PAS mahu perintah Kedah bersendirian – Hadi

PAS mahu perintah Kedah bersendirian – Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, parti itu berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tanpa perlu menumpang kerajaan campuran.

Bagaimanapun, katanya, jika PAS tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang “menumpang” mereka dan bukan sebaliknya.

“Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu. Kedah boleh Insya-Allah,” katanya menurut Harakahdaily.

Beliau dipetik berkata demikian dalam amanat khas presiden PAS dan taklimat kerajaan Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.

Hadi berkata, PAS kedah kini mempunyai jentera mencukupi untuk menghadapi PRU15 namun ia terpulang kepada cara pengurusan jentera berkenaan untuk menarik pengundi.

Katanya, kesilapan dilakukan pengundi di Kedah pada PRU14 ialah memilih orang bukan Islam dan liberal menjadi wakil rakyat.

“Alhamdulillah dalam taklimat yang diberi, saya dapati PAS Kedah mempunyai jentera-jentera yang sangat mencukupi, cuma bagaimana kita nak urus jentera-jentera ini supaya berkesan untuk menarik pengundi-pengundi yang seramai-ramainya menyokong kita.

“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri.

“PRU14 pilih orang bukan Islam jadi wakil rakyat, pilih orang Liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang lebih teruk daripada Umno,” katanya.

Beliau berkata, serangan pemikiran menyebabkan ramai orang Islam jahil agama sendiri khususnya berkaitan politik di mana musuh juga aktif menggunakan media dan jentera untuk melemah dan menghina Islam.

Katanya, walaupun sakit dan panas hati, tetapi pejuang Islam mestilah sabar, termasuk oleh musuh yang menggunakan kekerasan kerana tujuan mereka adalah menyekat Islam menjadi kuat dan memerintah.

PAS kini mempunyai 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi dan Umno yang memiliki dua kerusi.

Pembangkang pula diterajui PH mempunyai 13 kerusi DUN iaitu lima dimiliki PKR, Amanah (4), DAP (2) dan Pejuang (2). FMT

PAS mahu perintah Kedah bersendirian – Hadi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker