Khalid Samad bukan satu cabaran – Johari Ghani

Khalid Samad bukan satu cabaran – Johari Ghani

Kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukan lagi zon selesa untuk BN sejak pilihan raya umum ke-12.

Justeru pengerusi badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani berpendapat BN perlu belajar dari kesilapan lampau untuk kembali menawan kawasan tersebut.

“Sebab tu kita pastikan bahawa BN kena belajar daripada kesilapan mereka selepas 61 tahun bertanding (mentadbir negara).

“Kita (BN) kena belajar kesilapan ini. Sebab itu apabila kita pilih mana-mana calon di Wilayah Persekutuan ini, mereka ini mesti ada satu sikap untuk berkhidmat kepada masyarakat sebab proses pilihan raya ini adalah memilih wakil rakyat,” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Katanya, memilih calon wakil rakyat yang benar-benar layak untuk mewakili BN dalam pilihan raya merupakan kriteria yang amat penting.

“Tapi kalau kita salah pilih di peringkat parlimen, kita tidak boleh dapat pemimpin di peringkat nasional yang bagus,” katanya.

Mengulas mengenai kesilapan BN yang dimaksudkan, calon BN Titiwangsa itu berkata antaranya BN sebelum ini mengambil mudah pandangan dan kritikan rakyat.

“Contohnya kita take for granted rakyat… kita mengambil mudah kritikan rakyat, pandangan rakyat, ketidakpuasan hati rakyat sebab kita dah merasakan kita dah perintah 61 tahun, kita dah buat banyak benda yang kita rasakan untuk kebaikan rakyat.

“Tapi rakyat punya kehendak rakyat berubah setiap masa dan setiap zaman.

“Jadi kalau kita tak mengikut trend, kehendak rakyat yang berubah mengikut latar belakang mereka yang juga telah berubah – daripada simple orang kampung (kepada) orang bandar, orang bandar mencari pendidikan yang lebih tinggi,” katanya.

Dia berkata selepas negara mencapai kemerdekaan selama 65 tahun, sudah tentu ia akan memberi cabaran kepada mana-mana parti politik yang tidak berubah mengikut zaman.

Johari yang juga merupakan ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno turut menyentuh masalah rakyat yang perlu diberi tumpuan oleh BN, di mana menurutnya ia tidak hanya terhad kepada isu kebajikan tetapi juga perkara lain yang melibatkan isu keterbukaan, ketelusan, semak dan imbang, alam sekitar dan pendidikan.

“Dulu mereka (rakyat) tak kisah… apa saja yang kita bagi, dia belajar, sekarang tak ada. Jadi BN kena melibatkan diri dalam hal ini,” katanya.

PH hanya pandai kritik

Pada PRU14, BN buat pertama kalinya tumbang selepas 67 tahun mentadbir negara, di mana Pakatan Harapan kemudian mengambil alih Putrajaya.

Bagaimanapun, kerajaan PH tidak bertahan lama selepas pembelotan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah melalui Langkah Sheraton.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian dilantik sebagai perdana menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional, yang turut terdiri daripada sekumpulan ahli parlimen BN.

Selepas 17 bulan mentadbir, perdana menteri kelapan itu meletak jawatan dan digantikan dengan naib presiden BN Ismail Sabri Yaakob, dengan nama kerajaan ‘Keluarga

Malaysia’ yang turut menampilkan barisan kabinet yang tidak banyak beza daripada sebelumnya.

Johari yang juga merupakan bekas menteri kewangan II melihat selepas apa yang berlaku dalam senario politik negara, sentimen rakyat untuk pilihan raya kali ini agak suram berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

“Dulu dia (rakyat) kalahkan BN, dia undi PH, tapi PH telah mengecewakan mereka,” katanya.

Menjelaskan situasi itu, dia berkata rakyat berasa muak dengan politik yang sering bertukar-tukar kerajaan sejak PH merampas kuasa daripada BN, dengan harapan agar PH dapat melakukan perubahan yang baik dalam negara.

“Itu sebab ia tak seperti dulu, mereka (rakyat) betul-betul nak jatuhkan BN kerana dia mengharapkan Pakatan Harapan ini boleh membuat sesuatu benda yang exceptional tapi tak, sebab mereka (PH) pun tak ada pengalaman mentadbir negara.

“Mereka bagus dalam mengkritik tapi gtidak bagus dalam menyelesaikan masalah,” katanya apabila ditanya mengenai suasana pilihan raya yang kelihatan agak suram berbanding sebelum ini.

‘Wakil rakyat PH, PN tak buat kerja’

Pada pilihan raya umum kali ini, Johari bakal menentang calon “heavyweight” dari PH Khalid Samad dan dua lain iaitu pengerusi perhubungan Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan dan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Rosni Adam (PN).

Bagaimanapun, anak jati Kuala Lumpur itu berkata dia tidak pernah menganggap Khalid sebagai cabaran baginya.

“Saya tak pernah merasa dia sebagai cabaran kerana saya tahu saya mempunyai kekuatan yang tersendiri, sama ada dari segi menjaga dari servis masyarakat di kawasan parlimen Titiwangsa,” katanya.

Menurutnya, jika dari segi pengalaman, dia juga mempunyai pengalaman berkhidmat di peringkat nasional dan juga dalam parlimen sebelum ini.

Tambahnya, sebab utama dia menawarkan diri untuk bertanding semula di Titiwangsa kerana merasakan penyandang sebelum ini- Rina Harun tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik di situ.

“Memandangkan wakil rakyat PN ni, PH ketika itu tak buat kerja walaupun mereka ni mempunyai jawatan ahli parlimen dan menteri – tak buat kerja.

“Akhirnya selepas satu penggal, lima tahun, mereka lari ke kawasan lain untuk bertanding dan datang seorang lagi pemimpin Pakatan Harapan iaitu Samad.

“Saya pun tak tahu kenapa dia nak datang sini (Titiwangsa), tapi tak apalah sebab ini demokrasi, jadi saya sedia menghadapi sesiapa saja,” katanya.

Sebelum ini, Johari pernah menjadi ahli parlimen di Titiwangsa, dengan kemenangan 23,034 undi menentang Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dari PAS (22,168) pada PRU13.

Bagaimanapun, kerusi tersebut dirampas oleh Rina Harun dari Bersatu, yang kini merupakan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan majoriti 4,139 undi, dalam pertandingan tiga penjuru di antara Johari (19,701) dan Mohamad Noor Mohamad (6,845) dari PAS.

Rina bagaimanapun bertanding di parlimen Sepang atas tiket PN pada PRU15. Mk

Khalid Samad bukan satu cabaran – Johari Ghani


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Hamzah ‘ketat’ disambut dengan sorakan ‘Katak & Pengkhianat’

Budak Kena Terajang Dek Lelaki Sebab Bengang Lama Sangat Bersandar Di Keretanya [VIDEO]

Pemandu letak pesanan ‘manja’ buat ramai terhibur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker