Perokok, wajarkah diberi bantuan?
Perokok, wajarkah diberi bantuan?
oleh Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow
Sebarang pemberian bantuan zakat terhadap pihak yang layak menerimanya tidak harus meliputi golongan perokok kerana dibimbangi pemberian zakat terhadap golongan perokok ini akan membawa isyarat yang salah kepada semua pihak dalam negara kita. Jika bantuan zakat ini diberikan kepada golongan perokok ini ia juga boleh menyebabkan ramai pembayar zakat berasa tidak puas hati kerana berpandangan bantuan zakat tidak sepatutnya diberikan kepada mereka yang masih mampu membazir duit untuk menghisap rokok yang boleh membahayakan tahap kesihatan serta tidak membawa sebarang faedah.
Baru-baru terdapat cadangan daripada sesetengah pihak supaya kadar bantuan zakat dinaikkan kepada golongan yang layak menerimanya dengan mengambil kira kadar inflasi semasa dan peningkatan kos sara hidup yang berlaku pada ketika ini dalam negara kita. Cadangan untuk menaikkan bantuan zakat ini adalah baik, namun ia perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati dengan memberi keutamaan pemberian bantuan zakat terbabit kepada mereka yang benar-benar tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan dengan segera.
Sebarang jenis pemberian bantuan zakat ini juga perlu dipastikan juga dibelanja untuk membeli barangan keperluan asas untuk menampung kehidupan sahaja seperti makanan, minuman, pakaian, rawatan perubatan, pendidikan dan lain-lain lagi dan bukannya membeli rokok ataupun sebarang barangan atau alatan yang sama dengan rokok seperti vape. Dengan mengambil kira isu peningkatan inflasi dan kos sara hidup yang berlaku pada masa ini, adalah dijangka ramai pihak yang bakal memerlukan bantuan zakat dalam negara kita. Kadar bantuan zakat yang perlu dihulurkan pula perlu sesuai dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup pada ketika ini.
Secara keseluruhannya, terdapat lapan golongan yang layak menerima bantuan zakat iaitu golongan fakir iaitu seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang tanggungan, golongan miskin iaitu seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang tanggungannya, mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya (amil), mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (muallaf), orang Islam yang berada dalam perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang tertentu (Al-Riqab), golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak (Al-Gharimin), mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti bagi menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya (Fisabilillah), dan mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan (Ibnu Sabil). Walaupun pihak yang menerima bantuan zakat tergolong dalam mana-mana ketogori penerima zakat seperti yang dinyatakan di atas, sekiranya mereka adalah seorang perokok, sebarang bentuk bantuan zakat tidak seharusnya diberikan kepada mereka.
Isu merokok ini perlu dipandang berat khususnya oleh umat Islam kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok ini dalam negara kita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai Hukum Merokok Daripada Pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan bahawa “Merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”. Berdasarkan fatwa yang diputuskan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang. Pengharaman rokok telah dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan para penggunanya, ia juga mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok serta alam sekitar dan perbuatan merokok tersebut menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan pihak yang menggunanya. Ketetapan ini diambil selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah al-A’raf Ayat 157 yang bermaksud: “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…” Ketetapan yang sama juga telah diambil terhadap pengunaan rokok elektronik dan vape. Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 yang lalu telah memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik termasuk vape adalah haram. Walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran yang dilihat telah diambil oleh pihak jabatan agama, surau serta masjid mengenai perkara ini, namun ia juga dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok di kalangan umat Islam itu sendiri. Undang-undang sedia ada dalam negara kita juga dilihat masih belum mencukupi bagi membendung masalah berkaitan dengan rokok dan vape dalam negara kita. Lebih menyedihkan, masalah yang berkaitan dengan rokok dan vape ini juga dilihat telah mula menular di kalangan golongan muda yang masih bersekolah.
Adalah penting untuk kita semua ketahui, pada Mac 2019 yang lalu, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun akibat merokok atau menghidu asap rokok. Menurut pihak WHO, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat. Pihak WHO juga menyatakan bahawa penyakit kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru adalah penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau aktiviti merokok. Sejak abad ke-20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua (1939-1945) serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918). Sekiranya tiada sebarang tindakan keras dan berani yang diambil oleh mana-mana pihak dalam negara kita bagi menghentikan masalah berkaitan dengan rokok, amat sukar untuk kerajaan membendung jumlah penagih rokok dalam masyarakat kita.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya satu mesej yang keras diberikan kepada semua pihak dalam negara kita termasuklah golongan penerima zakat supaya tidak merokok. Sekiranya golongan yang hendak mengambil wang zakat ini mampu membelanjakan wang mereka untuk membeli rokok atau vape yang makin hari makin mahal harganya maka sudah pasti mereka tidak layak untuk menerima apa-apa jenis bantuan zakat daripada pihak pengurusan zakat. Wang zakat yang telah diberikan oleh pembayar zakat dalam negara kita tidak seharusnya diberikan kepada golongan perokok. Pihak pengurusan zakat di semua negeri dalam negara perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta memastikan semua bakal penerima bantuan zakat terdiri daripada mereka yang tidak akan membazirkan wang zakat yang bakal diterima untuk membeli apa-apa barangan yang tidak berfaedah seperti rokok dan vape.
Penulis Pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Perokok, wajarkah diberi bantuan?
Baca Artikel Menarik:
- Bekas pembaca berita stesen TV yang hilang masih belum dijumpai
- Puteri Sarah Liyana saman netizen
- Seru ahli PKR serang Najib hanya menguntungkannya – penganalisis
- Akibat Seks Ganas Lelaki Umur 40 Tahun Alami Sawan Dan Meninggal Dunia Di Hotel
- Balu Arwah Abam Beli Vellfire, Ali Puteh Kena Kecam Dengan Netizen
- Wartawan kena sekolah oleh peniaga tak mahu jual minyak masak paket
- Islam Suruh Kahwin, Bukan Bermaksiat 4 Tahun – Puteri Sarah
- Batal projek kerajaan bukan langkah bijak tangani isu ekonomi
- Kes seleweng dana PenjanaKerjaya RM100 juta: CEO, pengarah syarikat ditahan
- Mat Kilau kutip 71 juta, ustaz dedah amalan Syamsul Yusof dimurahkan rezeki
- Kelebihan sujud, 2 cahaya yang memancar
- Lelaki Ini Sanggup Derma Air Mani Untuk Bantu Pasangan Tak Subur, Kini Dah Ada 22 Orang Anak
- Sudahlah Anwar berbohong, rakyat makin cerdik dan bermaklumat/a>
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Resepi Agar-Agar Santan Isi Kelapa Muda, kena sekali nak selalu
Wanita tertipu beli telefon murah online, dapat sebungkus garam [VIDEO]