Akak bomba pun sado juga

Akak bomba pun sado juga

Populariti anggota bomba sado yang tular di media sosial, baru-baru ini, dijadikan sebagai pemangkin semangat kepada anggota bomba wanita yang menyertai Kelab Bina Badan Bomba Malaysia (Bomba Perkasa) untuk membina badan sasa.

Anggota bomba, Nordiana Abdul Rahman, 22, berkata, dia sudah lama menaruh minat bagi membentuk badan sasa sebelum menyertai latihan bomba, namun tidak mengetahui cara untuk menjadi sado.

“Apabila dimaklumkan bahawa pihak bomba ada menubuhkan kelab bina badan ini, saya tanpa berfikir panjang terus menyertainya kerana mahu membentuk badan sado dengan latihan daripada jurulatih bertauliah.

“Meskipun penyertaan wanita dalam bidang bina badan adalah kurang, namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk mendapatkan badan sasa walaupun mengetahui akan mengambil masa lama untuk sampai ke tahap itu,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling.

Seorang lagi ahli Bomba Perkasa, Nurul Khyira Budin, 22, yang bertugas di BBP Bukit Jalil, berkata, dia mendapat inspirasi untuk mendapatkan badan sasa apabila melihat ramai anggota bomba memiliki badan sado.

“Saya lihat lelaki yang berbadan sasa adalah hebat dan disebabkan itu saya mahu badan seperti itu (sado) kerana mahu membuktikan bahawa wanita juga boleh memiliki badan sado dengan latihan intensif.

“Hasil latihan dengan jurulatih termasuk senaman di gim dua kali seminggu, saya mula merasai perubahan fizikal badan saya yang lebih cergas berbanding sebelum ini. Namun, masih jauh lagi perjalanan saya untuk mendapatkan bentuk badan impian,” katanya yang berasal dari Tenom, Sabah.

Sementara itu, anggota bomba dari BBP Jalan Hang Tuah, Jasspine Lungkidau, 22, berkata, dia selesa menjalani latihan dalam Bomba Perkasa kerana mereka diberi latihan secara berasingan daripada anggota lelaki.

“Jumlah kami (anggota wanita) dalam kelab ini tidak seramai anggota lelaki yang lebih profesional. Apabila kami menjalani latihan dalam kumpulan kecil, ia memudahkan kami kerana tidak perlu rasa segan atau malu.

“Namun pada masa sama, mereka (anggota bomba lelaki) selalu memberikan nasihat kepada kami dari segi latihan selain berkongsi pengalaman yang dijadikan sebagai pendorong untuk berjaya seperti mereka,” katanya.

Berbeza pula pengalaman dengan ahli wanita Bomba Perkasa yang lain, Shairil Johqius, 23, berkata, dia pernah mengalami kecederaan pada bahagian kaki selepas ‘dumbel’ yang diangkat terjatuh daripada genggaman semasa latihan.

“Waktu dalam latihan, saya sukar untuk bersenam dengan alat yang berat sehingga pernah cedera sebelum ini ketika berlatih. Berat dumbel paling berat saya pernah angkat adalah 15 kilogram (kg).

“Namun, saya sentiasa cuba untuk meningkatkan berat pada dumbel setiap kali latihan kerana mahu terus mencuba membina badan meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.

“Jika dilihat secara fizikal badan saya yang kurus, adalah sukar untuk saya membina badan sado seperti orang lain. Saya bukan sahaja memerlukan senaman yang intensif, malah perlu menambah berat badan berbanding hanya 50 kilogram ketika ini,” katanya yang bertugas di BBP Jalan Hang Tuah. HM

Akak bomba pun sado juga


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Longgok rumput depan rumah jiran, dua lelaki bergaduh sehingga berdarah [VIDEO]

Tunggu Kat Akhirat Fun Ke Tak – Izara Aishah

Gol berkelas dunia Luqman [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker