Tip selesaikan cukai LHDN

Tip selesaikan cukai LHDN

Penghujung tahun 2022 hampir tiba. Biasanya bagi kebanyakan individu, mereka akan mula mengkaji dan meneliti kedudukan kewangan semasa mereka.

Begitu juga untuk sesebuah syarikat atau organisasi, mereka akan mengatur semula perbelanjaan bulanan agar perolehan pendapatan dapat meneruskan kelangsungan hidup dan perniagaan pada tahun hadapan.



Di sebalik mengatur kedudukan kewangan, mungkin ada dalam kalangan kita akan terlupa atau mengabaikan tanggungjawab membayar cukai yang sepatutnya dilaksanakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh yang ditetapkan.

Kesan tunggakan cukai

Kita perlu ingat bahawa semakin banyak amaun cukai yang tertunggak, semakin tinggi kenaikan cukai akan dikenakan.

Sudah tentu kita sebagai pembayar cukai yang berhemah tidak mahu membayar lebih daripada cukai yang sepatutnya dikenakan bukan?



Selain pembayaran cukai yang tinggi, anda juga akan dihalang daripada ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan berisiko dikenakan tindakan mahkamah sehingga membolehkan tindakan penyitaan harta alih atau lelongan harta tak alih dilaksanakan.

Oleh itu, pihak LHDNM menasihatkan rakyat Malaysia untuk menyelesaikan segera baki cukai yang tertunggak untuk mengelakkan sebarang kesulitan yang timbul.

Berikut ialah 5 tip dari LHDNM untuk menyelesaikan tunggakan cukai menjelang tahun baharu. Antaranya ialah:

Tip 1: Peruntukan Undang-Undang Berkaitan Cukai Perlu Diambil Peduli



Kita perlu cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Untuk individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan iaitu hanya makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun. Bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.

Sementara bagi syarikat pula wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.

Tip 2: Perlu Tahu Tentang Cukai



Pelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan telah dimuat naik dalam portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my sebagai rujukan, malah turut tersedia gerbang pendidikan percukaian melalui platform EduZone.

Selain portal rasmi LHDNM, maklumat percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi LHDNM dan portal-portal firma percukaian bertauliah yang pakar dalam bidang percukaian.

Elakkan membuat rujukan dengan maklumat yang dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf, dikhuatiri maklumat yang dipaparkan tersebut adalah kurang tepat dan terpesong.

Tip 3: Hubungi LHDNM Untuk Mendapatkan Maklum Balas Dan Khidmat Nasihat



Orang ramai boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan LHDNM di talian Hasil Care Line iaitu 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara.

Sekiranya anda mengalami masalah untuk menghubungi Hasil Care Line, terdapat pilihan lain untuk menghubungi pegawai-pegawai perhubungan awam, mengikut cawangan menerusi nombor telefon bimbit rasmi mereka yang disiarkan dalam portal rasmi LHDNM.

Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh LHDNM.

Tip 4: Semak Kedudukan Cukai Yang Terkini Menerusi Aplikasi MyTAX



LHDNM menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja.

MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.

Sekiranya anda memerlukan penyata kedudukan cukai, anda boleh mencetak maklumat tersebut menerusi aplikasi e-Lejar yang juga boleh dicapai menerusi MyTax (> log masuk > perkhidmatan ezHasil > e-lejar) atau anda boleh mendapatkan penyata tersebut dengan menghubungi unit pungutan di cawangan yang mengendalikan fail anda.

TIP 5: Berbincang Dengan LHDNM Untuk Ansuran Cukai

LHDNM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus.

Kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, orang ramai perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang ingin dicadangkan.

Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah orang ramai juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan oleh LHDNM berdasarkan kepada merit setiap kes.

Berdasarkan tip-tip yang dikongsikan tersebut, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya orang ramai sentiasa mengambil peduli tentang hal ehwal percukaian masing-masing.

Jangan bimbang untuk berbincang dengan pihak LHDNM sekiranya anda tidak mampu untuk melunaskan semua cukai dengan segera, sebaliknya hubungilah LHDNM dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik.

Mari kita menjadi komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab serta bersama-sama membangunkan negara. Pastikan anda bayar tunggakan cukai sekiranya ada selewat-lewatnya 30 Disember 2022 dan simpan resit-resit perbelanjaan anda sepanjang tahun 2022 bagi tujuan pelepasan cukai.

Untuk mendapatkan sebarang pertanyaan, maklum balas dan maklumat anda boleh layari:
Portal rasmi LHDNM www.hasil.gov.my

Tip selesaikan cukai LHDN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kenapa tak suka Watie, tanya anak-anak Shuib

Mike Tyson bawa bapa tunai umrah

Achraf Hakimi punyai isteri paling cantik di dunia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker