Kesengsaraan 22 bulan dibawah PH, adakah orang Melayu akan memaafkan mereka?

UMNO, dianalisis pemerhati luar parti itu dan pengkritiknya hanya mampu menang sekurang-kurang 50 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Atas jangkaan itu pastinya orang Melayu merasakan akan sekali lagi negara diperintah oleh pentadbiran kerajaan campuran. Lebih kurang sama macam sekarang. Wal hasil balik asal.

Cumanya kalau Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bernasib baik, orang Melayu akan memaafkan atas apa yang telah mereka lakukan dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH tempoh hari.

Siapa yang tak maklum hal ini? Waktu PH memerintah, orang Melayu jadi gundah gulana. Kemenangan PH dalam PRU14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis dan tidak toleran. Pada masa sama, rakyat terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU itu. Sayangnya diberitahu ‘manifesto Harapan bukan kitab suci yang wajib ditunaikan.’

Ini yang harus dijadikan iktibar. Jangan apabila meraih kuasa sahaja membentuk kerajaan, kerja selepas itu bukan lagi tunaikan manifesto yang tebal gila. Tapi lain pula jadinya yang dikerjakan. Sibuk salahkan kerajaan terdahulu.

FLIP FLOP

Mana tidaknya, masuk-masuk sahaja ‘pintu rumah’ kerajaan, terus membesit mengatakan hutang negara mencecah RM1 trilion. Padahal, hutang Kerajaan Persekutuan waktu itu (2018) RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kenyataan hutang negara RM1 trilion ‘hanya menimbulkan keraguan terhadap pasaran kewangan, mengejutkan agensi penarafan kredit dan menjejaskan keyakinan pelabur dalam institusi negara seperti Bank Negara Malaysia.’

Masuk Ogos 2018 pun masih disebut-sebut pasal hutang dan masalah kewangan negara yang amat serius sebagai: “Betapa besarnya jumlah RM1 trilion hutang Kerajaan Persekutuan boleh dilihat sekiranya RM1 juta dibayar setiap hari, maka masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang RM1 trillion ialah 2,640 tahun! Ataupun bayi yang baru dilahirkan akan hutang sekeliling pinggang serta-merta sebanyak RM33,333.”

Dakwaan wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dirompak diuar-uarkan ketika itu turut menjejaskan keyakinan pelabur berkenaan tadbir urus kewangan negara. Sehingga mengakibatkan pelabur lari dan mencatatkan aliran keluar dana asing mencecah RM38 bilion.

Pengeluaran dana asing yang berterusan keluar dari Malaysia ketika itu juga menjejaskan Bursa Malaysia sehingga kehilangan 200 mata atau bersamaan dengan kemerosotan nilai sehingga RM270 bilion.
Waktu itu juga pasaran saham merosot sehingga menjadi paling corot dalam dunia kerana menteri PH mengatakan ‘tak reti untuk berhenti berbohong.’ Ramai yang ‘terbakar’ dan rugi teruk dalam pasaran saham serta unit trust.

Dividen-dividen yang dibayar oleh tabung-tabung rakyat seperti ASN/ASB dan Tabung Haji juga jatuh kepada paling rendah dalam sejarah. Harga sawit tidak pulih sehingga timbul jenaka ‘rakyat disuruh minum (minyak sawit) sesudu sehari.’

Dan hari ini, 2022 bakal memasuki gelanggang PRU15, PH kelihatan tampak stabil kerana hanya Anwar dicalonkan olehnya sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10. Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi dalam ‘khemah besar.’ Beliau membentuk pakatan baharu dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA).

Sementara survival Perikatan Nasional (PN) pula akan dipenuhi calon-calon Pas. PN berkemungkinan besar akan menang sejumlah kerusi tetapi daripada hasil masyhul Pas. Dan barangkali selepas PRU, Pas tidak mustahil tinggalkan PN disebabkan parti itu menang banyak kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah barangkali. Nasib Bersatu, apa lagi parti Gerakan tidak boleh menang.

MENGINTAI

Sebenarnya pun, akan ada empat calon PM semasa PRU nanti. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN); Anwar (PH), Dr. Mahathir (GTA) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN). Itupun jika UMNO tidak menukar poster boy-nya. Tetapi kalau PRU berlangsung tahun depan, diragui pula adakah Ismail Sabri masih lagi menjadi poster boy UMNO-BN. Ini susulan apabila setiap kali Ismail Sabri bertemu dengan ahli-ahli UMNO akar umbi, yang mereka suarakan adalah “bubar, bubar, bubar (Parlimen).” Dengan tidak kelihatan ada keyakinan atau pergerakan ke arah ‘bubar’, adakah UMNO akan ‘membiarkan’ begitu sahaja?

Semakin dekat PRU, semakin rancak percaturan politik setiap parti. Pas pun sedang dan masih mengintai UMNO. Kenyataan Muhyiddin daripada pertemuannya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Isnin lalu jelas menunjukkan Bersatu sendiri tidak mampu menahan gelodak hati Pas berura-ura mahu bersama UMNO.

Realiti politik tanah air hari ini, tak payah cerita pasal penyatuan Melayu, waima penyatuan ummah pun. Usah beretorika sangat. Ini soal politik. Soal utamanya kedudukan, bukannya isu prinsip. Ia soal siapa menang, siapa kalah dan apa kesudahannya.

Sudah tentu UMNO sama sekali menolak untuk bersama Bersatu. Sakit hati kerana ambil hak orang lain belum lagi padam. Biarpun begitu, Bersatu masih berpeluang selepas PRU dengan bergabung bentuk kerajaan.

Di sebalik kemelut parti-parti politik yang masih mencatur-catur strategi, PRU15 adalah berkisar persoalan – antara janji-janji palsu dan kerajaan lemah. Dengan sejarah janji-janji palsu, ia tidak boleh selamatkan PH. Kerajaan yang lemah pula bersebab, kerana kerajaan sedia ada ini dibentuk dari ‘pintu belakang’ dengan diasaskan oleh parti-parti yang berbeza ideologi perjuangan. Kerana itu perlu sangat PRU disegerakan demi menyelesaikan masalah pokok ini – yang menggugat kestabilan dan ketidaktentuan ekonomi. Tidak boleh salahkan Ismail Sabri semata-mata.

Adakah benar Bersatu kini dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’? Yakni, gabungan yang dia sendiri tidak yakin untuk pergi lebih jauh.

Menjadi parti paling ramai dianggotai wakil rakyat lompat, semasa ketua PN bertindak melulu melalui Langkah Sheraton, dia sendiri waktu itu tidak yakin dengan PH dan bertindak menjatuhkan PH. Tapi sekarang mengapa pula tiba-tiba hendak bersama PH? Adakah tindakan menjatuhkan kerajaan pada 24 Februari 2020 belum cukup menyedarkan PH? Ini bukan suatu tindakan main-main.

Apakah selepas PRU15 setelah kerajaan yang sah memerintah, akan masih lagi kita menyaksikan perilaku buruk seumpama ini? Jelas tak masuk akal.
Dan mungkinkah PRU15 menyaksikan kerajaan campuran kembali untuk kali kedua? Parah! –

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu rumah MRF: Sidang akhbar jadi gelanggang tikam lidah

Kisah A.R. Tompel meninggal akibat kemalangan jalanraya, beri kesan pada P. Ramlee

Gelaran Datuk Seri Mahadi Didakwa Palsu?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker