Berjayakah Khairy kuburkan PH di Sungai Buloh?

#PRU15

Berjayakah Khairy kuburkan PH di Sungai Buloh?

Berbaki kurang dari 35 jam sahaja lagi rakyat Malaysia akan keluar mengundi termasuk hampir 160,000 pengundi berdaftar di Parlimen Sungai Buloh yang mana 67,000 daripadanya adalah pengundi kali pertama.

Selama tiga penggal kerusi Parlimen kawasan ini dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti lebih 20,000 undi sehingga mereka menganggap Sungai Buloh adalah kubu kuat parti itu.

Bagaimanapun, senario itu berubah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah sejak Khairy Jamaluddin diumumkan calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh pada 1 November lalu, PH mula ‘goyang’.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli secara terbuka mendesak ‘bossnya’ menukar calon PH, R. Ramanan kepada penyandang kerusi itu, R. Sivarasa yang berjaya merekodkan majoriti lebih 26,000 undi pada PRU14.

Namun, cadangan itu ditolak Presidennya yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan pilihan asal iaitu Ramanan.

Tidak mahu terlalu angkuh, Khairy mengakui Sungai Buloh ibarat kandang naga dan cabaran besar dalam karier politik beliau.

Namun bekas graduan Universiti Oxford itu tetap tidak mahu mengalah: saya datang ke Sungai Buloh untuk menang, katanya.

Ini kerana, kalau beliau kalah di Sungai Buloh bermakna cita-citanya yang lebih besar mungkin lebur.

Tetapi jika BN menang, kemenangan itu akan dijadikan penanda aras kepada parti berusi 60 tahun itu untuk mencuri hati pengundi bandar, bukan sekadar hero kampng.

Sejak hari pertama berkempen, aura Khairy memang menonjol di Parlimen Sungai Buloh.

Ke mana sahaja beliau pergi, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sentiasa disenangi baik warga emas sehinggalah orang muda.

Orang ramai pastinya tidak melepaskan peluang berswafoto bersama beliau malah Menteri Kesihatan itu sudah kelihatan seperti seorang selebriti terkenal di Sungai Buloh.

Ini menyebabkan ada berpandangan, Sungai Buloh bukanlah kubu kuat PH, cuma parti-parti politik silap letak calon.

Kalau kena calonnya, sudah tentu pengundi Sungai Buloh ada pilihan berbanding PRU-PRU sebelum ini.

Khairy akan bersaing dengan enam lagi calon iaitu R Ramanan (PH); Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional); Mohd Akmal Yusoff (Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, serta Nurhaslinda Basri.

Meskipun berdepan dengan saingan tujuh penjuru namun pertarungan sengit hingga ke saat akhir hanyalah di antara BN dan PH.

Mungkin disebabkan itu, Ramanan yang juga bekas ahli MIC dilihat sering berkempen dengan menyebut nama Khairy dan isu-isu berlegar di sekitar bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Tinjauan sebelum ini mendapati ada pengundi mengaku sudah tekad untuk beralih kepada BN tetapi ada juga yang masih membuat pertimbangan.

Ada juga yang mendakwa Ahli Parlimen sebelum ini gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Ada yang mahukan anak tempatan sebagai wakil mereka.

Namun Khairy sudah menjelaskan bahawa sentimen itu tidak penting kerana Ahli Parlimen yang bertanggungjawab adalah mereka mampu membawa suara rakyat ke Parlimen.

Beliau juga tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PH malah melihat situasi itu sebagai kelebihan untuk semak dan imbang di kawasan berkenaan.

Dapatkah Khairy “menjemput” ribut taufan yang mampu menguburkan kubu kuat PH sekali gus menguburkannya dalam lipatan sejarah?

Segalanya terserah di tangan hampir 160,000 pengundi Parlimen Sungai Buloh- dari Subang hingga ke Kota Damansara.

Sabtu, 19 November ini adalah hari rakyat berkuasa untuk menentukan siapakah yang dipilih untuk menjadi wakil mereka dalam membangunkan negara dan menjaga kebajikan warganya. MG

Berjayakah Khairy kuburkan PH di Sungai Buloh?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sebak bersendirian di pelamin

Zuraida Macam Acik Jual Jeruk, Netizen Riuh (Video)

Tiket Konsert BLACKPINK Di Malaysia ‘Sold Out’ Dalam Masa 30 Minit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker