‘Selaras dengan Islam’ – Khairuddin puji ‘politik damai’ Umno

‘Selaras dengan Islam’ – Khairuddin puji ‘politik damai’ Umno

Bekas pemimpin PAS Mohd Khairuddin Aman Razali yang kini menjadi anggota Umno memuji sikap parti barunya, yang menurutnya yang membawa politik damai meskipun diserang dengan pelbagai tohmahan.

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata Umno kekal tenang terutama ketika PRU15 yang lalu sehingga menjadi sebahagian daripada kerajaan kini, di sebalik pelbagai gelaran nakal dilemparkan seperti kluster mahkamah.

“Itu pendekatan lunak yang diambil dari Umno yang saya rasa selaras dengan Islam,” katanya yang berpendapat semua pihak perlu bersikap sederhana dalam berpolitik.

PRU15 lalu menyaksikan BN yang diterajui Umno mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah apabila hanya menang 30 daripada 222 keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Di pihak Umno sendiri, parti itu kehilangan sokongan pengundi Melayu apabila majoritinya, khususnya golongan muda, beralih kepada PN yang ditunjangi Bersatu dan PAS.

Mempertahankan kerjasama PH dan BN yang dahulunya berseteru, Khairuddin melihat ia merupakan wadah politik baru yang diharapkan rakyat yang mahukan persepakatan.

Malah, dia juga menyifatkan konsep kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sekadar menguatkan perpaduan tetapi juga menolak permusuhan.

“Dulu saya sebut dalam kerajaan kita bimbang dengan mudarat yang dibawa oleh DAP berdasarkan pengalaman lalu.

“(tapi) selepas PRU15, tak ada satu parti yang boleh bentuk kerajaan. Maka ada keperluan untuk berpakat dengan DAP,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

“Kita tak boleh menafikan DAP sebagai satu parti yang dianggotai rakyat Malaysia, Umno-BN dan sekutunya juga parti rakyat Malaysia. Maka keperluan untuk bekerjasama itu pasti ada,” katanya.

Berhubung prestasi pentadbiran pimpinan Anwar yang baru berusia kurang dua bulan, bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin itu memuji kerajaan yang menurutnya menjadikan keadilan rakyat tanpa mengira kaum dan agama sebagai hala tujunya.

Namun di turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi “kesilapan lama”, merujuk kepada pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

“Kesilapan lama contohnya DAP terlalu laju dalam menuntut apa yang dia perjuangkan hingga meresahkan sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutama dalam kalangan Melayu-Islam.

“Kita tak mahu lagi pertembungan antara kaum, antara agama dan ini tidak bagus untuk rakyat,” katanya apabila diminta menjelaskan “kesilapan lama” yang dimaksudkan.

PAS dan Umno antara parti yang lantang menyerang DAP sebelum ini. Sementara nada kritikan PAS kekal sama, Umno pula dilihat kian lunak dengan parti itu sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Ia dapat dilihat dalam ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika merasmikan persidangan sayap-sayap Umno sempena perhimpunan agung parti itu semalam, yang antara lain tindakan menyerang DAP tidak menjadikan Umno semakin kuat dalam kalangan orang Melayu.

Mohamad turut menyifatkan DAP “tidak bermuka-muka dan berpura-pura” dalam menjalinkan kerjasama.

Selepas keluar PAS

Khairuddin keluar PAS pada Mac tahun lalu, kira-kira sebulan selepas dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura. Pemecatan itu berkaitan dengan kecenderungannya ke arah kerjasama PAS-Umno ketika parti itu berminat bersama Bersatu.

Pada PRU15, dia bertanding untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Nerus sebagai calon BN tetapi tewas di tangan Alias Razak dari PAS.

Menceritakan perkembangannya selepas keluar dari PAS, dia mengkritik tindakan sesetengah pemimpin parti itu yang menurutnya seperti mengajar ahli politik dari parti lain untuk mengkhianati parti mereka sendiri.

“Kamu pecah, kamu perintah. Ini cara nak pecah perintah…dengan menarik sebahagian daripada Umno untuk menyokong PN (ketika PRU). Ia tak patutnya berlaku.

“Bila saya tak bersetuju dengan parti, saya keluar parti. Kita tak boleh kritik kesalahan parti. Saya hanya bertindak secara dalaman, orang tak tahu.. di peringkat tertinggi saja (tahu) dan akhirnya (apabila) tidak bersetuju (dengan pimpinan), saya keluar parti.

“Saya kritik apa yang boleh saya kritik, bukan sebagai ahli parti. Kalau ahli parti kena taat dengan parti,” katanya lagi.

Ditanya mengenai hubungannya bersama pemimpin PAS selepas menyertai Umno, Khairuddin memberi gambaran bahawa layanan terhadapnya tidak lagi sama.

Menurutnya, perkara biasa dalam politik apabila seseorang itu menyertai parti baru yang dahulunya merupakan musuh parti lamanya.

“Dulu kita kata kalau melompat parti kepada kita (PAS) dipanggil hijrah, kalau lompat lain dari kita ke parti lain dipanggil macam-macam, khianat dan sebagainya.”

Dia turut ditanya berkenaan hubungan dengan pemimpin parti serpihan PAS iaitu Amanah, di mana kedua-dua parti itu sering mengeluarkan kritikan selepas berpecah pada 2015.

Jelasnya, perbezaan tersebut hanyalah dari segi pandangan dan bukannya hubungan peribadi kerana persahabatan mereka terjalin seperti biasa.

“Sama macam saya keluar parti sekarang pun, saya harapkan semua orang bersikap begitulah.

“Jadi bila hari ini Umno bersama dengan Amanah, PKR, itu biasa saja sebenarnya bagi orang politik yang open minded (berfikiran terbuka).

“Tapi kalau yang buat agenda peribadi, bertembung dan bergaduh secara peribadi, itu yang berat bagi dia,” katanya lagi. Mk

‘Selaras dengan Islam’ – Khairuddin puji ‘politik damai’ Umno
‘Selaras dengan Islam’ – Khairuddin puji ‘politik damai’ Umno

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wajah cantik, nasi lemak laku keras

Puteri Sarah sindir Syamsul

Zahid dah beritahu sedia untuk bertarung – Khairy

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker