Wang masuk akaun Syed Saddiq tak digunakan untuk kempen PRU-14

Wang masuk akaun Syed Saddiq tak digunakan untuk kempen PRU-14

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa RM100,000 daripada RM120,000 yang dipindahkan daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) atas arahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin berkata sebaliknya hasil siasatan mendapati Syed Saddiq memasukkan wang RM100,000 itu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik Ahli Parlimen Muar itu menerusi dua transaksi pada Jun 2018.

Menurut saksi pendakwaan ke-28 itu, Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) supaya memindahkan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun ABBE ke dalam akaun peribadi Maybank miliknya melalui empat transaksi pada 8, 11,12 dan 21 Mei 2018 untuk kempen PRU-14.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berhubung sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun ABBE, Nurul Hidayah menjawab ia merupakan hasil daripada penjualan cenderahati Armada, kemeja-T dan sumbangan ketika majlis makan bagi mengumpul dana yang dianjurkan sayap parti Bersatu itu.

Mohd ‘Afif: Berkenaan majlis makan mengumpul dana itu, ada Puan siasat berapa kali ia dibuat?

Nurul Hidayah: Terdapat dua majlis makan dibuat iaitu pada 7 dan 8 April, di Muar, Johor dan di Hotel De Palma di Ampang. Kedua-dua majlis tersebut diadakan pada waktu siang.

Sementara itu, pada prosiding perbicaraan sebelah petang, suasana di dalam mahkamah bertukar sedikit tegang apabila peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq meninggikan suara ketika menyoal balas saksi itu kerana beliau tidak menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh peguam tersebut.

Ia bermula apabila Nurul Hidayah tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pergerakan dan kebajikan politik di kawasan Muar, Johor wujud.

Gobind: Kenapa kamu tidak setuju ia wujud? Kamu ada jumpa Amsyar? (Amsyar merupakan seorang individu yang dikatakan menguruskan kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq).

Nurul Hidayah: Bukan saya yang rakam percakapan dia.

Gobind: Jadi bukan kamu sendiri yang jumpa dan tanya dia (Amsyar)?

Bagaimanapun, saksi tidak menjawab soalan itu apabila ditanya beberapa kali oleh peguam berkenaan.

Gobind: Jawab saya, Puan Nurul Hidayah (dengan suara tinggi). Jadi kamu sebenarnya tidak tahu, bukan? Kamu juga selaku pegawai penyiasat gagal untuk siasat kes ini secara menyeluruh.

Nurul Hidayah tidak menjawab soalan itu.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 3 Ogos ini. Utv

Wang masuk akaun Syed Saddiq tak digunakan untuk kempen PRU-14


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pasangan Kekasih Selamba Buat Hubungan Seks Di Foyer Mahkamah Sampai 3 Kali Dijatuh Hukuman

Anak Azhar Sulaiman bikin panas lagi

Mahathir terima dana politik RM2.6 juta daripada UKSB – Saksi pendakwaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker