Risiko alami miokarditis di kalangan remaja terima vaksin amat rendah

Risiko alami miokarditis di kalangan remaja terima vaksin amat rendah

Risiko kanak-kanak untuk mengalami miokarditis dan perikarditis selepas positif Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding ketika mereka mendapat vaksin wabak itu, menurut pakar Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff, yang mengetuai Unit Paediatrik di Hosital Raja Perempuan Zainab 2 Kelantan, menggesa ibu bapa agar memastikan anak mereka divaksin kerana manfaat yang akan diperoleh adalah jauh melangkaui risikonya.

“Memang ada laporan mengenai kesan sampingan seperti miokarditis dan perikarditis selepas (menerima) vaksin MRNA seperti Pfizer atau Moderna di kalangan lelaki remaja dan bawah 30 tahun.

“Biasanya (kes ini) selepas seminggu pertama vaksinasi dos kedua. Tapi bilangan (kes seumpama itu) kecil. Hanya kira-kira 0.001 peratus daripada penerima.

“Sekarang ini banyak kajian menunjukkan risiko untuk dapat miokarditis selepas dijangkiti Covid-19 jauh lebih tinggi berbanding mendapatnya selepas vaksinasi. Jauh lebih tinggi,” katanya ketika sesi bersama media secara dalam talian hari ini.

Sesi itu dianjurkan KKM untuk memberi penerangan berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (Pick) Remaja yang sedang berlangsung.

Miokarditis adalah keradangan pada otot jantung manakala perikarditis keradangan di kawasan membran yang membaluti jantung. Kedua-duanya boleh menjejaskan fungsi jantung.

“Setakat data yang kita terima dari seluruh dunia, kebanyakan kes yang dilaporkan (di kalangan remaja yang menerima vaksin mRNA) adalah (kesan sampingan) ringan dan sembuh dengan cepat selepas rawatan ringkas,” katanya.

Katanya lagi, vaksinasi Covid-19 penting untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada virus, terutama di saat kebanyakan golongan dewasa sudah menerimanya.

Menurut statistik KKM, bilangan kes positif melibatkan golongan berusia bawah 18 tahun meningkat daripada 12,620 kes tahun lalu kepada 410,762 antara Januari hingga 21 September tahun ini.

Bilangan kes kematian akibat Covid-19 melibatkan peringkat usia itu juga meningkat daripada enam kes untuk tahun lalu kepada 75 kes untuk tahun ini.

Pihak berkuasa kesihatan percaya punca peningkatan itu adalah penularan varian Delta yang mudah berjangkit.

Elak kegiatan fizikal berat

Walaupun kesan sampingan serius amat jarang berlaku, Nik Khairulddin berkata KKM masih memantau situasi itu.

Katanya, ibu bapa dan anak akan diberikan taklimat berhubung tanda yang perlu diperhatikan setelah mendapat vaksin, seperti sakit dada, kesukaran bernafas, peningkatan kadar denyut jantung dan rasa berdebar-debar.

“Ini tanda-tanda yang kita maklumkan supaya mereka tahu dan maklumkan kepada petugas kesihatan dan dapatkan rawatan,” katanya lagi.

KKM turut menasihatkan golongan remaja agar tidak melakukan kerja fizikal berat seperti kegiatan sukan selama antara dua hari hingga seminggu selepas menerima suntikan.

Pakar kardiologi kanak-kanak Dr Zulkifli Ismail berkata, banyak kes miokarditis yang dilaporkan di Amerika Syarikat dipercayai melibatkan kegiatan seperti itu selepas vaksinasi.

“Nasihat ini bukan untuk remaja sahaja tetapi sesiapa sahaja. Mereka patut elak kegiatan berat selama kira-kira seminggu.

“Untuk kanak-kanak, kita nasihatkan (rehat) antara dua hari hingga seminggu.”

Sementara itu, penerima vaksin juga dinasihatkan agar tidak mengambil ubat seperti paracetamol dan ibuprofen – untuk mengelakkan kesan seperti kesakitan dan demam – sebelum disuntik.

Dr Nik Khairulddin s berkata ubat-ubat itu hanya perlu diambil jika individu mengalami sakit atau demam selepas suntikan.

“Garis panduan untuk tak ambil (ubat) untuk elak sakit dan demam bukan untuk vaksin Covid-19 saja, tetapi semua vaksin.

“Sebab ia mungkin sebabkan vaksin tak beri kesan terbaik,” katanya lagi. Mk

Risiko alami miokarditis di kalangan remaja terima vaksin amat rendah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker