RM393 bilion perkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim – Ismail

RM393 bilion perkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim – Ismail

KERAJAAN menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030.



Menurutnya, kementerian dan agensi terbabit juga diarah meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.

“Ia termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.



Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan serta Agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain, walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

“Struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan, sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.



“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040); Pengiktirafan Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air; dan Perkongsian Peta Hazard Banjir kepada Awam.

Beliau berkata, MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

“Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu pengurusan air negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. E9



RM393 bilion perkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Siakap kayangan RM90 seekor, pemilik restoran dikenakan kompaun



Pengerusi tahfiz dikecam buat kenyataan bercanggah terhadap mangsa rogol bawah umur

MasyaAllah saya langsung tidak ingat apa-apa – Aprena Manrose



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker