Tidak pernah lebih daripada 5 orang

Tidak pernah lebih daripada 5 orang

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu mencipta beberapa kejutan penting dalam sejarah negara.

Ia bukan sahaja menyaksikan beberapa nama besar dalam arena politik tanah air ditundukkan oleh muka baharu di ‘kubu’ sendiri, tetapi juga menghasilkan Parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah negara.



Situasi itu berakhir dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) dan disokong oleh beberapa gabungan parti lawan.

Atas sebab itu jugalah kerajaan kali ini mengetengahkan beberapa nilai teras berbeza yang masing-masing diperjuangkan oleh parti-parti politik berkenaan. Suara Sabah dan Sarawak misalnya, dilihat lebih kuat kali ini dengan pelantikan tujuh menteri termasuk wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, iaitu pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah wakil wanita dalam barisan Kabinet 28 anggota itu masih tidak memuaskan iaitu hanya lima orang. Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana dalam sejarah negara jumlah menteri wanita pada satu-satu masa tidak pernah melebihi lima orang.

“(Inilah) hakikatnya; kita perlu akui adalah sukar (untuk mempunyai lebih ramai wanita dalam kabinet) kalau diambil kira jumlah calon wanita yang bertanding dan menang. Memang menghampakan, namun jika dilihat keadaan semasa, saya rasa ia boleh difahami,” kata Dr Zaireeni Azmi, pensyarah kanan di Unit Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia kepada Bernama.



Sekali pun angka wakil wanita dalam kerajaan adalah kecil, penganalisis dan aktivis masih berpuas hati. Ini kerana tiga wanita diberi kepercayaan menerajui portfolio penting iaitu undang-undang, kesihatan dan pendidikan. Mereka juga berpandangan usaha meningkatkan penyertaan kaum hawa di peringkat pembuat keputusan politik perlu berterusan.

Dua lagi portfolio yang diterajui oleh wanita ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan.

Kajian mendapati penyertaan tinggi wanita dalam pasaran buruh serta di peringkat pembuat keputusan politik membantu pertumbuhan dan kemakmuran negara. Sehubungan itu, Malaysia menyatakan komitmen untuk meningkatkan jumlah pemimpin wanita dalam semua sektor, namun buat masa ini usaha itu memberikan hasil yang pelbagai.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi kaum hawa mengatasi lelaki dalam pendidikan serta hampir setara dari segi akses penjagaan kesihatan, namun mereka ketinggalan dalam pasaran tenaga kerja. Kaum wanita juga jauh ketinggalan di peringkat pembuat keputusan politik sekalipun mereka mewakili sekitar 50 peratus daripada populasi negara.



Keputusan PRU-15 juga tidak memberangsangkan dengan hanya 31 wanita diundi ke Dewan Rakyat iaitu 13.9 peratus daripada keseluruhan 222 ahli. Angka itu sebenarnya merosot berbanding PRU-14 yang menyaksikan 33 wanita dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat. Pada PRU-15, seramai 127 wanita bertanding untuk kerusi Parlimen daripada keseluruhan 945 calon.

Sasaran ialah 30 peratus wanita di Parlimen bagi membolehkan suara kaum hawa didengari. Dalam barisan kabinet pula, menteri wanita merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan.

Akan tetapi, penganalisis dan aktivis melihat keadaan itu sebagai hikmah yang tersembunyi.

“Ketampakan itu yang penting, dan ia adalah langkah positif di landasan yang betul bagi melihat lebih ramai wanita menerajui kementerian penting sekali pun angkanya jauh daripada sasaran 30 peratus. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan tidak pernah diterajui oleh wanita sebelum ini,” kata aktivis hak wanita dan Presiden Family Frontiers, Suriani Kempe.



Tambah beliau, seseorang menteri harus diberikan sokongan sumber dan alat selain kerjasama kakitangan bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Pelantikan wanita mengetuai tiga kementerian penting – Undang-undang dan Reformasi Institusi, Kesihatan, dan Pendidikan – dilihat amat penting memandangkan negara sedang mendepani pelbagai isu melibatkan kaum itu dalam sektor berkenaan, khususnya ketika penularan Covid-19 dan semasa tempoh pemulihan.

Penularan pandemik dan sekatan pergerakan mengetengahkan permasalahan yang dihadapi oleh wanita. Isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia misalnya, semakin terserlah apabila ramai ibu bagaikan dipaksa memilih di antara anak mereka dan keluarga di Malaysia apabila sempadan negara ditutup kepada rakyat asing. Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik sebagai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi sudahpun menzahirkan hasratnya untuk menangani isu itu.

Bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pula, majoriti pekerja dalam kedua-dua sektor berkenaan adalah wanita. Namun isu berkaitan mereka tidak begitu diketengahkan berbanding permasalahan kaum lelaki.



Zaireeni yakin wanita dapat memberikan sentuhan berbeza di kedua-dua kementerian berkenaan.

Sekali pun jumlah ahli wanita di Dewan Rakyat lebih sedikit berbanding sebelum ini, masih ada harapan untuk keadaan ini berubah dalam masa terdekat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Kita nak tengok sama ada pada PRN nanti mereka akan calonkan lebih ramai wanita dan selepas itu, berapa ramai yang dilantik menjadi Exco,” kata Zaireeni. HM

Tidak pernah lebih daripada 5 orang




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Terima kasih Annuar bongkar Muhyiddin beri duit pada UMNO

Raba payu dara sepupu isteri, lelaki didakwa

Wan Fayhsal buat laporan polis terhadap Anwar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker