Mekanisme GST lebih baik, berkadar rendah wajar dipertimbang


Mekanisme GST lebih baik, berkadar rendah wajar dipertimbang

Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mempertimbangkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan pendapatan negara, namun mekanisme pelaksanaannya perlu diperbaiki dan jumlah cukai yang dikenakan perlu dimulakan pada kadar yang rendah.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata Malaysia memerlukan satu reformasi pencukaian menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan memperkenalkan semula GST atau sistem cukai diperkemaskan daripada GST.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, seandainya rejim cukai itu dilaksanakan semula di negara ini, proses pembayaran balik tuntutan mesti diperkemas dan dipermudahkan bagi mengelakkan gangguan kepada sektor perniagaan.



“Pengenalan GST juga akan memperbaiki kutipan cukai kerajaan dan kejayaannya akan membolehkan pengurangan cukai individu dan korporat yang lebih rendah dari sekarang.

“GST bersifat cukai penggunaan, lebih banyak belanja seseorang kerana lebih tinggi pendapatannya maka lebih sesuai sistem percukaian ini diperkenalkan dan kurang kesannya kepada B40.

“Ia juga boleh mengurangkan ekonomi gelap atau ‘black economy’ iaitu kegiatan yang tidak direkodkan untuk masuk ke sistem ekonomi yang sebenar dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya kepada BH.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, pula berkata daripada perspektif ekonomi, negara memerlukan reformasi percukaian, dengan model peningkatan hasil perlu menjadi aspek perubahan yang dicadangkan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula kelak.



Katanya, model GST boleh disemak dan ditambah baik, termasuk meneliti kaedah pelaksanaan serta kelemahan sistem yang pernah digunakan sebelum ini.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menukar nama kepada VAT (cukai nilai tambah). Apa pun reformasi yang ingin dilaksanakan, persoalan yang kerajaan perlu perhalusi adalah, adakah sekarang masa yang sesuai untuk melaksanakan reformasi percukaian seperti VAT.

“Ekonomi masih dalam fasa pemulihan dan dunia sedang menghadapi kemelesetan. Jika reformasi percukaian menyeluruh dilaksanakan, wujud kebimbangan berlaku gangguan kepada ekonomi. Mempertimbangkan reformasi percukaian yang berskala kecil adalah pendekatan ideal pada ketika ini,” katanya.

Mohd Yusof yang juga Ketua Ekonomi Buruh merangkap Penasihat Menteri Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, kaedah percukaian dalam ekonomi digunakan sebagai alat dasar bagi mengimbangi pengagihan pendapatan di kalangan rakyat.



Katanya, cukai yang lebih tinggi dikenakan kepada golongan yang berpendapatan tinggi dan hasil berkenaan perlu digunakan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dalam pelbagai bentuk seperti subsidi makanan dan bayaran tunai.

“Wujud kaedah lain yang boleh digunakan bagi memanfaat kekayaan dan aset mereka yang berpendapatan tinggi terutamanya mereka yang mempunyai perniagaan. Mungkin menggunakan insentif percukaian tertentu kepada mereka seperti galakan penciptaan pekerjaan dan peningkatan pendapatan pekerja.

“Contohnya, jika individu A yang memiliki firma A berjaya mengupah pekerja tempatan yang berkemahiran dan juga berjaya melahirkan usahawan baharu, mengapa insentif cukai tidak boleh diberikan kepada mereka. Dalam contoh ini, saya mencadangkan inovasi kepada kaedah percukaian iaitu mereka yang mempunyai aset dan perniagaan menjadi ejen kepada pertumbuhan ekonomi.

“Model sekarang adalah, kerajaan mengutip cukai dan menggunakannya untuk memberi insentif melalui agensi kerajaan untuk pertumbuhan perniagaan dan ekonomi. Kita ambil maklum bahawa sesetengah agensi yang ada tidak berfungsi dengan berkesan dan ini memerlukan kepada perubahan dalam kaedah pelaksanaan,” katanya.



Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bagi meningkatkan pendapatan negara, Cukai Makmur wajar terus dilaksanakan kepada syarikat berkaitan, manakala bagi individu pula, Cukai Keuntungan Modal boleh dipertimbangkan.

“Kerajaan mesti menutup segala ketirisan, pembaziran dan rasuah supaya hasil sedia ada cukup untuk menampung segala perbelanjaan tanpa ada keperluan untuk menambah hasil melalui pengenalan cukai baharu atau menaikkan kadar cukai. Cukai Makmur boleh diteruskan tahun depan dengan hanya menyasarkan syarikat yang memperoleh keuntungan melebihi RM300 juta setahun,” katanya. BH

Mekanisme GST lebih baik, berkadar rendah wajar dipertimbang


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Razali nikah senyap-senyap?

Dituduh jadi ejen Israel, Anwar arah polis ambil tindakan – Fahmi



Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker