Pegawai hanya tahu makan gaji jangan hantar ke ‘JAKOA’ – MP Cameron Highland

Kerajaan perlu berhenti menghantar pegawai yang hanya ‘makan gaji’ ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), kata Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, Ramli yang merupakan ahli parlimen Orang Asli yang pertama berkata rakyat memerlukan pegawai yang bersemangat dan faham berkenaan tugas di jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia Jakoa.

“Kena faham konsep, apa itu Jakoa. Jakoa itu badan kerajaan, pelaksana dasar-dasar kerajaan. Pada saya, sesuatu jabatan kerajaan itu perlu dianggotai pelaksana… itu yang mustahak – the people in the organisation (individu dalam organisasi tersebut).

“Tanggungjawab Jakoa menjaga ekonomi dan kepentingan masyarakat Orang Asli. (Jadi) pelaksana-pelaksana di situ perlu menyelami dan memahami apa tugas mereka. Itu saja bagi saya.

“Selama ni saya lihat ialah with due respect to them: ‘Ah ini masyarakat Orang Asli, buat kerja pun kita tak ada siapa nak complaint.’ Mereka tak pandai nak complaint, kita beri saja apa-apa pun, kualiti, standard dan sebagainya,” katanya.

Temubual ini diadakan sempena Hari Orang Asli Sedunia, yang diraikan di seluruh dunia hari ini.

Pemimpin Umno itu dipilih menjadi ahli parlimen Orang Asli yang pertama di Malaysia selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 2019. Dia juga Orang Asli pertama yang dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Bekas pegawai polis itu meluahkan rasa kecewanya apabila ditanya tentang perkembangan masyarakat Orang Asli dan Jakoa membantu komunitinya setakat ini.

Dia berkata bahawa dia telah berjumpa dengan pegawai Jakoa yang mempunyai sikap sambil lewa dan melayan Orang Asli dengan buruk kerana mereka menganggap Orang Asli sebagai tidak berpendidikan dan dengan itu akan menerima saja apa yang dikatakan terhadap mereka.

Dia menyorot insiden pada 1990-an apabila seorang warga emas dari masyarakat Orang Asli pergi ke pejabat daerah Jakoa di Gerik, Perak bagi mendapatkan bantuan untuk anak perempuannya menyambung pelajaran.

Ramli melihat lelaki berkenaan berdiri di kawasan pejabat Jakoa seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Menurutnya, tiada pegawai di situ yang ingin mengambil inisiatif bertanya sama ada lelaki itu memerlukan bantuan.

Ia berlarutan agak lama sehingga Ramli, yang menemani seorang saudaranya, memberitahu kepada seorang pegawai di situ yang lelaki tersebut mungkin perlukan bantuan.

Ramli berkata berdasarkan perbualan Orang Asli Temiar tersebut, dia terdengar bahawa lelaki tersebut bertanya bagaimana cara untuk memohon masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana anaknya memperoleh 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Nampak tak? Dia ada wawasan nak majukan anak di peringkat pendidikan.

“Anda tahu apa berlaku? Saya diam je, saya ada (di) sebelah. (Pegawai itu kata) Haa pak cik, nanti pergi ke cyber cafe, tolong isikan borang UPU,”.

“Cuba bayangkan Orang Asli ni komputer pun tak ada, dalam hutan bangang tu mana ada, komputer rupa macam mana pun tak tahu, nak isi pula borang,” keluhnya ketika mengimbas semula situasi tersebut.

Dalam insiden terbaru Ramli berkata dia dimaklumkan pada bulan lalu mengenai seorang pelajar universiti Orang Asli yang terpaksa berhenti pengajiannya pada semester kedua kerana universiti tidak menerima bayaran yuran pengajiannya tepat pada masanya.

Ramli mendakwa, apa yang lebih mengecewakannya apabila unit Jakoa yang bertanggungjawab terhadap biasiswa gagal menyimpan rekod bilangan pelajar Orang Asli yang berada di universiti.

“Pada saya kalau nak bangunkan Orang Asli melalui Jakoa, kena letak daripada ketua pengarah dan mereka dalam organisasi itu, orang yang komited dan faham tugas mereka untuk membangunkan satu masyarakat yang begitu ketinggalan jauh daripada masyarakat lain,” katanya.

Please.. Jakoa ni jangan letakkan penjawat-penjawat awam yang dikategorikan sebagai ‘deadwood’, faham tak? Makan gaji saja..bila suruh kerja, tak boleh buat kerja, minta tukar – lari sana, lari sini. Tak ada tempat nak letak, letak Jakoa.

“Walhal patut Jakoa tu letak orang-orang komited untuk bantu majukan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Ramli, yang bakal berusia 64 tahun menjelang Oktober ini berkata dia juga merupakan produk Jakoa, tetapi menegaskan bahawa dirinya dikira bertuah kerana ada pegawai Jakoa yang sangat bersemangat dalam membantunya melanjutkan pelajaran.

Dia berkata kerajaan sudah mempunyai dasar yang baik untuk membantu masyarakat Orang Asli di negara ini, termasuk memberi peluang dan sedikit kelonggaran peraturan kepada pelajar Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, perkara utama yang perlu diambilkira ialah bagaimana dasar itu dilaksanakan.

Adik perempuan jadi KP Jakoa

Semasa wawancara ini, Malaysiakini turut bertanya kepada Ramli mengenai pelantikan adik perempuannya Sapiah Mohd Nor sebagai ketua pengarah Jakoa tahun lepas.

Sapiah menggantikan ahli akademik Juli Edo, iaitu lantikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, di mana kontraknya tamat pada April tahun itu.

Untuk rekod, Sapiah telah beberapa kali tidak memberikan respons kepada permintaan Malaysiakini untuk ditemubual.

Ramli mempertahankan pelantikan adik perempuannya itu, dengan berkata ia tidak ada kena-mengena dengan nepotisme – walaupun Sapiah mempunyai pertalian dengan Ramli dan Ajis Sitin, iaitu pengarah Jakoa sebelum ini yang kini menjadi senator Dewan Negara.

Menurut Ramli, tiada calon lain yang layak untuk memegang jawatan sebagai pengarah Jakoa.

“Ini bukan isu nepotisme ya. Saya nak kena letak direct. Okey, there is a saying (ada pepatah mengatakan) dalam bahasa Inggeris, better the devil you know than the angel you don’t know (lebih baik berurusan dengan orang yang kita kenali walaupun tidak sehaluan berbanding individu tidak dikenali yang kemungkinan membawa bencana).

“Saya tau adik saya ni integriti dia teramat tinggi dan dia pun bukan calang-calang orang. Dia di KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) dulu dah gred 54, Jakoa tu Jusa C (hanya naik satu pangkat).

“Dari segi pentadbiran kerajaan, A to Z semua dia tahu. Tak salah last posting (jawatan terakhir) dia dulu pengarah pengurusan KPDNKK, maknanya dia tahulah pengurusankewangan.

This type of people (orang seperti ini) cantik (bagus) tak kalau dia jadi KP? Sistem pentadbiran kerajaan dia tahu, cara kewangan dia faham, polisi dasar kerajaan dia faham, selok belok pelaksanaan. Atau nak letak satu orang politik, yang tak pernah mentadbir satu organisasi, dia letak sebagai KP, tak pernah jadi pentadbir, tak pernah tahu pentadbiran kewangan, tak pernah tahu administration satu organisasi besar.

Ramli berkata jika itu terjadi, pada masa itu apabila jawatan ketua pengarah Jakoa perlu diisi, tiada tokoh Orang Asli lain yang sesuai untuk menyandang jawatan tersebut.

“Apa akan jadi? Kena tipu je la dek pegawai-pegawai dia dan personaliti kena betul,” katanya.

“Bolehlah pluck anybody, just put there (petik nama sesiapa untuk sandang jawatan itu), (mana-mana saja) Orang Asli, siapa-siapa.

“Tapi nak letak yang tahu boleh mentadbir, integriti dan moral paling mustahak. Integriti, amanah. Bukan duduk situ (memimpin Jakoa) nak atur projek-projek, kroni-kroni nak bagi projek. Tidak. (Perlu) komited,” katanya.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu LCS: Najib balun Raja Formula PKR dengan fakta padu

Video lucah tersebar, ada pihak cuba jatuhkan Noh Salleh

Mahu elak hubungan seks, wanita ditahan buat laporan palsu dirogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker