Nasihat Menteri Agama buat pendakwah selebriti

Gangguan Seksual

Nasihat Menteri Agama buat pendakwah selebriti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, hari ini memberi empat nasihat kepada pendakwah selebriti bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan perbuatan tidak bermoral dan tidak lagi dipercayai masyarakat.

Pertama, katanya, mereka perlu sentiasa mengamalkan setiap dakwah yang disampaikan kepada masyarakat; kedua, sentiasa bermuhasabah diri; ketiga, menyedari risiko menjadi seorang individu yang mempunyai pengaruh kepada golongan masyarakat dan terakhir, menjaga tingkah laku.

Beliau memberi nasihat itu susulan beberapa kes tidak bermoral didakwa dilakukan pendakwah selebriti terkenal, dengan yang terbaharu membabitkan pendakwah bebas yang juga pelakon ditahan polis pada Khamis lalu selepas didakwa melakukan jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki.

Julai lalu, seorang pendakwah selebriti juga ditahan polis atas kesalahan merogol gadis di bawah umur, selepas mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama.

Februari lalu, seorang lagi pendakwa selebriti dihadapkan di mahkamah, dipercayai membabitkan 11 pertuduhan, termasuk berkaitan gangguan seksual.

Idris berkata, pendakwah selebriti perlu sentiasa ingat dan mengamalkan dakwah yang disampaikan kepada masyarakat.

“Kita kena sedar bahawa apa yang sering kita bercakap (dakwah), kita sering lupa, tetapi orang tidak akan lupa.

“Kedua, setiap pendakwah, ustaz serta dai harus sering bermuhasabah diri sendiri khususnya mengenai apa yang dicakap (dakwah). Adakah kita sendiri beramal atau tidak,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bijaktani Hidroponik Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.

Idris berkata, seorang pendakwah atau ustaz juga perlu menyedari risiko menjadi seorang individu yang mempunyai pengaruh kepada golongan masyarakat.

“Mereka kena sedar selebriti ini mempunyai pengaruh yang tersendiri, malah saya sebagai seorang ustaz juga mempunyai pengaruhnya.

“Disebabkan itulah, anda perlu beringat. Walaupun kita bukan manusia yang sempurna dan mempunyai kesalahan, kita juga perlu meminimumkan hal sebegini. Jika tidak ia akan menjatuhkan imej kita sebagai pendakwah,” katanya.

Pendakwah selebriti juga diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku kerana tindakan buruk yang dilakukan akan turut memberi kesan negatif kepada semua pendakwah serta ustaz di negara ini.

“Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Ramai lagi ustaz selebriti yang baik, dai yang baik, juga pendakwah yang baik, tetapi kerana seorang dua ini, kesannya ramai yang pandang tidak baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, penahanan dua orang pendakwah selebriti dalam tempoh terdekat ini amat malang kerana ia sepatutnya tidak berlaku, malah begitu dimurkai Allah.

“Amat malang ia terjadi sedemikian, Allah juga murka dan kemurkaan-NYA adalah lebih besar kerana kamu bercakap (berdakwah) tetapi kamu tidak buat.

“Allah juga akan murka dengan orang jahil yang melakukan kejahatan tetapi kemurkaan Allah adalah lebih dahsyat apabila orang yang mengetahui mengenai agama berbuat sedemikian rupa. Kalam di lidah tidak diterapkan sehingga ke dalam hati,” katanya.

Ditanya mengenai garis panduan baharu untuk pendakwah selebriti, Idris berkata, perkara itu sudah pun ada.

“Ia adalah soal hati. Kita lihat seseorang itu baik tetapi hati kita tidak tahu. Kita sudah lihat kelayakan mereka tetapi kita lihat secara luaran sahaja, kita tidak tahu hati mereka.

“Bila jadi kes sebegini, kita akan tahu dan ambil tindakan. Mereka ini tidak boleh lagi dibenarkan berdakwah,” katanya. BH

Nasihat Menteri Agama buat pendakwah selebriti


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tengku Hassanal tolong angkat skrol jatuh ketika istiadat (Video)

Masjid Noori Berusia 120 Tahun Muncul Semula Selepas Tiga Dekad Tenggelam [VIDEO]

Ustazah Asma Tak Tahan Dikecam Berterusan Tanpa Sebab (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker