Ras Adiba cari Zalina di Jalan Liku, Bangsar

Ras Adiba cari Zalina di Jalan Liku, Bangsar

Malam ketiga misi menjejak Zalina Azman yang diusahakan Senator Datuk Ras Adiba Radzi, malam tadi, membawa beliau meninjau lokasi di mana stesen televisyen (TV) swasta pertama negara, TV3 beroperasi pada era 1990-an, iaitu Jalan Liku, Bangsar, di sini.

Ras Adiba memilih meninjau persekitaran Jalan Liku yang juga lokasi ibu pejabat Media Prima Berhad (MBP), atas andaian Zalina yang dilaporkan hilang sejak November, tahun lalu, mungkin datang ke tempat yang memberi makna dalam hidupnya.



Ketika memulakan kerjaya di TV3 pada 1990, bekas pengacara program bual bicara, Money Matters itu dan teman seangkatan seperti Datuk Aznil Nawawi, Suhaimi Sulaiman dan Ras Adiba, bekerja di pejabat TV3 di Jalan Liku, di sini.

Pada misi malam tadi, Ras Adiba ditemani beberapa kru program terbitan TV3, 999, memulakan tinjauan selepas Maghrib dan dijangka berakhir awal pagi ini.

“Manalah tahu, mungkin Zal datang ke kawasan sekitar Jalan Liku yang pernah menjadi tempat kami mencari rezeki, suatu ketika dahulu.

“Mengikut pembacaan dan maklumat viral, Zal difahamkan masih berada di dalam negara dan mungkin pergi ke tempat yang memberi makna tersendiri seperti di lokasi bangunan lama TV3 ini,” katanya.



Ras Adiba berkata, selepas tiga malam misi menjejaki teman baiknya itu dilancarkan, belum ada petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan Zalina.

“Saya hanya mampu bertawakal dan optimis dengan usaha kecil mencari Zal. Memang ada yang cakap saya gila dan kenapa baru sekarang hendak mencarinya.

“Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan agar dipermudahkan usaha ini. Kita manusia hanya tahu sejengkal sahaja, tetapi, Yang Maha Esa tahu segala-galanya.

“Jika Zal masih hidup dan ada di mana-mana, saya mohon Tuhan beri haluan dan petunjuk supaya dapat bertemu dengannya. Jika sebaliknya, saya harap dapat menemui tubuhnya,” katanya dalam nada sedih.



Sementara itu, melalui rakaman temubual bersama radio Bernama yang dikongsi Ras Adiba di Instagram (IG), bekas personaliti TV itu memberitahu, kisah kehilangan Zalina diketahuinya agak lambat.

“Saya dapat tahu berita kehilangan Zal yang kecoh sejak Isnin lalu melalui kakak saudara, Haliza Hashim Doyle di London. Haliza hantar mesej mengenai berita kehilangannya yang dikongsi daripada Facebook (FB).

“Kami cuba kenal pasti identiti dirinya. Ternyata, memang benar. Sejak itu, saya terus panjangkan maklumat mengenai kehilangan Zal termasuk di IG.

“Kemudian, Selasa lalu, saya lancarkan misi pencarian. Menjejak Zal seperti mencari sebutir jarum. Namun, kita terus berusaha,” katanya.



Melalui temubual itu, Ras Adiba berpesan biar sesibuk manapun, masyarakat tidak seharusnya lupa memerhatikan keadaan sekeliling.

“Kita tidak tahu siapa antara kita perlukan sokongan dan bantuan. Ini yang terjadi apabila Zal hilang. Saya rasa amat bersalah,” katanya.

Ras Adiba mengaku tidak berhubung dengan anak atau ahli keluarga Zalina.

“Saya berterus-terang memang tidak berhubung dengan keluarga atau anaknya. Lagipun, dari dahulu, Zal tidak suka bercerita dan jaga privasi. Jadi, saya hormati pendiriannya itu,” katanya.



Kehilangan Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman hangat diperkatakan selepas tersebar berita polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael, 33, mengenai kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital. BH

Ras Adiba cari Zalina di Jalan Liku, Bangsar


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Siakap kayangan RM90 seekor, pemilik restoran dikenakan kompaun

Pengerusi tahfiz dikecam buat kenyataan bercanggah terhadap mangsa rogol bawah umur

MasyaAllah saya langsung tidak ingat apa-apa – Aprena Manrose

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker