Sangat kerdil untuk bersikap sombong
HAKIKATNYA, fitrah kejadian manusia adalah bersifat lemah lembut. Justeru, sifat sombong adalah sangat berlawanan dengan fitrah manusia.
Sifat sombong mula bertunas daripada akar keangkuhan dan bangga diri. Akar tersebut semakin kukuh dan berserakan kerana disirami dengan baja penghinaan serta memperlekeh kekurangan orang lain. Akhirnya, mereka sudah lupa untuk pandang ke bawah.
Sebetulnya, sifat sombong, angkuh dan riak semakin utuh serta berkembang kerana dilingkungi oleh kelompok yang senada dengan mereka.
Terdapat pelbagai cabang sifat sombong, antaranya kerana banyaknya harta, tingginya kedudukan mereka, ramainya penyokong, cantik dan sempurnanya keturunan serta bijaknya mereka.
Walhal, kesemua mereka ada adalah kurniaan yang sedikit daripada ALLAH SWT dan merupakan ujian kesyukuran daripada-Nya.
Seandainya kita memahami rahsia kebesaran ALLAH SWT, tentunya kita tidak berani untuk menyombongkan diri kerana kehebatan yang kita peroleh adalah sangat kerdil berbanding dengan pelbagai mukjizat ALLAH SWT kurniakan kepada para nabi.
Antaranya, mukjizat kepada Nabi Sulaiman sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya; sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan.” (Surah Saba’, 34:12).
Sewajarnya, kehebatan mukjizat tersebut memberi peringatan kepada spesies angkuh dan sombong terhadap segala kehebatan yang telah diraikan selama ini.
Pun begitu, lihatlah apa yang berlaku hari ini, masih ramai sangat sombong dengan kedudukan mereka. Sifat sombong dalam berurusan dengan masyarakat masih ketara. Sama ada di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta, kebiadaban mereka berurusan dengan pelanggan semakin terserlah.
Jika semasa pandemik Covid-19 sebelum ini, bukan main lagi merayu-rayu agar pelanggan menyokong perkhidmatan mereka, namun setelah sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, sifat sombong dan berkomunikasi secara kasar dengan pelanggan telah menjadi kelaziman.
Harga perkhidmatan
Malah, harga pelbagai perkhidmatan telah dinaikkan dengan sewenang-wenangnya. Peliknya, apabila ramai rakyat mula beralih mencari ‘ke-bahagiaan’ dan ‘ketenangan’ di negara-negara sempadan, maka mulalah panik serta kecoh.
Akhirnya, mendesak pihak kerajaan merangka pelbagai dasar untuk menyekat kemasukan rakyat Malaysia ke negara berkenaan.
Sesungguhnya, itulah penangan bagi mereka yang sombong. Larangan agar kita menjauhi sifat sombong adalah sangat jelas menerusi firman ALLAH SWT: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Israa’, 17:37).
Pada hemat saya, kita sangat kerdil untuk bersifat sombong, Sewajarnya kita memuliakan kehidupan kita dengan sebaiknya.
Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Hidup telah mengupas bahawa kemuliaan hidup adalah berkaitan dengan kemuliaan budi dalam pergaulan, pandai menghormati orang lain dan tidak canggung meletakkan dirinya dalam masyarakat.
Mereka juga boleh menyelesaikan kekusutan diadukan kepadanya dan menjadi contoh kepada orang lain tentang ketulusannya. Selain itu, mereka meninggalkan jasa yang banyak dan namanya harum sepanjang zaman.
Ingatlah, kemuliaan hidup bukannya berusaha untuk memegang jawatan tinggi, menjadi orang tersohor dan Yang Berhormat semata-mata. Sebaliknya, kemuliaan hidup adalah berusaha menjadi hamba ALLAH SWT yang taat dan bermanfaat kepada masyarakat.
Jika hanya mengulangi skrip lama untuk mencandu rakyat, mereka tidak lagi diangkat ke persada. Jadi, janganlah menyombongkan diri.
Jika kita ikhlas, amanah dan bertanggungjawab untuk membantu rakyat, tentunya rakyat akan datang kepada kita.
Janganlah nanti kita basah kuyup ‘berlakon’ menagih simpati, sedangkan sifat sombong masih kekal di hati.
*Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Saya malu untuk ceroboh kawasan lain – Khairy
- Selepas Istana Selangor dedahkan, MB Selangor akhirnya akui tidak pernah mohon untuk bubar DUN
- Kedai Shuib dirempuh kereta, mungkin pemandu ingat drive thru
- Ekonomi global dalam bahaya – Bank Dunia
- Pertemuan terakhir PAS dan UMNO pada 12 Oktober
- Hadi mula menyerang UMNO
- Bubar DUN semua negeri PH – Ramkarpal
- STF sahkan ada campur tangan pelantikan hakim zaman PH
- Populariti Najib jadi ‘X factor’ dalam PRU15
- Ahli Parlimen UMNO yang khianat parti kini susah hati kerana akan gagal pertahankan kerusi dalam PRU-15
- Bekas Pelajar DDNK Pula Cerita Pengalaman Tak Best Sertai Kelas Saham
- Baby Shima Sindir PU & Ustazah ‘Online’ Pasal Kes Amang Seksual
- PH muktamad tiada kerjasama dengan GTA, PN
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.