Mukhriz pemimpin setanding Mahathir?

Mukhriz pemimpin setanding Mahathir?

Seorang penganalisis politik menyangkal dakwaan bahawa Mukhriz Mahathir akan menjadi pengganti setanding Dr Mahathir Mohamad dalam Pejuang.

Mengulas kenyataan seorang pemimpin Pejuang bahawa Mukhriz akan menjadi seorang pemimpin yang mampu mengikut jejak langkah bapanya, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Mukhriz malah tidak dapat menamatkan penggalnya sebagai menteri besar Kedah sebanyak dua kali.

Dalam kenyataan awal hari ini, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan, menepis tanggapan bahawa gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) akan berakhir tanpa Mahathir mengemudi. Sebaliknya, katanya, Mukhriz ialah seorang pemimpin sehebat bapanya dan sudah bersedia mengambil alih.

Khairuddin berkata, pendedahan Mukhriz terhadap politik sejak kecil dan pengalaman sebagai ahli perniagaan memberinya asas yang baik.

Bagaimanapun, menurut Fauzi, Mukhriz menamatkan penggal sebagai menteri besar Kedah awal sebanyak dua kali.

Pertama, ketika beliau bersama Barisan Nasional dan disingkirkan selepas perselisihan antara Mahathir dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, berhubung skandal 1MDB, pada 2016.

Kedua, apabila Bersatu menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Mukhriz sekali lagi dilantik sebagai menteri besar Kedah susulan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau disingkirkan selepas menjadi antara Ahli Parlimen dipecat Bersatu, termasuk Mahathir, kerana tidak menjajarkan diri dengan pentadbiran baharu Muhyiddin Yassin, pada Mei 2020.

Fauzi berkata, jika Mukhriz berjaya sebagai pemimpin, beliau akan kekal sebagai menteri besar.

“Jika beliau berjaya sebagai menteri besar, rakyat akan menggesa agar beliau kekal sebagai MB, tanpa mengira pengunduran Bersatu daripada PH,” katanya.

Tambahnya, sukar bagi sesiapa sahaja untuk mengikut jejak langkah pemimpin sehebat Mahathir.

“Mereka biasanya lemah dan tidak tegas kerana pemimpin bersifat autoritarian akan membuat semua keputusan peringkat tinggi.

“Bukan sesuatu yang luar biasa bagi kepimpinan yang lemah untuk mengikuti pemimpin yang begitu hebat, kerana autoritarianisme menyekat kreativiti dalam kepimpinan.”

‘Harimau Asia’

Dalam kenyataannya, Khairuddin membandingkan Mukhriz dengan Mahathir, ketika Mahathir menjadi timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Hussein Onn. Katanya, Mahathir juga tidak menonjol ketika itu dan hanya berusaha melaksanakan idea Hussein.

Beliau berkata, Mukhriz akan dapat mengulangi sejarah dengan sekali lagi menjadikan Malaysia “Harimau Asia”.

“Kita belum lihat warna sebenar Mukhriz lagi,” katanya.

“Kini, selaku presiden Pejuang, beliau sudah pasti mengizinkan ayahanda beliau yang amat berpengalaman luas untuk mengemudi hala tuju parti terlebih dahulu.”

Minggu lalu, Mahathir mengumumkan pembentukan GTA yang terdiri daripada parti berteraskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional.

GTA turut merangkumi partinya, Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Penganalisis politik berpendapat, gabungan itu tidak dapat bertahan tanpa kepimpinan Mahathir memandangkan parti dan pemimpin lain dalam gabungan itu tidak mempunyai sokongan mahupun pengaruh. FMT

Mukhriz pemimpin setanding Mahathir?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker