Profesor diabetes pertama Universiti Nottingham, UK
Dr Iskandar Idris
Profesor diabetes pertama Universiti Nottingham, UK
Pelantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris setakat ini bahkan melakar sejarah untuk Malaysia.
Ini kerana secara langsung membuktikan anak Malaysia juga mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan sudah tentunya akan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan berkenaan pada Januari tahun ini (2022), Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian beliau itu adalah berkat usaha dan penat lelah yang tidak pernah mengenal erti jemu sekali gus pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada 1798, berikutnya menjadi kolej Universiti pada 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif dan ia bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya ketika ditemui Bernama sewaktu pulang bercuti ke Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki menjadi antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, Dr Iskandar berkata, isteri beliau Hayley Hobbs Iskandar, 48, serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi penyokong kuat karier beliau.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang saya ceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam lapangan dunia perubatan,” katanya menambah isterinya adalah tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan dan pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau adalah juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menggangotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Pada masa ini, beliau masih giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Dr Iskandar turut memainkan peranan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun, katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes ini berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya. MG
Profesor diabetes pertama Universiti Nottingham, UK
Profesor diabetes pertama Universiti Nottingham, UK
Baca Artikel Menarik:
- Giliran siapa pula tuduh PRU15 paling kotor dalam sejarah?
- Saman kerana bubar Parlimen tindakan derhaka kepada Agong
- Kerajaan bubar kerana ‘boss’ PN – Ismail
- Battersea Power Station kejayaan kerajaan BN
- Anwar malas layan Mahathir
- Mahathir buat-buat tak tahu
- Aliff Syukri didakwa bersabit kes video bersifat sumbang
- Bayaran tol enam lebuh raya Lembah Klang bakal turun
- PKR didakwa dalang buat panggilan provokasi terhadap BN
- Tak mustahil Sanusi menghadap Sultan mohon bubar DUN Kedah
- PH buat pusingan U, adakan PRN serentak PRU15?
- Kenyataan saya disalah tafsir lawan – Zahid
- Abang beri 2 sebab utama Ismail Sabri bubar parlimen
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki