5 perkara yang sedang diteropong Anwar
5 perkara yang sedang diteropong Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa perkara dalam perhatiannya setelah mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama semalam.
Berikut antara perkara yang disentuhnya:
(1) Kontrak 5G
Anwar mengarahkan kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion dari agensi Kementerian Kewangan, Digital Nasional Berhad (DNB) kepada gergasi telekomunikasi Sweden, Ericsson, disemak semula.
Katanya, kontrak yang diberi ketika pentadbiran terdahulu itu tidak dibuat secara terus dan tanpa melalui proses tender yang betul.
“Kita perlu semak untuk memastikan kita mengikut prosedur kewangan yang ketat, untuk memastikan ini dilakukan dengan betul,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.
Menjawab kebimbangan awal yang dibangkitkan di parlimen, Ericsson pada Mac lalu berkata mereka telah mematuhi semua prosedur standard untuk mendapatkan urus niaga secara merit melalui tender terbuka.
(2) Bernas
Perdana menteri melaksanakan gesaan yang pernah disuarakannya enam bulan lalu, agar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkongsi keuntungan dengan pesawah miskin.
Setelah “menegur” pemilik Bernas Syed Mokhtar Al-Bukhary berhubung monopoli import beras, syarikat itu bersetuju memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah miskin pada bulan ini dan RM50 juta mulai tahun depan.
“Kita tak boleh bebankan seorang (iaitu) Syed Mokhtar sehingga kita dapat teliti sama dan keuntungan dan pulangan dia berpatutan.
“(Tetapi) saya gesa untuk dia lakukan sesuatu dengan segera,” katanya.
Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada bekas menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.
Anwar menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan “pembolotan kekayaan” ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan “menghisap darah pesawah padi yang miskin”.
(3) Migitasi banjir
Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula.
Katanya, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan.
“Jumlah ini bukan kecil… atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.
“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” katanya pada sidang media hari ini.
Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan sebentar tadi mempertahankan bahawa tiada kesalahan perolehan berlaku dalam projek berkaitan.
“Sebagai perdana menteri, beliau tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui tender rundingan terus sebagai tidak teratur dan wujud pihak yang mencari kesempatan.
“Beliau tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak,” katanya.
(4) Kontrak RM600 bilion kerajaan PN
Anwar berkata terdapat “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender ketika Perikatan Nasional (PN) mengetuai kerajaan.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkat berkata dia tidak pasti bagaimana angka itu timbul dan membangkitkan sama ada terdapat pihak terkeliru dengan dengan peruntukan RM530 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.
Anwar setakat ini tidak menyatakan dengan jelas berkaitan “pelanggaran” dalam pemberian kontrak yang dimaksudkannya.
Namun Anwar berkata siasatan akan dibuat bagi memastikan jika ada sebarang penyelewengan atau korupsi berlaku.
(5) Dana syarikat judi
Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN–yang dirujuknya sebagai parti “Melayu” dan parti “Islam”–datang daripada syarikat judi yang terlibat dengan cabutan khas nombor ekor.
Dia berkata demikian ketika mengumumkan keputusan kerajaan mengurangkan cabutan khas judi itu daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Pemimpin-pemimpin PN menafikan dakwaan itu dan mencabar Anwar untuk membuktikan atau berdepan tindakan saman.
Dalam ceramah dalam pilihan raya kecil Padang Serai, Kedah malam tadi, Muhyiddin bersumpah dengan nama Allah bahawa perkara itu tidak berlaku.
“Wallahi kami takkan lakukan perkara-perkara yang haram sebegitu. Takkan terima walau sesen pun sumbangan daripada mana-mana pihak syarikat judi hanya kerana kami nak duit, haram,” katanya.
Apa selepas ini?
Setakat ini masih belum jelas apa lagi yang disasarkan Anwar.
Bagaimanapun pada April tahun lepas, dia membangkitkan berkaitan perolehan vaksin oleh kerajaan-kerajaan negeri.
Dia mendakwa syarikat farmasiteukal Pharmaniaga membolot perolehan vaksin di negara ini.
Menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin menafikannya dan berkata dakwaan itu sebagai tidak adil dan tidak berasas. Mk
5 perkara yang sedang diteropong Anwar
Baca Artikel Menarik:
- Anwar usik Mat Sabu: ‘Telur tak ada’
- BN, UMNO jadi mangsa dendam politik jika tidak sertai kerajaan perpaduan
- Nash sukar bergerak
- PH atau PN tak boleh bentuk kerajaan tanpa BN
- Polis panggil Hadi beri kenyataan
- Kerajaan tidak akan ‘kejar’ Azam Baki – Rafizi
- Isteri curang ditangkap khalwat
- Rafizi pertahan keputusan Anwar jadi Menteri Kewangan
- Melayu dalam Jemaah Menteri Anwar
- PN berebut pula Speaker Dewan Rakyat
- Ramasamy terus persoal hanya satu jawatan menteri kepada kaum India
- PAS tuntut peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen
- Aksi bahaya budak berpaut di belakang lori dirakam
- Penyelam lemas ketika mahu pecah rekod dunia
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan siasat perbelanjaan RM600 billion Muhyiddin Yassin
Myvi RM25,000: Magik Rafizi ‘Si Raja Formula’ yang ditunggu-tunggu rakyat
You must be logged in to post a comment.