghulur bantuan.

Yaakob yang telah berpisah dengan isterinya sejak empat tahun lalu itu mengakui, pada malam sebelum menggantungkan bendera putih itu, dia tidak dapat tidur lena memikirkan makan minum ketiga-tiga anaknya.

“Sebelum tidur, saya fikir sudah tidak mampu nak bagi anak-anak saya makanan. Tidak seperti sebelum ini tidak pernah terjejas (makanan),” katanya berkongsi kesedihan.



Menurut Yaakob, tindakan menggantung bendera putih yang dilakukannya bukan bertujuan untuk meminta- minta, sebaliknya, selepas memikirkan sedalam-dalamnya bahawa keperluan makanan buat anak- anak menjadi keutamaan.

Dalam masa sama, Yaakon berharap orang ramai tidak membuat tomahan atau salah faham dengan tindakan yang dilakukannya itu selain berterima masih kepada pihak yang prihatin dengan keadan dia dan anak-anak.

#BenderaPutih: Demi Anak, Bapa Tunggal Hanya Fikirkan Perut Tiga Orang Anaknya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




 

 

Kami mengalah, akhirnya terpaksa naikkan bendera putih



Hotel turut kibar bendera putih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker