Perjanjian 10 perkara untuk kerajaan perpaduan dirangka untuk ikat BN-PH

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin telah mencapai persetujuan 10 perkara untuk membentuk kerajaan perpaduan, di tengah-tengah kebuntuan politik berikutan keputusan parlimen tergantung pada PRU15.

Perjanjian itu juga melibatkan parti politik lain, termasuk dari Sabah dan Sarawak, untuk memulihkan kestabilan dan perpaduan negara, lapor New Straits Times (NST).

Konsep yang digelar “Kerajaan Perpaduan Malaysia” dilaporkan akan mempromosikan kerajaan yang diwakili dengan baik supaya kukuh bertahan untuk lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan  bahawa perjanjian itu didedahkan hari ini dan BN dijangka membuat keputusan mengenai perkara itu sama ada malam ini atau esok.

NST pula memetik sumber berkata syarat perjanjian itu termasuk tidak membubarkan parlimen sebelum ia tamat tempoh lima tahun, jawatan perdana menteri (PM) disandang oleh pemimpin PH dan timbalan perdana menteri daripada BN manakala kerajaan negeri Perak dan Pahang akan diterajui oleh pemimpin BN.

Perjanjian itu juga menetapkan jawatan kabinet dalam kalangan rakan gabungan akan berdasarkan peratusan kerusi mereka di Dewan Rakyat, dan pelantikan mana-mana ahli parlimen BN ke kabinet mesti mendapat kelulusan majlis tertingginya terlebih dahulu.

Selain itu, pelantikan ahli Dewan Negara, jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan jawatan kerajaan lain juga mesti dimaklumkan dan dibincangkan antara PM dan TPM, kata perjanjian itu.

Bagi jawatan kabinet pula, portfolio kewangan, perumahan, pembangunan luar bandar dan wilayah, pendidikan, dan pertahanan akan diputuskan oleh PM dan TPM, dan agihan jawatan adalah saksama dan setimpal dengan keupayaan dan kepakaran masing-masing.

ADS

Komposisi kerajaan juga akan merangkumi wakil dari setiap parti, dengan jawatan kanan diberikan sebaik sahaja perbincangan selesai, tambah laporan itu.

Menurut sumber itu lagi, gabungan baru itu optimis Blok Borneo akan memberikan sokongannya kepada Putrajaya untuk membina semula negara.

NST memetik sumber berasingan juga mengesahkan bahawa BN secara kolektif bersetuju untuk menyokong kerajaan perpaduan, dan pengerusi gabungan itu Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan pendirian itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong awal pagi ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin turut mendedahkan bahawa Agong menitahkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia telah memaklumkan kepada Agong gabungannya tidak boleh bekerjasama dengan PH.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker