Negeri tak bubar DUN berisiko kalah bila PRN

#PRU15

Negeri tak bubar DUN berisiko kalah bila PRN

Keputusan PAS dan Pakatan Harapan (PH) yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri dikuasai parti itu, berisiko memakan diri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan PAS dan PH berisiko hilang beberapa negeri dalam PRN akan datang, jika Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jika situasi itu berlaku, katanya, BN pasti menggunakan kekuatan jentera Persekutuan sepenuhnya dengan memberi tumpuan khusus ketika PRN nanti, sekali gus menjadi kekuatan tambahan untuk gabungan itu merampas beberapa negeri PAS dan PH.

Beliau juga percaya pelaksanaan pilihan raya berulang kali dalam tempoh singkat akan ‘merosakkan mood rakyat’, menyebabkan ramai memilih untuk tidak pulang ke kampung mengundi, sekali gus menjejaskan peluang PAS dan PH mempertahankan negeri masing-masing.

“Jika BN menang pada peringkat Persekutuan, PAS di Kelantan atau DAP di Pulau Pinang perlu berdepan kekuatan jentera Persekutuan yang dapat memberi tumpuan penuh dalam PRN.

“Pilihan raya berasingan juga hanya menyusahkan rakyat keluar mengundi. PAS dan PH mungkin laksanakan PRN berasingan, bermakna rakyat perlu hadapi pilihan raya berulang kali dalam tempoh hanya beberapa bulan.

“Ini akan merosakkan mood rakyat untuk keluar mengundi dan saya percaya peratusan keluar mengundi akan kurang daripada 70 peratus jika pilihan raya ini dilaksanakan secara berasingan, sekali gus menjejaskan proses demokrasi negara,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasainya pada PRU-15.

Majlis Presiden PH pula sebelum ini memutuskan tiga negeri ditadbir gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan membubarkan DUN masing-masing, namun DAP Pulau Pinang menyatakan hasrat supaya DUN negeri itu dibubarkan kerana orang ramai mahukan pilihan raya diadakan serentak.

Ditanya mengenai alasan banjir digunakan untuk tidak membubarkan DUN, Mohammad Tawfik percaya Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah mengambil kira faktor itu sebelum memperkenan permohonan pembubaran Parlimen.

“Pasti ada sebab baginda memberi perkenan dan keputusan ini dibuat selepas Al-Sultan Abdullah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berpandangan keputusan PH dan PAS untuk tidak membubarkan DUN adalah strategi politik parti berkenaan.

Berdasarkan situasi pasif politik dalam kalangan rakyat ketika ini, beliau percaya PAS dan PH mahu melihat pola pengundian rakyat dalam PRU-15 terlebih dulu, sebelum menentukan strategi politik untuk berdepan PRN di negeri masing-masing.

Namun, katanya, pendekatan itu membebankan rakyat, selain menyebabkan kos pengurusan pilihan raya meningkat berkali ganda.

“Keputusan PAS dan PH menyukarkan lagi proses pilihan raya. Situasi ini akan memberi gambaran kepada rakyat bahawa parti politik hanya mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Noor Nirwandy berpandangan pembubaran DUN dan Parlimen wajar dibuat serentak bagi melancarkan proses demokrasi dengan memudahkan rakyat untuk keluar mengundi.

“Jika dilakukan secara bersama, tentu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan fikirkan kaedah dan tatacara yang sesuai untuk memastikan kelancaran PRU-15, termasuk mengambil kira faktor risiko bencana banjir,” katanya. BH

Negeri tak bubar DUN berisiko kalah bila PRN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Akar umbi PAS mahukan MN – Khairuddin

Adi Putra, Beto, Syamsul tiada dalam prekuel Mat Kilau

Musim YB salam B40 sudah tiba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker