Bank Susu patuh syariah



Bank Susu patuh syariah

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini, merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ([email protected]) di sini, yang menjadi bank susu patuh syariah pertama di Malaysia.

Sehubungan itu, Tunku Azizah menzahirkan harapan agar ibu yang diberikan kelebihan susu badan yang banyak untuk mendermakan susu kepada pusat itu kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi, selain berharap lebih ramai wanita mengetahui kewujudannya.

“Sebagai ibu yang susah mendapat anak, semasa mengandung, saya memang ingin menyusukan semua anak dengan susu ibu. Tetapi Allah SWT kurnia ini, mungkin ada (perkara lain) yang tidak dapat.

“Walaupun saya berjaya dengan kuasa Allah memakbulkan doa saya dikurniakan anak, malangnya saya tidak dapat menyusukan seorang pun anak kerana saya antara seorang yang tiada susu.




“Waktu itu, IIUM tiada bank susu…kalau sudah ada bank susu, sudah tentu anak-anak saya boleh memanfaatkan kelebihan susu ibu. Saya sedih juga kerana tidak dapat memberikan susu ibu kepada anak sendiri,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian pusat susu tersebut yang dinamakan sempena ibu susuan Nabi Muhammad SAW di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden IIUM Tan Sri Samsudin Osman dan Rektornya Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Pada titah itu, Tunku Azizah juga berkongsi bahawa sejak idea menubuhkan bank susu itu disembah maklum ke pengetahuan baginda, Seri Paduka Baginda telah menitahkan supaya penyelidikan menyeluruh dilakukan agar tidak timbul isu dari segi hukum syarak khususnya untuk mengelak daripada berlaku pertalian adik-beradik susuan.

“Saya suruh mereka untuk semak betul-betul dan Alhamdulillah, apa yang hendak dibuat IIUM telah dimakbulkan…dalam apa juga program yang saya lakukan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertitah supaya jangan hangat-hangat tahi ayam dan saya berharap bank susu ini juga akan berterusan,” titah baginda.

Sementara itu, Samsudin dalam ucapannya berkata, penubuhan pusat susu itu telah melalui pelbagai siri perbincangan dengan jabatan agama termasuk Pejabat Mufti Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat jelas berhubung pematuhan syariah.




Antaranya, ia sangat menitikberatkan sumber susu, kekenyangan bayi yang dicatatkan dengan penuh ketelitian selain penderma dan penerima saling berkenalan serta penderma wajib mendapatkan keizinan suami.

[email protected] dalam kenyataan pula memaklumkan idea penubuhan pusat susu itu bermula pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif hospital mesra bayi dengan penyelidikan meluas termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan hanya nyawa, malah keturunan, harta dan akal.

“Semua prosedur diteliti oleh pasukan terdiri daripada doktor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik, jururawat ahli mikrobiologi dan Jabatan Pematuhan Syariah. SOP yang dibuat juga mengandungi garis panduan lengkap yang memperincikan keseluruhan proses daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu penderma kepada bayi.

“Aplikasi digital i-Milk juga dicadangkan sebagai tambahan untuk memastikan jumlah susu penderma yang diberikan kepada bayi baru lahir mematuhi syariah dan keturunan susu ibu terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pasukan penyelidikan terlibat juga telah melawat sebuah bank susu di Hospital Queen Elizabeth di Glasgow, Scotland bagi mempelajari kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu. BH




Bank Susu patuh syariah



Leave a Reply

Your email address will not be published.