MYAirline dapat lesen mulakan khidmat penerbangan

MYAirline dapat lesen mulakan khidmat penerbangan

Syarikat penerbangan tambang rendah terkini Malaysia, MYAirline Sdn Bhd, telah mendapat lesen perkhidmatan udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang membolehkan syarikat itu beroperasi sebagai syarikat penerbangan penuh di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo Kheng Hock, berkata MYAirline gembira mendapat kelulusan daripada MAVCOM berhubung pengeluaran ASL dan berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atas sokongan mereka.

“Kami amat gembira dan lega pada masa yang sama. Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang berterusan daripada pihak berkepentingan kami serta amat berbangga dengan seluruh pasukan kami atas kerja keras dan sumbangan mereka dalam mendapatkan ASL kami.

“Kerja keras telah membuahkan hasil dan ia tidak akan berlaku tanpa usaha berpasukan daripada semua dalam MYAirline,” katanya kepada Bernama, semalam.

Kheng Hock berkata, syarikat permulaan itu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapatkan sijil pengendali udara dan ASL.

Beliau berkata, butiran mengenai laluan pengenalan dan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada 22 Disember tahun lalu, MAVCOM meluluskan pengeluaran Kelulusan Bersyarat (CA) bagi ASL kepada Z9 Elite Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai MYAirline, untuk tempoh setahun sehingga 31 Disember 2022.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan permit sah mulai 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2023.

MYAirline ditubuhkan pada Januari 2021 dengan modal berbayar RM2 juta.

Pemegang saham MYAirline termasuk Zillion Wealth Bhd yang memegang 88 peratus kepentingan ekuiti, Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Kheng Hock (dua peratus).

Ia akan melaksanakan model perniagaannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) berdasarkan permohonannya kepada MAVCOM pada Februari 2021.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini kekal positif ke atas sektor penerbangan Malaysia apabila MYAirline dijadual memulakan operasinya bulan ini.

Bank pelaburan itu berkata, MYAirline dijangka memberi impak positif yang sederhana kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan memberi sedikit kesan negatif kepada Capital A Bhd.

“Walaupun kami percaya bahawa sejarah kembali berulang dengan syarikat penerbangan baharu, MYAirline, Maybank IB berpendapat wujud beberapa perbezaan yang sangat penting pada tahun 2013 apabila sebuah lagi syarikat penerbangan Malaysia, Malindo memulakan operasi sulungnya pada tahun berkenaan.

“Pertumbuhan kapasiti industri pada masa hadapan akan menjadi lebih sederhana kali ini walaupun dengan kemasukan MYAirline dalam sektor penerbangan Malaysia.

“Oleh itu, kesan positif/negatif terhadap MAHB dan Capital A sepatutnya lebih sederhana pada masa ini juga,” kata Maybank IB. BH

MYAirline dapat lesen mulakan khidmat penerbangan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Saya mohon maaf, saya hanya mahu ‘prank’ anak saudara

Takiyuddin bidas kembali kenyataan Muhyiddin, pendirian PAS terbuka

Teman lelaki Syazlin Zainal ziarah pusara kekasih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker