Elak undi Afif, Zuraidah, Azmin – Anwar

Oleh Azrin Muhammad

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pengundi setempat tidak mengundi calon yang mempunyai rekod mengkhianati parti sebelum ini.

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentam tiga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyeru pengundi tidak memilih calon pengkhianat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tiga individu yang dimaksudkan adalah calon dari parti Perikatan Nasional (PN) Shah Alam, Dr. Afif Bahardin, wakil PN Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan wakil dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurut Anwar, ketiga-tiga individu berkenaan adalah pengkhianat kerana sanggup meninggalkan parti (PKR) dan kawasan yang diwakili sebelum ini demi mendapatkan jawatan di tempat lain.

“Saya difahamkan calon parti lain (Afif) di sini sanggup tinggalkan Permatang Pauh untuk mendapat jawatan dan pangkat, sama juga dengan calon Gombak tetapi saya melihat lautan manusia yang hadir ceramah saya mahu usir Azmin.

“Selain itu, saya juga sempat singgah di Ampang dan kasihan melihat Zuraida yang terpaksa berkempen di tepi jalan bagi meraih undi serta kepercayaan komuniti Ampang,” katanya ketika berucap dalam sesi Minum Petang di Padang Flat Seksyen 16, di sini, petang tadi.

Dalam masa sama, Anwar juga menyeru orang ramai di Shah Alam, Gombak dan Ampang untuk tidak mengundi ketiga-tiga calon berkenaan demi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker