Umat Islam perlu sentiasa bertaubat, jangan takbur

Umat Islam perlu sentiasa bertaubat, jangan takbur

Umat Islam digalakkan meminta keampunan daripada Allah SWT sepanjang masa kerana tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan tanpa mengira waktu.

Pendakwah, Ustaz Mohamad Abdullah berkata, terdapat pelbagai cara Allah memberikan pengampunan kepada umat Islam iaitu yang pertama adalah dengan cara meminta sendiri keampunan.

Katanya, umat Islam perlu mengakui kesilapan yang dilakukan dan sentiasa berusaha meminta keampunan daripada Allah.

“Allah bagi pengampunan pada kita dengan jalan kita minta. Jadi kita diminta akui kesalahan, jangan sombong dengan kesalahan.

“Orang boleh jadi jahat dan nakal kerana wujudnya syaitan kerana syaitan jahat akibat takbur. Sebab itu takbur boleh jadikan manusia jahat tanpa syaitan.

“Orang kalau ada sifat takbur, dia boleh jadi jahat sendiri tanpa syaitan. Dia ada ilmu, dia salahkan orang itu orang ini dia sahaja betul dan dengan diri sendiri juga boleh berdosa kerana mengata, memperlekehkan dan merendahkan orang.

“Sebab itu Allah suruh kita bertaubat, orang takbur susah nak minta maaf pada manusia pada Allah dan sebagai contoh kita rasa kita betul pada isteri padahal, kita sakitkan hati dia, buat macam-macam mengguris hati dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Perdana bertajuk Mencari Maghfirah di Masjid An-Nur, Saujana Utama, di sini malam tadi.

Turut menjadi panel dalam program anjuran Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid An-Nur yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live itu adalah Ustaz Imam Muda Hassan Adli Yahya, manakala Ustaz Zakaria Othman bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, cara kedua Allah memberi pengampunan adalah dengan melakukan amalan yang mendapat pahala jika dibuat dan pada masa sama mendapat pengampunan.

Katanya, amalan berkenaan termasuk bersedekah, memberi ilmu, mengekalkan wuduk dan berpuasa pada Ramadan.

“Kadang-kadang sampai satu tahap kita ghairah membuat amalan sehingga terlupa bertaubat. Sebab itu ada amalan yang apabila dibuat, dapat pahala dan pada masa sama mendapat pengampunan Allah,” katanya.

Selain itu, katanya, apabila ditimpa musibah sehingga menyempitkan hati, ia juga antara cara untuk Allah memberi pengampunan kepada umatnya.

Katanya, apa yang membezakan musibah itu terhadap setiap manusia adalah bentuknya dan manusia tidak boleh sama sekali membezakan musibah dialami dengan orang lain kerana ia akan menyebabkan sukar mendapat kebahagiaan.

“Musibah ada dalam pelbagai bentuk seperti diberi ujian tidak sihat, difitnah, kehilangan barangan, tidak baik dengan seseorang dan macam-macam lagi.

“Dalam hadis Nabi ada menyebut untuk orang beriman datang musibah pada dia sebagai penghapus dosa, sekali pun duri tercucuk pada kaki pun ada penghapusan dosa,” katanya.

Mohamad berkata, cara lain Allah mengampunkan dosa adalah dengan kurniaan langsung kerana Allah Maha Pemberi.

Katanya, ia termasuk ketika jenazah diiringi ke kubur dan ketika penimbangan amalan kelak, yang mana pengampunan diberi secara langsung.

“Pada zaman sekarang sesiapa sahaja sukar untuk menjadi baik, namun Allah sentiasa tahu usaha untuk kita menjadi baik.

“Oleh itu, di dalam hati perlu ada cita-cita hendak jadi baik kerana Allah akan bagi secara langsung,” katanya.

Beliau berkata, usaha lain Allah memberikan pengampunan kepada umatnya adalah dengan doa daripada orang lain kepada kita antaranya adalah anak soleh yang mendoakan serta yang terakhir dengan syafaat Nabi.

Sementara itu, Hassan berkata, umat Islam juga perlu belajar memaafkan orang supaya setiap amalan yang dilakukan memudahkannya dihisab nanti.

Katanya, ini kerana dibimbangi sifat tidak memaafkan orang lain menyebabkan seseorang itu tidak dapat masuk ke syurga.

“Sebab itu sifat marah adalah sifat iblis. Semua orang ada sifat marah tetapi apabila letak marah pada bukan tempat yang betul, ia menjadi zalim. HM

Umat Islam perlu sentiasa bertaubat, jangan takbur


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Video Ismail Izzani tular, Suliza Salam pertahan anaknya

Aedy Ashraf kantoi bercumbu di kelab malam, tampil beri penjelasan

Bangun Nad, kita ada PM baru – Sharifah Amani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker