Isteri ulang alik 50 km sehari jaga suami perlu bantuan

Isteri ulang alik 50 km sehari jaga suami perlu bantuan

KUALA KRAI: Seorang wanita berulang alik sejauh 50 kilometer dengan menunggang motosikal dari rumahnya ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai setiap hari sejak lebih seminggu lalu, untuk menguruskan suaminya yang dirawat dan berada dalam keadaan separuh sedar di hospital berkenaan.

Nur Fazlizawati Zohari, 39, berkata, sebelum ke hospital menguruskan suaminya itu, dia akan memasak dan menyiapkan makanan untuk lima anaknya yang berusia di antara 17 tahun hingga tiga bulan dua hari.

Katanya, sementara dia berada di hospital untuk menguruskan keperluan suaminya, Mohd Nazri Khaidhir, 39, termasuk menukar lampin pakai buang, mengelap anggota badan dan memberi minum susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung, anak-anaknya itu akan dijaga oleh saudaranya.

“Cabaran saya berulang alik ke hospital hampir setiap hari untuk menguruskan suami sebenarnya tidak sehebat perjuangan suami yang pada ketika ini sedang melawan sakit yang dihidapinya.

“Setiap kali menguruskannya di hospital, saya sentiasa membisikkan kata-kata semangat di telinga suami dan walaupun berada dalam keadaan separuh sedar, saya yakin dia mendengar apa yang saya ucapkan dan mahu dia segera sembuh kerana anak-anak masih kecil dan masih memerlukan kasih sayang daripada seorang ayah,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Petanding, Telekong, di sini, semalam.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan.

Menceritakan keadaan suaminya itu, Nur Fazlizawati berkata, pada 22 Julai lalu suaminya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selepas mengalami pening kepala, muntah dan terus tidak sedarkan diri.

“Suami saya sudah lama menghidap penyakit darah tinggi, namun sejak April lalu kesihatannya semakin merosot dan hasil pemeriksaan doktor melalui imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati pembuluh darah sudah pecah dan perlu menjalani pembedahan membuang darah yang sudah bercampur dengan air.

“Pada ketika itu, doktor memaklumkan risiko yang perlu ditanggung oleh suami selepas menjalani pembedahan sama ada lumpuh atau hilang ingatan.

Namun bagi menyelamatkan nyawa suami, saya menyerahkan semuanya kepada Allah SWT dan pembedahan diteruskan.

“Selepas menjalani pembedahan, suami saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital USM selama dua minggu untuk pemantauan dan seminggu kemudian pembedahan kali kedua pula dilakukan untuk membuang cecair di dalam kepala serta menebuk leher bagi saluran pernafasan.

“Sebaik keadaan suami stabil, saya meminta kebenaran daripada doktor untuk memindahkan suami ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai bagi memudahkan urusan saya untuk menjenguknya memandangkan sebelum ini saya terpaksa meminta bantuan saudara untuk menghantar dan mengambil sepanjang suami dirawat di Hospital USM,” katanya.

Selepas suaminya sakit, beliau berkata, mereka kini hilang punca pendapatan sehingga bil utiliti dan sewa rumah RM100 sebulan kini sudah tertunggak selama lima bulan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah makan untuk anak-anak masih cukup disebabkan jiran serta saudara mara yang terdekat ada membantu menghulurkan sumbangan barang keperluan asas serta wang ringgit dan kami anak beranak tidak pernah berlapar.

“Saya bukan tidak berusaha dan hanya mengharapkan bantuan, tetapi pada ketika ini saya perlu menguruskan suami yang dirawat di hospital dan memerlukan penjagaan selain anak-anak juga masih kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03045022196638 atas nama Nur Fazlizawati Zohari atau boleh menghubunginya di talian 017-9113948. BH

Isteri ulang alik 50 km sehari jaga suami perlu bantuan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kapal Layar Mewah Milik Siapa Bernilai RM200 Juta? [VIDEO]

Tembelang Pengkid ‘Mohd Syahid’ Pecah

Ahli Parlimen Bersatu sedar tiada peluang untuk menang

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker