Majikan mahu kerajaan laksanakan segera program subsidi upah

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa program subsidi upah (PSU) diperluaskan kepada semua sektor ekonomi untuk menyokong perniagaan terus bertahan, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih sebulan.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, keadaan bertambah baik pada awal bulan lalu, sejurus sebelum PKPB diumumkan, dengan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial kembali beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan.

“Hakikatnya ialah kebanyakan sektor ekonomi, hampir 50%, berada di Kuala Lumpur dan Selangor. Tetapi, lanjutan PKPB (sehingga 6 Dis) dan ke negeri lain akan menjadikannya lebih sukar sedikit untuk bertahan.

“Lanjutan PSU sangat penting supaya majikan dapat mengekalkan pekerja mereka kerana perniagaan tidak mencapai tahap yang mereka mahukan,” katanya kepada FMT.



Beliau menggesa lanjutan PSU dalam Belanjawan 2021 yang kini memfokuskan industri peruncitan dan pelancongan ditambah baik untuk mengelakkan pemberhentian pekerja selepas ia berakhir Mac 2021.

“Kebimbangan utama saya untuk sektor lain. Jika keadaan tidak bertambah baik menjelang Mac tahun depan, apabila mereka tiada pilihan lain untuk memberhentikan pekerja, keadaan mungkin bertambah buruk dari segi kemampuan untuk mengekalkan pekerja.

“Jadi, mungkin kerajaan perlu mengkaji semula keadaan itu dan lihat jika ada keperluan memperkenalkan semula PSU berdasarkan situasi selepas Disember 2020.”

Shamsuddin berkata, pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) membantu meningkatkan penggunaan ketika rakyat lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka dan ini penting untuk merangsang pasaran tempatan.



Katanya, walaupun ramai merasakan ada keperluan untuk bersiap sedia menghadapi keadaan lebih teruk pada masa depan, ia menyebabkan produk dan perkhidmatan bergerak perlahan.

Di sinilah BPN akan membantu dengan menggalakkan lebih banyak jualan dan meningkatkan permintaan bagi barangan serta perkhidmatan, yang membawa kepada kesan rantaian dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Jika ada peningkatan permintaan untuk produk atau perkhidmatan tertentu, maka sektor itu sebenarnya dapat menggaji lebih ramai orang.

“Semasa PKP, kebanyakan tempat makan ditutup untuk makan dalam premis, menyebabkan permintaan tinggi untuk perkhidmatan penghantaran. Oleh itu, platform berbeza pasti memerlukan lebih ramai penghantar.



“Walaupun ia bukan pekerjaan formal, masih ada kegiatan ekonomi yang akan menjana pendapatan bagi mereka yang terlibat.” katanya. FMT

Program Subsidi Upah bantu IKS tidak buang pekerja



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker