9,000 jemaah tabligh berhimpun di Sulawesi tanpa hirau risiko Covid-19

Ribuan jemaah tabligh dari seluruh Asia berkumpul di Indonesia pada Rabu, walaupun timbul kebimbangan perhimpunan itu mungkin menyebabkan penularan Covid-19 hanya 2 minggu selepas acara sama diadakan di Malaysia yang menyaksikan lebih 500 pesertanya positif virus itu.

Penganjur dan pegawai serantau berkata, acara itu dimulakan di Indonesia itu dimulakan, walaupun ketua polis daerah cuba sedaya upaya memujuk penganjur membatalkannya.

“Kami lebih takut kepada Tuhan,” kata penganjur, Mustari Bahranuddin kepada Reuters ketika ditanya mengenai risiko peserta menyebarkan virus itu dalam perhimpunan di Gowa, Sulawesi Selatan.

“Kerana kita semua manusia, kita takut kepada penyakit, kematian. Tetapi, ada sesuatu yang lebih penting kepada badan, iaitu jiwa kita.”



Penganjur menolak permintaan rasmi pihak berkuasa untuk menangguhkan perhimpunan itu, kata pegawai serantau, Arifuddin Saeni.

Beliau menganggarkan 8,695 peserta sudah berkumpul di Gowa, dekat kota Makassar dan sukar untuk menghentikan acara itu.

“Ada yang masih datang. Ada yang datang dari Thailand, Arab Saudi, India dan Filipina.”

Kira-kira 16,000 jemaah dilaporkan menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.



Kedua-dua perhimpunan di Indonesia dan Malaysia dianjurkan gerakan dakwah Islam Jemaah Tabligh.

Ratusan dijangkiti Covid-19 di Malaysia

Kira-kira dua pertiga daripada 790 kes Covid-19 di Malaysia ada kaitan dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling.

Brunei mengesahkan 50 pesakit Covid-19 yang dikaitkan dengan perhimpunan di Kuala Lumpur itu, manakala warga Kemboja, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut dijangkiti virus berkenaan.



Bahranuddin berkata, penganjur di Indonesia memeriksa suhu badan jemaah sebagai langkah berjaga-jaga, manakala Saeni pula berkata, pegawai kesihatan melawat lokasi perhimpunan itu dan diminta memantau pesertanya.

Hari ini, Indonesia mencatatkan 227 kes positif Covid-19 dengan 19 kematian. Negara dengan 260 juta populasi itu melakukan 1,255 ujian saringan Covid-19.

Berbanding Korea Selatan dengan populasi hanya satu perlima daripada penduduk di Indonesia, negara itu menjalani lebih 15,000 ujian sehari.

Bahranuddin berkata, perhimpunan di Indonesia dan Malaysia dianjurkan kumpulan berbeza, tetapi “tujuan kami sama, walaupun nama berbeza yang merupakan cara kami berdakwah kepada orang lain”.



Akaun media sosial sama digunakan untuk mempromosikan kedua-dua acara itu. Satu akaun Facebook memaparkan sekeping gambar ulama tabligh India yang terkenal, Sheikh Maulana Ibrahim Dewla, meninggalkan lapangan terbang di Kuala Lumpur pada Selasa untuk menghadiri acara di Indonesia ini.

Imej di akaun itu, Aalmi Tablighi Shura Elders, menunjukkan beberapa lelaki yang datang dari negara Teluk tiba lebih awal untuk membantu mendirikan khemah besar di tapak Indonesia itu.

Bahan promosi untuk perhimpunan di Indonesia itu yang dilihat Reuters menyatakan “nikmat hidup di dunia ini hanya sedikit berbanding di akhirat.”

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker